KDNK 5.2 peratus momentum ekonomi kukuh menjelang 2026

KDNK 5.2 peratus momentum ekonomi kukuh menjelang 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI Malaysia pada tahun lalu mencatat prestasi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus, iaitu lebih tinggi daripada jangkaan awal yang meletakkan sasaran antara 4 hingga 4.8 peratus.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 13 Februari lalu, pencapaian ini menandakan momentum kukuh ekonomi negara walaupun berhadapan dengan persekitaran global yang penuh cabaran.

Jumlah nilai KDNK negara pada harga semasa mencecah RM2.02 trilion, manakala pada harga malar berjumlah RM1.74 trilion. Lebih membanggakan, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita meningkat 4.1 peratus kepada RM57,070 berbanding RM54,804 pada 2024, mencerminkan peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Apabila prestasi ekonomi dianalisis mengikut suku tahunan, membolehkan pola pertumbuhan menunjukkan momentum semakin mengukuh menjelang penghujung tahun.

Anggaran awal yang dikeluarkan DOSM pada 15 Januari melaporkan suku pertama 2025 berkembang sebanyak 4.4 peratus, dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan yang meningkat 5.2 peratus dan sektor pembuatan (4.2 peratus).

Suku kedua pula mencatat pertumbuhan yang stabil pada kadar yang sama iaitu sekitar 4.4 peratus, dengan sektor perkhidmatan terus memainkan peranan penting.

Pada suku ketiga, ekonomi mengukuh 5.2 peratus, disokong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah dan aktiviti berkaitan pelancongan. Dalam tempoh ini, sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan 5 peratus, manakala sektor pembinaan terus mengekalkan prestasi kukuh.

Kemuncak prestasi ekonomi 2025 berlaku pada suku keempat dengan pertumbuhan mengagumkan iaitu 6.3 peratus, berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya. Ini merupakan kadar pertumbuhan suku tahunan tertinggi bagi tahun tersebut dan mencerminkan kekuatan permintaan domestik yang berterusan.

Dari sudut pertumbuhan terlaras musim, ekonomi berkembang 0.8 peratus pada suku keempat, walaupun lebih perlahan berbanding 2.7 peratus pada suku ketiga.

Prestasi suku keempat yang cemerlang ini didorong beberapa faktor termasuk peningkatan penggunaan isi rumah, aktiviti pelancongan, perbelanjaan musim perayaan dan acara berskala besar seperti pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Dari perspektif sektoral, ekonomi terus mengekalkan kepelbagaian yang sihat dengan semua sektor utama mencatat pertumbuhan positif. Sektor perkhidmatan kekal tonggak ekonomi dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.5 peratus pada 2025 berbanding 5.3 peratus pada 2024.

Sektor ini terus menjadi pemacu utama pertumbuhan KDNK dengan sumbangan terbesar kepada ekonomi negara. Prestasi sektor ini disokong subsektor perdagangan borong dan runcit yang meningkat 5.7 peratus pada suku keempat.

Subsektor maklumat dan komunikasi pula mencatat pertumbuhan 8.9 peratus, manakala subsektor pengangkutan dan penyimpanan mengekalkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.7 peratus.

Sementara subsektor makanan dan minuman serta penginapan turut mencatat pertumbuhan kukuh 9.5 peratus pada suku ketiga, mencerminkan pemulihan sektor pelancongan yang berterusan.

Sektor pembuatan pula mencatat prestasi yang stabil sepanjang tahun dengan pertumbuhan positif di kebanyakan suku tahun. Pada suku keempat, sektor ini melonjak 6 peratus, disokong pengeluaran produk elektrik dan elektronik, pemprosesan minyak sayuran dan haiwan, lemak serta makanan.

Sektor pembinaan mencatat kejayaan luar biasa dengan pertumbuhan 12.2 peratus bagi keseluruhan tahun lalu. Prestasi cemerlang ini menandakan keyakinan pelabur yang tinggi dan pelaksanaan projek infrastruktur yang rancak.

Pada suku keempat sahaja, sektor pembinaan masih mengekalkan momentum kukuh dengan pertumbuhan 11.9 peratus, didorong aktiviti bangunan bukan kediaman dan bangunan khusus. Walau bagaimanapun, subsegmen bangunan kediaman mengalami kelembapan dengan penurunan 6.7 peratus dan 4.7 peratus dalam beberapa kategori pada suku keempat.

Dari sudut perbelanjaan, permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun itu.

Perbelanjaan penggunaan akhir mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh iaitu 5.8 peratus pada suku keempat meningkat daripada 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Komponen terbesarnya, penggunaan akhir swasta meningkat kepada 5.2 peratus, mencerminkan keyakinan pengguna yang tinggi dan kuasa beli yang terpelihara.

Dari sudut pertumbuhan terlaras musim, penggunaan swasta meningkat 0.3 peratus pada suku keempat walaupun lebih perlahan berbanding 6.1 peratus pada suku sebelumnya.

Manakala perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan pula mempercepatkan pertumbuhannya kepada 6.6 peratus, menandakan peranan fiskal kerajaan yang aktif dalam menyokong ekonomi.

 

 

Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) mencatat pertumbuhan yang sangat menggalakkan iaitu 9.6 peratus walaupun lebih perlahan berbanding pertumbuhan 12 peratus pada 2024.

Pada suku keempat, PMTK mempercepatkan pertumbuhannya kepada 9.3 peratus berbanding 7.4 peratus pada suku sebelumnya. Pelaburan sektor swasta kekal sebagai pemacu utama, berkembang 9.2 peratus dan menyumbang 66 peratus daripada jumlah PMTK.

Pelaburan sektor awam juga mengukuh kepada 9.5 peratus, mencerminkan komitmen kerajaan dalam pembangunan infrastruktur. Pada suku ketiga, sektor swasta yang menyumbang 80 peratus daripada PMTK, meningkat 7.3 peratus manakala PMTK sektor awam turut positif.

Dari sudut perdagangan luar, menunjukkan pertumbuhan yang lebih sederhana berbanding 2024. Namun, dari sudut pertumbuhan terlaras musim, eksport berkembang 0.8 peratus. Import pula mempercepatkan pertumbuhannya dengan ketara kepada 7.9 peratus pada suku keempat berbanding hanya 0.7 peratus pada suku sebelumnya, didorong peningkatan import barangan.

Bagi keseluruhan 2025, import meningkat 4.6 peratus, lebih perlahan berbanding 8.2 peratus pada 2024.

Pencapaian KDNK Malaysia pada 2025 yang mencecah 5.2 peratus boleh dianggap sangat memberangsangkan memandangkan melepasi unjuran rasmi dan berlaku dalam persekitaran global yang penuh cabaran.

Dengan asas makroekonomi yang kukuh, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk meneruskan trajektori pertumbuhan mampan pada 2026 dan tahun-tahun mendatang, dengan syarat pembaharuan struktur dan peningkatan produktiviti terus dilaksanakan secara konsisten untuk memastikan pertumbuhan lebih inklusif serta berkualiti tinggi.-UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) & Penolong Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×