Di mana kesederhanaan bila bufet mahal, makanan terbuang?

Di mana kesederhanaan bila bufet mahal, makanan terbuang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUFET Ramadan sentiasa menjadi antara pilihan menarik ketika berbuka puasa dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat kita.

Walaupun harga yang dikenakan pihak hotel dan restoran semakin tinggi namun tetap ada peminatnya tersendiri.

Lazimnya aktiviti bufet Ramadan mengundang beberapa isu berulang saban tahun seperti pembaziran makanan, harga yang tidak munasabah serta kekeliruan berkaitan status sijil pengesahan halal. Justeru isu bufet Ramadan ini perlu dilihat secara rasional dan seimbang agar kemeriahannya tidak menghakis nilai yang sepatutnya menjadi teras pada bulan puasa.

Ironinya pada ketika ini kita dapat lihat aktiviti promosi bufet Ramadan semakin rancak dengan pelbagai pakej ditawarkan, daripada menu tradisional hingga ke hidangan antarabangsa.

Melihat kepada cabaran ekonomi semasa, harga yang ditawarkan bukan murah kerana kebanyakannya mencecah ratusan ringgit meskipun masih ada di bawah RM100, namun tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Ironinya, tawaran dan penyediaan bufet Ramadan menjadi sebahagian daripada kemeriahan aktiviti perniagaan industri makanan dan hospitaliti negara.

Perlu ditegaskan bufet Ramadan bukan jenis perniagaan yang perlu dihalang kerana pengusaha mempunyai hak untuk berniaga dan masyarakat juga mempunyai pilihan untuk menikmati buka puasa yang selesa mengikut kehendak masing-masing.

Malah, ada juga dalam kalangan majikan menjadikan bufet Ramadan sebagai penghargaan kepada pekerja atau medium mengeratkan hubungan silaturahim. Amalan ini positif dan wajar diteruskan, namun perlu diseimbangkan dengan nilai kesederhanaan dan tanggungjawab bersama.

 

BUFET Ramadan wajar diraikan dengan tanggungjawab berbelanja secara bijak dan elak pembaziran sementara pengusaha mesti jujur dalam soal harga dan halal.

TANGGUNGJAWAB

Bagi pengguna, tanggungjawab paling asas ialah membuat pilihan secara bijak dan berhemat.

Dalam situasi kos sara hidup yang semakin mencabar menyebabkan keputusan untuk menikmati bufet Ramadan perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan diri dan keluarga. Tuntasnya, prinsip ‘ukur baju di badan sendiri’ masih kekal relevan dan wajar dijadikan panduan signifikan, lebih-lebih lagi apabila pengguna turut berdepan komitmen perbelanjaan lain menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.

Dalam konteks lain pula, isu pembaziran makanan masih menjadi kebimbangan utama yang sering dikaitkan dengan bufet Ramadan. Sikap dan tingkah laku anggota masyarakat yang suka mengambil pelbagai jenis hidangan dalam kuantiti berlebihan, selain nafsu ingin mencuba semua jenis menu yang disediakan sehingga pada akhirnya meninggalkan sejumlah makanan yang tidak habis atau langsung tidak diusik di atas meja bukan lagi perkara asing.

Hakikatnya, tubuh manusia mempunyai had dan mustahil untuk menghabiskan semua hidangan yang tersedia dalam satu sesi berbuka puasa.

Akhirnya, lebihan makanan ini terpaksa dibuang oleh pihak pengusaha atas faktor kebersihan dan keselamatan makanan, walaupun ada yang kelihatan tidak terusik.

Statistik pelbagai kajian sebelum ini menunjukkan pembaziran makanan di Malaysia meningkat antara 20 hingga 30 peratus sepanjang bulan Ramadan berbanding bulan biasa.

Angka ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua bahawa pembaziran makanan bufet Ramadan bukan isu kecil, sebaliknya mencerminkan sikap dan budaya yang perlu diperbetulkan secara kolektif.

Sebagai pengguna, tanggungjawab bukan sekadar memilih makanan tetapi juga menghargai rezeki yang terhidang depan mata. Mengambil makanan sekadar perlu, mengelakkan sikap tamak dan berfikir sebelum mengambil hidangan adalah langkah kecil yang boleh memberi kesan besar. Ironinya, Ramadan seharusnya menjadi ruang melatih disiplin diri, termasuk dalam soal makan dan berbelanja.

Dalam masa sama, pengusaha restoran dan hotel juga memikul tanggungjawab yang besar. Penetapan harga bufet Ramadan perlu dibuat secara munasabah dan beretika.

Keuntungan sememangnya penting dalam perniagaan, namun mengambil kesempatan atas nama Ramadan dengan mengenakan harga yang tidak seimbang boleh menjejaskan keyakinan pengguna dan mencemarkan imej industri makanan itu sendiri.

Satu lagi isu penting yang perlu dipandang serius oleh pengusaha ialah tanggungjawab dalam aspek halal dan keselamatan makanan yang ditawarkan. Semua pengusaha makanan tidak boleh menggunakan istilah ‘Bufet Ramadan’ atau seumpamanya sekiranya mereka tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Harus diingat, penggunaan istilah berkenaan boleh mengelirukan serta memperdayakan pengguna Muslim dan perbuatan ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Antara istilah yang tidak wajar digunakan oleh pengusaha tanpa sijil halal termasuklah ‘Bufet Ramadan’, ‘Set Iftar’, ‘Jom Berbuka Puasa’ serta ‘Muslim Friendly’.

Penggunaan istilah-istilah ini tanpa pengesahan sijil halal bukan sahaja tidak beretika, malah boleh menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap industri makanan secara keseluruhannya.

Soal halal dan haram tidak boleh diuruskan secara sambil lewa, dipandang ringan atau dikompromi walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Dalam konteks ini, peranan pihak berkuasa agama dan pasukan penguatkuasa amat penting. Pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara proaktif, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Pengusaha yang tidak memiliki sijil halal tidak seharusnya dibenarkan memanipulasi keadaan dengan menggunakan istilah yang mengelirukan umat Islam. Tindakan tegas perlu diambil bagi melindungi pengguna daripada sebarang bentuk penipuan atau salah guna kepercayaan.

Pengusaha juga wajar mempunyai perancangan yang lebih sistematik dalam mengurus lebihan makanan.

Hakikatnya, bukan semua makanan yang disediakan akan habis dimakan. Oleh itu, inisiatif seperti kerjasama dengan badan kebajikan, agihan segera makanan yang masih selamat kepada golongan memerlukan, atau pelaksanaan program penyelamatan makanan boleh dilaksanakan.

Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah mencerminkan tanggungjawab sosial korporat yang semakin dituntut oleh masyarakat.

Selain itu, tindakan drastik dan tegas seperti mengenakan caj penalti bagi mendidik pengguna agar tidak mengambil makanan secara berlebihan sehingga membazir juga wajar dilaksanakan.

Secara prinsipnya, kita berharap Ramadan tahun ini mewujudkan titik keseimbangan yang menang-menang dengan pengguna dapat membuat pilihan secara bijak, manakala pengusaha berniaga dengan integriti, tanggungjawab dan amanah kepada masyarakat. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×