Wajah baharu pendidikan negara

Wajah baharu pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA merdeka pada 31 Ogos 1957 dan akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-69 pada tahun ini. Meniti hari-hari selepas kemerdekaan sehingga kini, pelbagai usaha telah, sedang serta akan terus dilaksanakan melalui strategi, pendekatan dan inisiatif bagi memaknai kemerdekaan.

Semua ini dilakukan dengan kesedaran mengisi kemerdekaan adalah tanggungjawab dan amanah yang harus dijunjung setiap warga negara.

Pada mulanya, negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu sebelum berkembang menjadi Malaysia pada 16 September 1963. Malaysia ketika itu merupakan sebuah negara pertanian, bergantung kepada sektor pertanian dalam merangka strategi pembangunan.

Fokus pembangunan negara banyak tertumpu kepada aktiviti eksport dan penggunaan buruh.

Menjelang 1980-an, Malaysia bergerak ke arah status negara perindustrian melalui Dasar Perindustrian Negara (PIP). Melaluinya, Malaysia menyusun strategi dan inisiatif bagi mempelbagaikan ekonomi daripada getah dan timah, menggalakkan sektor pembuatan serta membuka peluang pekerjaan untuk menjadi negara maju dengan industri bernilai tinggi.

Pelaksanaan PIP memperhebat evolusi pembangunan negara melalui pengenalan industri berat, pembangunan berasaskan eksport dan teknologi, dengan matlamat menjadi negara perindustrian.

Akibatnya, pada 1990-an, ekonomi Malaysia berkembang pesat dalam pelbagai sektor, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan menjadi teras ekonomi negara.

Berkat usaha yang berterusan untuk memaknai kemerdekaan, Malaysia kini merupakan negara berpendapatan menengah atas dengan ekonomi pelbagai sektor, pengeksport utama komponen semikonduktor dan produk teknologi maklumat (ICT).

Negara juga bergerak ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) melalui inisiatif seperti Pusat Revolusi Perindustrian 4.0 (C4IR) Malaysia. Negara terus melangkah ke depan dalam teknologi digital, termasuk pengaplikasian sistem pengaturcaraan, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Titipan evolusi ringkas ini menginsafkan ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’. Perubahan mesti berlaku dengan pantas selaras teknologi digital supaya Malaysia sentiasa dinamik dalam mencipta kemajuan, berpegang pada prinsip ‘hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini’.

SENARIO PENDIDIKAN
Dalam konteks negara pertanian, usaha pendidikan memberi tumpuan kepada mengumpulkan anak-anak yang berpotensi cemerlang dalam akademik. Murid yang dikenal pasti melalui sistem pengesanan sejak awal diberikan sokongan melalui program khas.

Kumpulan ini dilihat sebagai cemerlang, walaupun pada waktu itu jumlah mereka tidak ramai tetapi semakin bertambah seiring kemajuan negara. Hasilnya, banyak pakar ekonomi, sains, teknokrat dan profesional lain dilahirkan. Mereka mengemudi negara dan membawa kemajuan yang membanggakan.

Seiring status negara pertanian, strategi pendidikan menekankan kecemerlangan kognitif dan akademik. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran banyak tertumpu pada guru, dengan latih tubi, hafalan dan teknik menjawab soalan.

Strategi ini terbukti berjaya apabila murid cemerlang dihantar ke luar negara untuk menyambung pelajaran dalam pelbagai disiplin sains dan teknologi.

Dengan istiqamah mengekalkan strategi ini, ramai anak bangsa mengisi bidang penting seperti pentadbiran, ekonomi, perubatan, pendidikan tinggi, kejuruteraan dan teknologi. Mereka menyumbang kepada pembangunan negara sehingga Malaysia beralih menjadi negara perindustrian.

Apabila pelaburan syarikat besar dunia masuk ke Malaysia, strategi pendidikan yang berterusan dari era pertanian dan perindustrian membolehkan anak bangsa mengisi sektor pertanian moden dan industri berasaskan teknologi tinggi.

2019 hingga 2022 menyaksikan pandemik Covid-19 mempercepatkan penggunaan teknologi digital dalam pendidikan dan kehidupan.

Teknologi digital kini menjadi asas kehidupan masyarakat dalam pentadbiran, ekonomi, perubatan, komunikasi dan pekerjaan.

Semua lapisan masyarakat, dari dewasa hingga kanak-kanak, hidup dengan aplikasi pengaturcaraan, robotik dan AI, menjadikan kehidupan lebih cekap dan pantas. Perubahan ini juga mempengaruhi cara berfikir dan nilai masyarakat, termasuk pemahaman sebagai warganegara global.

ERA DIGITAL
Era digital membawa kehidupan tanpa sempadan. Masyarakat boleh menonton filem dan drama dari Eropah, Jepun, Korea, Hong Kong dan lain-lain. Mereka boleh bekerja di Berlin, London, Paris, Tokyo atau Shanghai tanpa perlu berhijrah.

Kemajuan perubatan juga dirasai apabila pembedahan dilakukan dalam negara tetapi mendapat panduan doktor luar negara. Anak-anak kini mampu mencipta lagu dengan AI, belajar dalam talian dengan guru tempatan atau luar negara dan berpeluang mengembangkan bakat kreatif mereka.

Hakikat ini menunjukkan strategi pendidikan perlu lebih terbuka, tanpa sempadan fizikal tetapi tetap bijaksana dan selektif. Tidak semua elemen dunia tanpa sempadan sesuai untuk anak bangsa, justeru pendekatan perlu diterjemahkan secara rasional.

TANPA SEMPADAN
Anak-anak era digital mampu memperoleh maklumat di luar bilik darjah, dengan kepandaian merangkumi pelbagai bidang, kreativiti dan pemikiran kritis. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran tidak boleh lagi berpusat pada guru sahaja.

Murid perlu diberi autonomi untuk meneroka, menganalisis dan membuat justifikasi sendiri. Kaedah pembelajaran berasaskan projek amat sesuai bagi anak-anak era digital.

Inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Kurikulum Persekolahan 2027, termasuk penyediaan tablet, adalah manifestasi pendidikan tanpa sempadan.

Bagaimanapun, sokongan semua pihak amat dialu-alukan dan pasti disanjungi. Penyediaan tablet ini merupakan manifestasi inisiatif pendidikan anak bangsa dalam konteks tiada sempadan.

Anak-anak yang berupaya meneroka pelbagai maklumat dan pengetahuan menerusi aplikasi digital membolehkan mereka berkomunikasi dan berinteraksi dalam talian.

Kehidupan mereka menemui pelbagai kelompok masyarakat. Bagaimanapun, kehidupan dalam talian itu tidak memberikan mereka peluang belajar elemen penting kehidupan seperti menghargai, bekerjasama, menghormati dan sebagainya kerana itu pembelajaran secara berkumpulan di sekolah tetap penting untuk membentuk karakter murid.

Guru kini berperanan bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi turut menanam dan menyuburkan nilai murni dalam diri murid, terutama dalam era digital.

Pendedahan anak-anak kepada budaya dan nilai luar memberi cabaran kepada jati diri mereka. Pendidikan tidak boleh tertumpu kepada akademik semata-mata tetapi mesti menekankan nilai agama, budaya dan patriotisme agar insan yang dilahirkan bukan sahaja pandai tetapi berjiwa besar dan menghargai kemerdekaan.

Guru dan sistem pendidikan tidak lagi boleh beroperasi dalam kerangka negara pertanian atau perindustrian. Dalam dunia digital, kecemerlangan tidak lagi terhad kepada murid akademik tertentu ekoran sempadan kepandaian telah meluas.

Pendidikan kini bertanggungjawab menggilap potensi setiap anak, menyuburkan nilai murni dan menjaga kesejahteraan emosi serta psikologi mereka.

Hanya dengan itu, pendidikan dapat membina generasi yang berjati diri, berilmu dan mampu mengisi makna kemerdekaan dalam dunia tanpa sempadan. – UTUSAN

DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Ketua Pengarah Pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN