Subsidi petrol buka peluang Malaysia menuju pembangunan lestari

Subsidi petrol buka peluang Malaysia menuju pembangunan lestari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN subsidi petrol secara bersasar menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh disiplin fiskal negara melalui tadbir urus perbelanjaan awam yang lebih cekap dan adil.

Langkah ini bukan sekadar bertujuan mengekang ketirisan subsidi dan mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah menyediakan ruang untuk menyalurkan semula penjimatan tersebut kepada inisiatif pemuliharaan alam sekitar berimpak tinggi misalnya penggunaan teknologi hijau dan pembangunan bahan bakar mesra alam.

Dalam era perubahan iklim global yang semakin ketara, penjimatan subsidi petrol wajar dilihat sebagai peluang dasar yang penting untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Kementerian Kewangan menganggarkan subsidi bersasar bagi petrol RON95 mampu menjana penjimatan fiskal tahunan sekitar RM8 bilion daripada kira-kira RM20 bilion yang dibelanjakan sebelum ini.

Isu utama yang dihadapi sebelum ini ialah ketirisan besar dalam sistem subsidi pukal. Hal ini kerana dianggarkan hampir 40 peratus penggunaan petrol melibatkan segmen bukan warganegara, penggunaan komersial serta aktiviti penyeludupan. Keadaan ini menyebabkan subsidi dinikmati oleh kumpulan sasaran yang salah sekali gus menjejaskan keadilan sosial dan kecekapan pengurusan perbelanjaan negara.

Melalui BUDI95, harga runcit petrol RON95 dinaikkan ke RM2.60 seliter. Oleh itu, kumpulan yang tidak layak menerima subsidi perlu membayar pada harga tersebut. Pada masa sama, rakyat Malaysia yang layak boleh menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter melalui pengesahan MyKad.

Pelaksanaan yang bermula secara berperingkat sejak 27 September tahun lalu turut menetapkan had pembelian sehingga 300 liter sebulan bagi individu yang layak. Pendekatan ini memastikan subsidi disasarkan secara lebih tepat kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, di samping mengurangkan pembaziran dan ketirisan sumber negara.

Kerajaan menetapkan penjimatan fiskal daripada program pengurangan subsidi ini akan diagihkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

 

PENJIMATAN RM8 bilion setahun daripada subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) boleh digunakan untuk seimbangkan ekonomi, jaga alam sekitar dan bina masa hadapan lestari.

BERI MANFAAT KEPADA ALAM SEKITAR

Walau bagaimanapun, dalam kerangka pembangunan mampan, penjimatan ini juga perlu dimanfaatkan secara strategik untuk memperkukuh agenda pemuliharaan alam sekitar.

Secara langsung atau tidak langsung, pengurangan subsidi petrol boleh memberi kesan positif kepada alam sekitar khususnya jika diteliti dalam jangka masa panjang.

Pertama, pengurangan subsidi dijangka menyumbang pengurangan penggunaan bahan api fosil. Hal ini sebenarnya selari sebagaimana ditekankan dalam Islam iaitu kesederhanaan dalam penggunaan dan penolakan sikap berlebihan walaupun terhadap perkara yang halal.

Penggunaan bahan api fosil secara boros bukan sahaja membebankan alam sekitar, malah bertentangan dengan tuntutan agama yang menggalakkan umatnya hidup secara sederhana.

Harga petrol yang terlalu rendah akibat subsidi sebenarnya boleh mendorong penggunaan berlebihan.Kenaikan harga bahan api yang mencerminkan kos sebenar, termasuk kos alam sekitar, mendorong pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan penggunaan minyak.

Keadaan ini secara semula jadi menggalakkan perkongsian kenderaan, penggunaan pengangkutan awam serta perancangan perjalanan yang lebih cekap, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sumber tenaga fosil yang semakin terhad.

Selanjutnya, pengurangan penggunaan petrol membawa penurunan pelepasan karbon dan pencemaran udara. Pembakaran petrol dan diesel merupakan antara penyumbang utama kepada pelepasan karbon dioksida yang mempercepat perubahan iklim global.

Pengurangan pelepasan ini berpotensi meningkatkan kualiti udara bandar dan mengurangkan beban kesihatan awam khususnya kepada golongan B40 yang sering terdedah kepada pencemaran akibat tinggal di kawasan berpenduduk padat dan berhampiran laluan trafik utama.

Ketiga, pengurangan subsidi petrol menghantar isyarat dasar yang jelas bahawa bahan api fosil bukan lagi pilihan tenaga jangka panjang. Subsidi yang berpanjangan selama ini memberikan isyarat yang mengelirukan seolah-olah penggunaan bahan api fosil tidak mempunyai kos alam sekitar.

Dengan penstrukturan semula subsidi, jelas kerajaan sedang bergerak ke arah ekonomi rendah karbon dan membuka ruang kepada pelaburan dalam pengangkutan awam yang lebih bersih dan cekap tenaga.

Dalam konteks ini, penjimatan subsidi wajar disalurkan kepada peningkatan kualiti dan liputan pengangkutan awam seperti bas elektrik, sistem rel bandar yang cekap serta integrasi mobiliti pintar.

Pelaburan sedemikian bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah menyediakan alternatif pengangkutan yang mampu milik dan inklusif kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, penjimatan ini juga boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid melalui insentif cukai, pembangunan infrastruktur pengecasan dan sokongan kepada rantaian bekalan tempatan.

Peralihan kepada kenderaan elektrik dapat mengurangkan kebergantungan terhadap petrol dan diesel seterusnya menyumbang pengurangan pelepasan karbon bagi sektor pengangkutan yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pencemaran udara.

Di samping itu, pelaburan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biojisim juga perlu diperkukuh melalui penjimatan subsidi petrol.

Tenaga solar berpotensi besar di Malaysia berikutan kedudukan geografi negara manakala biojisim dapat dimanfaatkan daripada sisa pertanian dan industri.

Pembangunan sumber tenaga ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon malah menyumbang kepada keselamatan tenaga dan mencipta peluang pekerjaan hijau.

Lebih penting lagi, penjimatan subsidi petrol juga boleh digunakan untuk meneroka dan membangunkan teknologi hidrogen sebagai bahan bakar masa hadapan.

Hidrogen yang dihasilkan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui berpotensi menjadi alternatif bersih kepada bahan api fosil khususnya dalam sektor pengangkutan berat dan industri.

Pelaburan awal dalam penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan hidrogen akan meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik dalam landskap tenaga global.

Maka, penjimatan sekitar RM8 bilion setahun hasil pengurangan subsidi petrol melalui BUDI95 merupakan peluang dasar yang strategik untuk menyepadukan agenda fiskal dengan pemuliharaan alam sekitar dan peralihan tenaga negara.

Dengan menyalurkan penjimatan ini kepada pengangkutan awam bersih, kenderaan elektrik dan hibrid, tenaga boleh diperbaharui, serta teknologi hidrogen, Malaysia sedang melangkah ke arah pembangunan yang lestari dan adil, demi kesejahteraan kita semua termasuk generasi akan datang.-UTUSAN

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar,Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×