Tidak perlu letak syarat iktiraf UEC

Tidak perlu letak syarat iktiraf UEC

IDENTITI nasional dan budaya tidak boleh sama sekali dijadikan syarat untuk apa-apa sahaja di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) yang bermula sejurus diperkenal pada 1975 kini hampir menjadi krisis, iaitu keadaan keliru lagi rumit yang memerlukan ketetapan penting yang muktamad sifatnya. Ini kerana ia menggugat perpaduan negara setiap kali dibangkitkan.

UEC sewajarnya tidak perlu pun dijadikan isu kerana ia yang disediakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina bukan sahaja adalah pilihan sendiri setelah menolak tawaran kerajaan. Juga mempunyai laluan tersendiri yang didakwa hebat.

Oleh itu, ia harus kekal dalam keadaan sedia ada. Bukannya mahu memaksa kerajaan menerimanya ke dalam sistem pendidikan negara. Antaranya untuk kemasukan ke universiti awam dan sektor pekerjaan awam, setelah diberikan beberapa kelonggaran sebelum ini.

Sesungguhnya isu UEC tidak patut pun dilayan dari awal lagi. Ia tidak pun merupakan mana-mana bahagian dalam sistem pendidikan negara, waima sekecil zarah. Ia hanya institusi pendidikan swasta yang tidak perlu pun menggunakan bahasa Melayu dan kurikulum kebangsaan.

Dengan ini, ia yang menggunakan bahasa Cina dan sedikit bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama, hanya dikehendaki menawarkan mata pelajaran bahasa Melayu sahaja.

Manakala kurikulum yang digubal sendiri itu dibenarkan kerana terdapat kesamaan pada jenis mata pelajaran yang ditawarkan dalam kurikulum kebangsaan.

Walaupun dalam keadaan yang tidak pun berupa sistem kebangsaan, UEC cuba memohon pengiktirafan demi pengiktirafan untuk ikut menyerupai institusi pendidikan kerajaan. Ia ibarat beri betis hendak paha, iaitu meminta lebih setelah diberi sedikit.

Sikap tamak ini jelas kelihatan sesudah diiktiraf bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Guru untuk pengkhususan bahasa Mandarin sahaja. Ia juga diiktiraf untuk memperoleh sijil amalan guaman. Kini ia mahu pula diiktirafkan dengan permintaan yang lebih banyak.

Tindakan meminta dipenuhi syarat lulus mata pelajaran bahasa Melayu yang kemudiannya diikuti sejarah tidak sepatutnya dikemukakan pun. Ini kerana syarat itu yang bukan sahaja bersifat tiba-tiba, juga tidak sistematik langsung.

Ia diadakan semata-mata sebagai syarat spontan yang didorong orientasi peperiksaan sahaja.

Ini berbeza sekali dengan pelajar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang mengambil dua mata pelajaran itu melalui proses pendidikan sempurna, yakni dari awal lagi sesudah direncanakan sebegitu.

Dengan kata lain, pengetahuan bagi menguasai dua mata pelajaran itu hendaklah diperoleh secara sistematik dalam satu tempoh pembelajaran untuk tujuan penghayatan.

Kajian holistik dan komprehensif yang pernah dilakukan setelah ketetapan terhadap dua mata pelajaran itu dibuat, juga tidak sepatutnya berlaku langsung. Ini kerana sudah terang lagi bersuluh bahawa UEC tidak berada dalam sistem pendidikan negara dalam apa-apa bentuk jua. Justeru tiada keperluan langsung untuk mengkajinya.

Kajian itu sebenarnya cela dari awal lagi. Keanggotaan pasukan petugas itu yang terdiri daripada hanya tiga pihak, ikut memasukkan pihak yang sangat berkepentingan sebagai salah satu pihaknya. Ia tidak lain tidak bukan adalah pihak yang bukan sahaja meminta, malah mendesak UEC diiktiraf.

Ini bukan sahaja sangat tidak profesional, juga memperlihat betapa tidak pekanya tatakelola penubuhan pasukan petugas itu. Dengan keanggotaan berat sebelah ini, sudah pasti ketentuan pada laporan kajian itu sama sekali tidak boleh dipakai.

Ini kerana ia pasti berpihak, justeru tidak sah kerana memang tiada keabsahan dari awal lagi, setelah wujudnya kesalahan prosedur yang sebegitu serius.

Walaupun UEC yang dinaratifkan sebagai sangat baik, antaranya diiktiraf oleh banyak institut pendidikan tinggi tersohor di seluruh dunia, ia tidak boleh sesekali diterima bulat-bulat.

Ini kerana pengiktirafan yang dipaparkan sebagai automatik itu sebenarnya bersyarat dengan pelbagai tuntutan.

Sebenarnya langkah yang mengiktirafkan sijil A-Level untuk kemasukan ke universiti awam di Malaysia, adalah satu kesilapan besar.

Dalam hal ini, isu pengiktirafan UEC adalah antara akibatnya yang boleh disusuli oleh yang lain-lain.

Mengiktiraf A-Level dan mungkin UEC nanti, tidak sesekali menjadi ia perkara tidak salah. Ia tetap salah kerana kedua-duanya bukan pun berupa mana-mana bahagian dalam sistem pendidikan negara untuk diberikan apa-apa jua pengiktirafan.

Lagipun, apa logiknya menerima mereka yang tidak meyakini sistem pendidikan negara. Walaupun atas kebebasan hak, tidak munasabah sekali tempat terhad di universiti awam di Malaysia, perlu dikongsikan dengan mereka yang pernah menolaknya.

Dalam hal ini, setiap tempat itu hendaklah pertama-tamanya diperuntuk kepada hanya rakyat yang mengikuti sistem pendidikan negara dari awal sehingga ke akhirnya.

Pengiktirafan UEC juga banyak dibicarakan dari segi ekonomi. Ia dikaitkan dengan soal kehilangan bakat kerana lepasan UEC yang didakwa sebagai berkelas dunia, kononnya akan bekerja di tempat lain.

Dengan ini, ia akan merugikan Malaysia sebab mereka ini boleh mempertingkat kedudukan Malaysia di persada dunia.

Penghujahan begini bukan sahaja bersifat sangat kebendaan, yakni berorientasi wang semata-mata sebagai kejayaan utama dalam kehidupan. Sikap begini didapati mengkesampingkan nilai budaya yang sama penting, kekadang yang jauh lebih penting daripada wang ringgit.

Ia juga tidak nasionalistik sekali kerana tidak mahu sesekali diseimbangkan dengan keadaan keterikatan dengan negara ini sebagai warganegaranya yang baik.

Dalam hal ini, keterikatan itu adalah kepada identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyatnya.

Syarat untuk memberi pengiktirafan UEC hanya setelah identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat dibereskan dahulu, sesungguhnya bukan sesuatu yang baik pun.

Ini kerana pendukungan kedua-dua identiti ini sewajarnya langsung tidak bersyarat, yakni sama sekali tidak terikat kepada mana-mana dan apa-apa ketetapan.

Ia kewajipan setiap warganegara yang baik. Dengan ini, menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak boleh sesekali dilakukan sebagai pertukaran. Antaranya untuk pengiktirafan UEC.

Sebaliknya ia hendaklah bersifat wajib lagi ikhlas, justeru mutlak tanpa sebarang syarat oleh mana-mana warganegara.

Inilah natijahnya, iaitu identiti nasional dan budaya tidak boleh dijual beli. Ia nilai sangat tinggi yang tidak terhingga harganya.

Oleh itu, ia bukan sesekali jati diri bersyarat, yakni sifat teguh hati dan kental jiwa yang bergantung pada terma, perjanjian dan ketentuan lain. Jati diri bukan sesuatu syarat yang wajib dipenuhi terlebih dahulu untuk sesuatu itu boleh diberikan.

Dalam kes pengiktirafan UEC ini, identiti nasional dan budaya dijadikan syaratnya, iaitu etnik Cina harus menerima bahasa Melayu sebagai bahasa negara, justeru menguasainya dengan baik. Dalam hal ini, setelah syarat ini dipenuhi, baharulah akan ada pertimbangan untuk mengiktiraf UEC.

Hal begini tidak sepatutnya, dan tidak boleh sesekali dibiarkan berlaku secara bersyarat. Identiti nasional dan budaya tidak boleh sama sekali dijadikan syarat untuk apa-apa sahaja di negara ini.

Sehubungan ini, kedua-duanya adalah perkara yang sangat asas selain wajib difahami dengan jelas untuk didukung oleh setiap rakyat, tanpa sebarang syarat.

Sebenarnya identiti nasional dan budaya ini tidak perlu pun dirunding sebagai syarat. Dua identiti ini adalah fakta yang begitu nyata tanpa perlu lagi dipersoal pun oleh mana-mana warganegara.

Oleh itu, pengiktirafan UEC tidak boleh sesekali berupa pertukaran. Ia sama sekali tidak boleh bersifat penuhi syarat tertentu dahulu, baharulah boleh ditunaikan hajat yang dikehendaki itu.

Sesungguhnya cara bersyarat-syarat begini sangat tidak baik untuk membina negara yang berdaulat dan membentuk rakyat yang patriotik. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN