KEPUTUSAN Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) 2026 yang membatalkan sebahagian besar tarif Presiden AS, Donald Trump bukanlah sekadar episod perundangan domestik di Washington, sebaliknya satu ‘gempa bumi’ yang menggegarkan landskap perdagangan global.
Dalam penghakiman dengan keputusan 6-3, mahkamah memutuskan penggunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) untuk mengenakan tarif secara unilateral adalah tidak berperlembagaan.
Rasionalnya cukup tuntas daripada sudut perundangan, kuasa untuk mengenakan cukai dan mengawal selia perdagangan asing terletak di bawah bidang kuasa Kongres, bukannya pada cabang eksekutif. Namun, harapan dunia untuk melihat fasa perdagangan yang lebih tenang melebur dalam tempoh beberapa jam apabila Trump bertindak agresif menandatangani perintah baharu.
Dengan memanfaatkan Seksyen 122, 232, dan 301, mahkamah mengenakan tarif global 10 peratus, sekali gus mengheret ekonomi dunia kembali ke dalam kancah ketidaktentuan dasar yang bersifat berubah-ubah dan sukar diramal.
Dari sudut ekonomi antarabangsa, keputusan mahkamah ini merupakan penegasan semula terhadap prinsip pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi. Ia secara langsung membataskan kecenderungan pihak eksekutif untuk sewenang-wenangnya menggunakan naratif ‘darurat ekonomi’ sebagai alat pelindung (proteksionisme) yang meluas.
Walau bagaimanapun, reaksi pasaran kewangan menunjukkan kepastian undang-undang tidak semestinya membawa kestabilan pasaran.
Indeks dolar AS mencatatkan volatiliti yang ekstrem, manakala data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan indeks sentimen pengguna di negara itu mula menunjukkan tanda-tanda kelesuan.
Pelabur global kini terperangkap dalam dilema, adakah AS akan kembali kepada sistem perdagangan berasaskan peraturan atau terus mengeksploitasi lohong perundangan lain untuk mengekalkan tembok tarif yang tinggi?
Bagi Malaysia, polemik ini bukan sekadar perbincangan teori di menara gading. AS kekal sebagai rakan dagang terbesar dengan nilai dagangan mencecah ratusan bilion ringgit setahun.
Sektor-sektor kritikal seperti elektrik dan elektronik (E&E), peralatan perubatan serta komponen teknologi tinggi amat bergantung kepada akses pasaran AS yang terbuka. Sebarang tarif tambahan 10 peratus akan memberi tamparan hebat kepada daya saing harga eksport negara.

KESAN KEPADA MALAYSIA
Walaupun Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) ditandatangani, namun ketiadaan ratifikasi sepenuhnya meletakkan Malaysia dalam posisi yang rentan. Keputusan mahkamah ini sebenarnya membuka ruang rundingan semula yang strategik, namun pada masa sama, menebalkan kabus ketidakpastian yang menjadi musuh utama bagi aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI).
Dalam ekonomi terbuka, kestabilan dan kebolehjangkaan adalah ‘oksigen’ bagi syarikat multinasional untuk mengekalkan rantaian bekalan mereka di sesebuah negara.
Jika ditinjau daripada kerangka ekonomi Islam, isu tarif ini menyentuh prinsip fundamental iaitu keadilan (‘adl) dan kemaslahatan umum (maslahah). Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 188 secara tegas melarang manusia memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil.
Tarif yang dikenakan secara semberono tanpa asas perundangan yang kukuh boleh ditafsirkan sebagai bentuk ketidakadilan struktur yang menzalimi rakan dagang.
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din pernah mengingatkan peranan pemerintah adalah untuk memastikan dasar ekonomi tidak menzalimi mana-mana pihak sehingga memudaratkan kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks ini, keputusan mahkamah di AS boleh dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan imbangan kuasa agar tidak berlaku penyalahgunaan wewenang fiskal yang melampau.
Namun, kita juga harus bersikap kritis, dalam fiqh muamalat, konsep hisbah membenarkan kawalan pasaran untuk mencegah monopoli. Jika tarif digunakan secara terbatas untuk melindungi industri strategik daripada lambakan yang tidak adil, boleh dianggap sebagai maslahah.
Persoalannya, adakah tarif global 10 peratus ini bersifat adil secara proporsional atau sekadar retorik politik? Kesan langsung kepada Malaysia boleh dianalisis melalui tiga dimensi utama. Pertama, impak terhadap margin keuntungan eksport di mana syarikat tempatan mungkin terpaksa menyerap kos tambahan atau kehilangan pasaran.
Kedua, kesan terhadap kadar pertukaran mata wang, yakni kelemahan dolar akibat ketidakstabilan fiskal AS boleh menyebabkan ringgit mengukuh, walaupun merendahkan kos import bahan mentah, namun boleh mengurangkan nilai pendapatan eksport negara.
Ketiga, kesan psikologi pelabur yang mungkin mula mencari destinasi perlindungan yang lebih stabil. Di sinilah Malaysia perlu bijak memposisikan diri.
Sebagaimana peringatan Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 mengenai prinsip taaruf (saling mengenali), ekonomi global seharusnya dibina atas semangat kerjasama dan saling kebergantungan yang adil, bukannya atas semangat proteksionisme yang memisahkan.
Jalan keluar bagi Malaysia memerlukan strategi yang bersifat pelbagai dan pragmatik. Kerajaan perlu mempercepatkan diversifikasi pasaran eksport ke wilayah baharu seperti Asia Barat dan Afrika, di samping memperkukuh rantaian nilai domestik agar negara tidak lagi sekadar menjadi pusat pemasangan tetapi penguasa teknologi bernilai tinggi.
Penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala juga harus diperluas untuk mengurangkan ketergantungan kepada volatiliti dolar.
Selain itu, kerajaan wajib memperkukuh perlindungan sosial selaras dengan prinsip Maqasid Syariah bagi memelihara harta (hifz al-mal) dan kesejahteraan rakyat yang terkesan.
Seperti yang diutarakan oleh Ibn Khaldun dalam Muqaddimah, kemakmuran sesebuah tamadun bergantung kepada keadilan dan kestabilan sistem cukai.
Akhirnya, Malaysia tidak mampu mengawal keputusan di Washington tetapi mempunyai kuasa penuh untuk memperkukuh daya tahan ekonomi domestik melalui kebijaksanaan diplomasi, integriti polisi dan kesiapsiagaan mengurus risiko dalam dunia yang semakin tidak menentu.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










