PERKEMBANGAN terkini mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang ditawarkan di lebih 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), menimbulkan banyak persoalan tentang pengiktirafan sijil tersebut di peringkat nasional.
Baru-baru ini, pihak yang menuntut pengiktirafan UEC mendakwa sijil itu tidak pernah diwujudkan untuk tujuan rasmi. Kenyataan ini jelas bercanggah dengan realiti sebenar. UEC bukan sekadar dipohon untuk diiktiraf, malah tuntutan terhadap pengiktirafannya dibuat dengan agresif, dengan matlamat agar sijil ini diterima secara nasional.
Antara usaha terkini ialah permohonan untuk membolehkan UEC digunakan bagi kemasukan ke universiti awam dan sektor pekerjaan kerajaan. Sebenarnya, sebelum ini sijil tersebut pernah diiktiraf untuk kemasukan ke Institut Pendidikan Guru khusus bagi pengkhususan bahasa Mandarin. Malah, UEC juga dijadikan asas permohonan untuk mendapatkan sijil amalan guaman di negara ini.
Namun begitu, pengiktirafan rasmi UEC tidak boleh diberikan lagi. Ini kerana tuntutan yang dikemukakan seolah-olah ‘beri betis hendak paha’.
Sifat rakus sesetengah pihak yang menuntut pengiktirafan itu sukar dijangka dan sentiasa menimbulkan kesulitan, malah kadangkala menjengkelkan. Hal ini dapat dilihat daripada pendirian tegas mereka yang mahu UEC terus kekal dalam bentuk kontroversial, dengan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum tersendiri yang jauh berbeza daripada kurikulum kebangsaan. Dua ciri teras ini tidak akan dikorbankan demi pengiktirafan atau tuntutan lain.
Pendirian ini jelas menunjukkan sikap yang bukan sahaja angkuh, malah tidak selaras dengan semangat nasionalisme. Persoalannya, bagaimana UEC yang identitinya tidak bersifat nasional mahu diiktiraf sebagai sijil peringkat nasional? Sudah tentu, pengiktirafan sedemikian tidak mungkin diberikan selagi identiti sijil itu kekal tidak berubah dan tidak selaras dengan ciri-ciri nasional yang dikehendaki.
Tuntutan pengiktirafan UEC sebagai sijil nasional tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya, apatah lagi dengan mengenakan pelbagai syarat. Sebelum ini, pelajar dikehendaki lulus gred tertentu dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah. Kini, syarat baharu menekankan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terlebih dahulu sebelum UEC digunakan untuk mempromosikan bahasa lain, termasuk bahasa Mandarin.
Syarat-syarat ini bukan sekadar peraturan formal sebaliknya merupakan tanggungjawab asas setiap warganegara Malaysia. Penguasaan bahasa kebangsaan dan kefahaman terhadap sejarah negara harus dilakukan dengan ikhlas dan sebagai komitmen kepada tanah air. Nilai-nilai ini membentuk asas kewarganegaraan yang sejati, bukan sekadar dokumen untuk memenuhi tuntutan.
UEC sendiri adalah hasil ciptaan masyarakat Cina dan secara sedar mahu kekal sebagai entiti pendidikan swasta. Justeru, sijil ini sepatutnya terus berada di luar sistem pendidikan negara. Pilihan ini diketahui sejak awal oleh masyarakat Cina yang UEC tidak akan diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan. Dengan itu, UEC wajar meneruskan laluan yang dipilihnya sendiri, selaras dengan aspirasi etnik Cina yang menekankan bahasa dan budaya mereka.
Walaupun penuh ketaasuban terhadap warisan budaya, UEC masih dibenarkan beroperasi di Malaysia dan berpotensi berkembang secara dinamik. Ia memberi ruang kepada pelajar untuk mengekalkan identiti budaya mereka tanpa menafikan kepentingan integrasi dengan nilai dan prinsip nasional. Kebebasan sebegini, yang masih wujud di Malaysia, jarang sekali diberikan kepada diaspora Cina di negara lain di dunia.
SMPC jelas merupakan institusi tersendiri yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan. Persekitarannya sarat dengan unsur budaya Cina, manakala kurikulum dan sukatan pelajaran banyak dipengaruhi ideologi Konfusius dan China. Bahasa Mandarin menjadi bahasa utama, malah kadangkala satu-satunya bahasa pengajaran.
Bahasa Mandarin bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga membentuk cara pemikiran, menyediakan struktur untuk pembentukan konsep, akal penaakulan dan cara menilai serta mengkategorikan dunia, termasuk aspek kehidupan dan kemanusiaan.
Akibatnya, apabila seseorang hanya menguasai bahasa Mandarin, cara berfikirnya cenderung lebih jumud. Emosi, pemprosesan maklumat dan cara menanggapi situasi berbeza dengan mereka yang menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa utama. Nilai yang diterapkan juga sering bersifat etnosentrik.
Sebaliknya, penguasaan pelbagai bahasa membuka perspektif yang lebih luas, memperkaya pemikiran dan membentuk kemampuan menyelesaikan masalah secara efektif. Kepelbagaian bahasa membolehkan pelajar melihat dunia dari sudut berbeza, memperkukuh komunikasi dan membina kebolehsuaian dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Dengan keadaan hanya mengutamakan bahasa Mandarin, SMPC menjadi institusi ekabahasa, ekabudaya dan ekaetnik. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pembentukan pemikiran kritis pelajar, malah memberi kesan negatif terhadap kemampuan mereka menyesuaikan diri dalam masyarakat berbilang bahasa dan budaya.
Oleh itu, kurikulum dan sukatan pelajaran SMPC harus lebih selari dengan kurikulum kebangsaan. Pengetahuan bahasa lain, terutamanya bahasa Melayu dan Inggeris, perlu dipertingkat supaya bahasa Mandarin bukan satu-satunya bahasa pemikiran.
Dua perkara yang banyak berkiblatkan ‘alam’ Cina, khususnya Taiwan, menyebabkan lepasan SMPC dan UEC ditanggapi sebagai antinasional. Mereka rata-rata tidak menguasai bahasa Melayu dan kurang memahami budaya etnik lain, akibat pengasingan budaya dan bahasa.
Banyak perkara luar biasa di SMPC bertentangan dengan sistem pendidikan negara. Penggunaan bahasa Mandarin sepenuhnya dan kurikulum luar negara yang dipertikai menunjukkan isu pengiktirafan UEC sukar diselesaikan. Pihak yang menuntut pengiktirafan tetap bertegas untuk mengekalkan dan memperkukuh ciri-ciri ini.

BELAJAR BERSYUKUR
Dengan itu, biarlah SMPC dan UEC terus beroperasi sebagai entiti pendidikan swasta. Malah, walaupun sifatnya tidak nasional, mereka masih menerima sokongan kerajaan dari segi kewangan dan lain-lain, membolehkan pelajar mengekalkan identiti budaya mereka tanpa mengganggu sistem pendidikan negara.
Dalam hal ini, etnik Cina disarankan bersyukur dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit. Kebaikan dan ruang yang diberikan sepatutnya dihargai, sekurang-kurangnya dengan menghormati milikan yang masih bersifat Cina di tanah Malaysia, tanpa berkeinginan untuk menuntut lebih secara licik.
Sebenarnya identiti nasional dan budaya ini tidak perlu pun dirundingi sebagai syarat. Ini kerana dua identiti ini adalah fakta yang begitu nyata tanpa perlu lagi dipersoal pun oleh mana-mana warganegara.
Oleh itu, pengiktirafan UEC tidak boleh sesekali berupa pertukaran. Ia sama sekali tidak boleh bersifat penuhi syarat tertentu dahulu, baharulah boleh ditunaikan hajat yang dikehendaki itu.
Sesungguhnya cara bersyarat-syarat begini sangat tidak baik untuk membina negara yang berdaulat dan membentuk rakyat yang patriotik.. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










