KEADAAN politik yang begitu dinamik telah mengubah landskap politik dunia dengan begitu ketara. Di sana-sini muncul banyak gerakan politik baharu dengan membawa pelbagai ideologi dan slogan.
Masing-masing berlumba-lumba mencari pengaruh, khasnya menyasarkan golongan muda yang cenderung mencari sesuatu yang baharu.
Kita dapat melihat bagaimana negara-negara yang dahulunya kuat kini bergelut dengan pelbagai masalah akibat kerajaannya tidak lagi stabil dan sentiasa bertukar ganti.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila pemimpin yang dinaikkan tidak kompeten dan tidak berupaya memimpin negara serta tidak mampu menangani masalah rakyat.
Perebutan kuasa turut berlaku dalam parti dan gabungan politik yang mengakibatkan perbalahan dan tikam-menikam sesama pasukan sendiri.
Di negara kita, masalah ini menjadi lebih parah pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kekalahan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali.
Terkini, kita melihat pergolakan dan pertelingkahan berlaku dalam Perikatan Nasional (PN).
Rampasan pemerintahan Perlis oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Pas pada akhir tahun lalu menyebabkan berlakunya serang-menyerang secara terbuka di antara kepimpinan kedua-dua parti anggota PN.
Akhirnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PN.
Pada masa sama, Bersatu turut bergolak sehingga 17 ahlinya termasuk Timbalan Presidennya merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta beberapa wakil rakyat lain turut dipecat.
Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu PN pula mencetuskan lebih banyak tanda soal tentang masa hadapan gabungan tersebut, lebih-lebih lagi jika beliau dijadikan wajah poster PN yang baharu.
Ini memandangkan Ahmad Samsuri bukan daripada golongan ulama, sedangkan pucuk kepimpinan utama Pas sentiasa menekankan kepentingan golongan ulama menerajui kepimpinan parti itu dan negara.
Malah dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas tahun lalu, perkara ini juga sekali lagi telah ditegaskan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sejarah politik negara, terutamanya pengalaman yang kita lalui sepanjang krisis politik pasca PRU14 mengajar tentang kepentingan penyatuan dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Selepas jatuhnya kerajaan BN, kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) menjadi sandaran penyokongnya untuk membawa perubahan positif kepada landskap politik negara.
Malangnya, gabungan tersebut mula berpecah setelah ahlinya bertelingkah akibat tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak melepaskan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya walaupun setelah melebihi jangka waktu setahun seperti yang dijanjikan.
Akibatnya, Bersatu bertindak keluar daripada gabungan tersebut. Ini disusuli peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir yang mengakibatkan jatuhnya kerajaan PH dan tercetusnya krisis politik besar pada 2020.
Bersatu kemudiannya bergabung bersama Pas dan UMNO untuk menubuhkan kerajaan baharu. Namun akibat pergolakan dalaman, kerajaan pimpinan Muhyiddin ini hanya mampu bertahan selama 17 bulan.
Namun, pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri juga tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan dalaman antara UMNO dan PN kerana akar kepada permasalahan yang ada masih tidak diselesaikan.
Akhirnya, berlakulah perpecahan di antara PN, BN dan berlakulah pertembungan di antara BN, PN serta PH semasa PRU15. Padahnya, Parlimen menjadi tergantung apabila tiada parti berjaya meraih majoriti mudah.
PRU15 menjadi satu titik penting dalam sejarah politik negara apabila buat pertama kalinya, tiada parti atau gabungan politik yang bertanding dalam PRU tersebut berjaya membentuk kerajaan secara terus.

KEBIJAKSANAAN YANG DI-PERTUAN AGONG
Keadaan politik Malaysia yang dahulunya stabil menjadi huru hara akibat perebutan kuasa oleh pemimpin politik. Namun Alhamdulillah, oleh kerana negara ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan, melalui Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk bertindak bagi menyelesai masalah ini.
Mengambil jalan yang adil tanpa berpihak, baginda mencadangkan agar dua gabungan yang mempunyai bilangan kerusi terbesar iaitu PH dan PN agar bekerjasama mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.
Oleh kerana cadangan itu ditolak oleh PN, maka baginda mencadangkan PH untuk bekerjasama dengan gabungan ketiga terbesar iaitu BN. Akhirnya, setelah berunding secara serius, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bekerjasama.
Pembentukan kerajaan perpaduan di antara PH dan BN mencatat satu sejarah penting dan sekali lagi mengangkat PRU15 sebagai titik penting dalam sejarah politik negara.
57 tahun setelah DAP diwujudkan dan 24 tahun setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri serta sebagai ahli UMNO, akhirnya UMNO, PKR dan DAP bersetuju berdamai serta mencari jalan mengetepikan perbezaan di antara mereka demi kemakmuran negara.
Kerjasama ini diwujudkan setelah usaha mempertahankan persepakatan selama ini menemui jalan buntu.
Daripada gabungan dan parti-parti lain yang membentuk kerajaan PH pertama, UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN), seterusnya kerjasama PN dan BN, kesemuanya tidak berjaya.
Namun sebaliknya, hubungan PH dan BN sehingga hari ini kelihatan stabil dan mesra meskipun masih kedengaran rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli-ahli mereka tentang kerjasama ini.
Sebagaimana yang berlaku ketika penggabungan parti-parti dalam MN dan PN dahulu, bantahan dan tentangan daripada sesetengah kumpulan ahli-ahli parti politik yang terlibat sememangnya sudah dijangkakan memandangkan gabungan yang dibentuk itu melibatkan musuh tradisi parti.
Namun yang pentingnya ialah usaha berterusan dilakukan bagi meredakan ketidakpuasan dan percanggahan secara dalaman, di mana masing-masing cuba mencari jalan bagi mengurangkan pertelingkahan dan terus kekal bersama demi kemakmuran negara.
Jelas sekali negara kita semakin stabil apabila Perdana Menteri tidak lagi bertukar ganti setiap tahun dan para pemimpin tidak hanya sibuk berpolitik tetapi bekerja keras dalam satu pasukan yang kuat.
Hasilnya nilai ringgit meningkat dengan pesat, tertinggi sejak Mei 2018 apabila kerajaan BN dijatuhkan dahulu. Hanya dengan kestabilan inilah kita dapat menikmati kemakmuran dan pertumbuhan yang baik demi kesejahteraan rakyat secara amnya.
Nauzubillah, jika kita berpecah semula, tiada jaminan kita dapat menikmati keselesaan hari ini lagi.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










