MUKADIMAH
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, persoalan hala tuju parti, kedudukan orang Melayu serta masa depan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kembali menjadi perbincangan hangat. Perpecahan undi dan ideologi bukan sahaja melemahkan suara Melayu, malah membuka ruang kepada pihak lain menentukan hala tuju negara tanpa keutamaan jelas terhadap kepentingan bangsa majoriti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, DATUK MOHD. RAZLAN RAFII menegaskan orang Melayu tidak boleh terus “diracik-racik” sehingga kehilangan kekuatan politik yang selama ini menjadi benteng mempertahankan agama, institusi Raja dan Perlembagaan.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ASLINDA NASIR dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta jurufoto ISKANDAR ISHAK, Mohd. Razlan mengupas keperluan mendesak penyatuan orang Melayu menjelang PRU16, peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan orang Melayu terus mempunyai suara dan kuasa dalam menentukan masa depan negara.
RINTIHAN AKAR UMBI
MINGGUAN MALAYSIA: PAU 2025 akan berlangsung tidak lama lagi, boleh Datuk kongsi antara usul atau agenda yang dijangka jadi tumpuan?
Isu akan tertumpu kepada hal berkaitan orang Melayu dan UMNO tidak boleh lari daripada perjuangan orang Melayu, menangani kerunsingan mereka dan hala tuju kepentingan orang Melayu. Apakah Melayu hilang, apakah yang dikekalkan?
Kita lihat, isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, mungkin disentuh dalam PAU kali ini. UMNO dalam kerajaan ini bila kita memperkasakan sekolah tahfiz, Felda, program pendidikan orang Melayu, Felcra dan MARA, tapi nampak macam tidak cukup. Mereka masih tertanya-tanya di manakah arah tuju UMNO selepas ini?
Pada PAU, kita akan mendengar rintihan akar umbi, yang dibawa daripada mesyuarat cawangan hingga ke negeri. Pandangan saya kali ini agak kritis sedikit sebab ada perkara yang dibangkitkan DAP yang tidak menghormati kedudukan UMNO dalam kerajaan. Bila kita lihat ada pemimpin DAP meraikan keputusan mahkamah dalam kes adendum Najib, itu tidak patut, kerana mana-mana parti pun ia harus berpegang pada maruah dan mempertahankan pemimpin mereka.
Sama juga macam DAP, ada juga pemimpin mereka terpalit rasuah, tapi mereka tidak bercakap tentang perkara itu. Malah kita pun menghormati dan tidak bercakap perkara itu, tapi bila ada tindakan sebegini oleh parti itu, ia seolah menampakkan mereka tidak ikhlas. Inilah menaikkan kemarahan orang Melayu.
Kita sepatutnya saling menghormati, tapi itu tidak nampak pada DAP. Kalau ikhlas jangan tuding jari kepada mana-mana pihak.
Sebab UMNO, kita jaga orang Melayu, jaga Perlembagaan, institusi Raja dan agama kita. Itu pun hari ini masih orang mempertikaikan tentang kewujudan UMNO dalam kerajaan Perpaduan.
Masalah kerjasama antara UMNO dan DAP, adakah kerana ego?
Bukan kerana ego. Ia berbalik kepada kalau kita salah, jangan tuding jari kepada parti lain, disebabkan parti lain, tidak boleh macam itu. Mungkin dalam DAP ada orang-orangnya yang tidak bersetuju untuk bersama dengan UMNO, seperti juga UMNO, ada juga yang tidak bersetuju untuk bersama DAP, tapi kita masih mampu menguruskannya.
Kita tidak akan melatah kalau DAP tidak mengeluarkan kenyataan menguris hati, atau ada pemikiran dasar mereka bawa tidak seiring dengan perjanjian dalam kerajaan ini, kita akan bantah.
Seperti mana apabila mereka membangkitkan tentang isu pilihan raya PBT, kita kata tidak setuju, ada lagi banyak yang kita bantah. Jangan cakap UMNO tidak bantah apabila DAP mahu membuat sesuatu. Ini untuk menjaga perjanjian kita dan harap DAP faham perkara itu. Jangan hendak hentam UMNO sekadar mahu populariti. Kalau mereka faham itu mungkin boleh perbaiki hubungan.
Apa mesej penting yang hendak disampaikan kepada perwakilan pada PAU kali ini?
Kita jangan ada perasaan apologetik, kalau hendak mempertahankan kedudukan orang Melayu, jangan sesekali ada perasaan malu untuk bercerita tentang Melayu, sebab UMNO selama ini tidak pernah malu untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Jika ada kepentingan orang Melayu yang perlu dibangkitkan, kita bangkitkan, itu intipati perjuangan kita sebagai ahli UMNO perlu terus bersuara.
TOLAK DAP
Akar umbi UMNO masih banyak menolak DAP, bagaimana Datuk melihat jika ada desakan pada PAU kali ini untuk memutuskan kerjasama dalam kerajaan?
Kita kena tengok apa impak kepada kerajaan, kita kena faham Pakatan Harapan (PH), DAP dan rakan mereka ada ideologi berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional. Kita bawa ideologi nasional yang diwujudkan dari dulu. Kalau keluar dari kerajaan hari ini, kepentingan orang Melayu siapa nak jaga? adakah felda akan dikekalkan? Dana-dana untuk pembangunan Islam itu dikekalkan? dasar tahfiz dihapuskan tapi bila UMNO dalam kerajaan kita aktifkan balik sampai tahfiz 2.0, siapa yang perjuangkan perkara-perkara ini?
UMNO masuk dalam kerajaan ini bersama dengan syarat iaitu Agong tidak boleh dikacau. Kalau kata UMNO menarik diri daripada kerajaan ini, siapa hendak jaga perkara-perkara ini?
Mereka boleh tukar dalam sekelip mata sahaja, saya tidak kata tentang Perdana Menteri tak tahu menjaga perkara ini, tapi perkara ini boleh berlaku. Setakat hari ini, perkara ini tidak boleh berlaku sebab UMNO ada di dalam kerajaan. Bukan senang untuk kita keluar dan bukan jawatan yang kita kejar tapi untuk kepentingan orang Melayu.
Penyatuan Melayu
Apakah formula untuk memastikan penyatuan orang Melayu itu boleh dijayakan?
Kita kena ada satu gerakan untuk kita satukan semula NGO Melayu ini. Penggerak dan pemikir Melayu dan kita letak tepi sebentar tentang politik, kita bincangkan kepentingan Melayu tanpa pinggirkan mana-mana pihak. Kalau ada gerakan ini yang berskala besar, insya-Allah orang Melayu akan beri semula kepercayaan kepada gabungan Melayu ini. Inilah formula yang kita harapkan.
Dulu kita ada satu titik pertemuan bila ICERD nak diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini, isu statut Rom, itu titik pertemuan parti dan NGO Melayu untuk kita kekalkan kedaulatan, sebab kita ada sebab untuk bersatu di bawah satu payung, kali ini juga saya harap ada satu sebab untuk jadi perkara bagi kita menyatukan orang Melayu. Mesti satu sebab yang besar, kalau tidak sukar untuk menyedarkan orang Melayu, bahawa kalau UMNO tidak ada dalam kerajaan, banyak benda yang kita hilang.
Tapi kalau PRU16 ini kita terus berpecah, orang Melayu tidak akan menjadi dominan.
Adakah UMNO akan menggerakkan penyatuan Melayu ini untuk menghadapi PRU16?
Kita akan teruskan penglibatan kita bersama gerakan-gerakan Melayu di bawah untuk dapatkan kembali kepercayaan mereka. Usaha ini memang tidak pernah kita hentikan, termasuk dengan Pas.
ORANG MELAYU JANGAN SILAP LANGKAH
Pandangan Datuk tentang kemampuan UMNO bergerak solo dalam PRU-16?
Orang Melayu tidak ada formula lain selain daripada bersatu. Orang Melayu melihat sekiranya terus berpecah kita akan hilang banyak, mungkin kerajaan pun kita hilang. Kalau bercakap nak pergi solo, UMNO dah pergi solo sebelum ini, kita menang besar di Melaka, Johor tapi bila di PRU, kita nampak tak boleh berpecah. Kalau UMNO berpecah, Melayu berpecah saya tak nampak yang kita akan melihat sekali lagi dominan orang Melayu dalam kerajaan.
Kalau kita tersalah langkah untuk PRU akan datang, orang Melayu boleh hilang kedudukan dalam kerajaan, itu kita kena sedar. Jadi, apa pun kita hendak buat dalam pilihan raya ini, orang Melayu sendiri kena fikir dan UMNO selama ini sentiasa membuka ruang untuk orang Melayu bersama.
Pas kalau kita lihat ada negeri yang mereka perintah bersama Bersatu, tapi tidak boleh ke mana. Kalau UMNO juga pergi solo dan saya tidak nampak ada formula bersama orang Melayu untuk memenangkan kerusi-kerusi untuk kepentingan orang Melayu.
Bagaimana Datuk melihat kemampuan MCA dan MIC dalam BN ketika ini?
Bila kita lihat di peringkat bawah hari ini, MCA sedang mendapat kepercayaan orang Cina. MCA menjadi harapan dan mereka sudah mula bercakap-cakap tentang formula perniagaan semasa MCA ada dalam kerajaan. Saya lihat orang Cina ada tempat bergantung dan saya percaya MCA akan ke hadapan malah Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memang perjuangkan formula percukaian yang tidak menepati selera rakyat iaitu e-Invois dan SST ini. Saya rasa ia tentang masa, MCA pasti akan mendapat kembali sokongan dan kepercayaan rakyat.
Tentang keadaan tarik tali MCA dan MIC untuk keluar dari BN?
Itu percakapan politik, ramai bercakap, tapi dalam meja rundingan dan dibawa ke mesyuarat besar, pemikir lebih senior mempunyai pandangan lain dan perkara itu tidak berlaku. Mungkin ada desakan itu kita kena dengar tapi saya tidak melihat perkara itu sampai ke tahap untuk keluar dari gabungan.
MCA dan MIC agak kecewa tentang pembahagian kerusi dengan kerjasama antara UMNO/DAP dalam kerajaan Perpaduan, komen Datuk?
Ya, tapi kita kena faham bahawa kita berjanji dengan kerajaan Perpaduan ini sehingga sampai PRU16 sahaja. Untuk ke hadapan kita tidak ada perjanjian apa-apa. Sebab apa yang dituntut oleh pihak istana pada ketika itu, untuk mewujudkan kerajaan stabil.
Rakyat Malaysia sudah tidak sanggup untuk melihat situasi satu penggal ada tiga perdana menteri. Itu sebab kita pergi bersama mereka dan saya percaya MCA, MIC pun faham perkara ini, perjanjian untuk kita bersama Kerajaan Perpaduan ini sehingga sampai PRU16. Akan datang kita mungkin ada formula lain.
UMNO PERLU NAJIB
Adakah sentimen kes Datuk Seri Najib Razak akan beri kesan kepada undi UMNO pada PRU16?
Saya percaya ramai yang percaya lagi bahawasanya UMNO memerlukan Najib. Sebab rakyat melihat dan merasa pembangunan dibuat waktu zaman Najib. Sehingga hari ini ekonomi negara hari ini dipacu oleh formula-formula dibuat pada zaman Najib.
Contoh Bandar Malaysia, TRX, Menara 118, high speed rail, banyak lagi. Ini semua intipati dilihat rakyat bahawa zaman Najib banyak pembangunan. Namun tidak dinafikan sebab hukuman terhadap beliau, mungkin ada diantara mereka lihat kegagalan kita membela Najib. Kalau PKR boleh membela pemimpin mereka sehingga 23 tahun, apalah sangat UMNO ini, kita baru berapa tahun, jadi kita kena terus perjuangkan Najib.
Pandangan Datuk sama ada UMNO/BN perlu lebih yakin dalam meletakkan sasaran kerusi melebihi 30 pada PRU16?
Kalau kita buat kempen yang betul, beri penerangan kepada rakyat dengan betul, bawa semula janji yang telah kita laksanakan dahulu dan sejarah kita UMNO ini kalau buat manifesto, paling minimum 95 peratus dilaksanakan dan kita tak pernah tipu rakyat. Itulah jejak rekod UMNO.
Hari ini antara perkara yang rakyat bising tentang janji-janji pemimpin terdahulu. Mereka mainkan semula isu-isu, mana janji harga kereta murah, minyak murah, hapus PTPTN, mana janji tentang Tabung Haji mahu diperkasakan.
Banyak janji yang dibuat melangit, sehinggakan UMNO tidak ada ruang untuk menunjukkan prestasi pada ketika itu dan ini semua sedang dituntut rakyat. Cuma saya hendak katakan bila kita buat manifesto, janji itu adalah manifesto yang kita akan laksanakan seperti mana kita nyatakan ketika berkempen, itu track record UMNO dan BN.
Sepatutnya, kita boleh dapat lebih kerusi, kalau UMNO kekal teguh, tiada pergaduhan dalaman. Bila rakyat melihat kita lebih kuat daripada parti-parti Melayu lain, orang akan sokong kita.
Menghadapi PRU16, adakah UMNO perlukan kembali pemimpin digantung, dipecat?
UMNO ini parti besar. Ada struktur. Kita tidak bergantung kepada individu. Kita bergantung pada jawatan presiden, timbalan, naib-naib presiden, ini organisasi, siapa mahu masuk UMNO kena faham tanggungjawab, mendengar kata. Bukan kata satu orang. Pemimpin yang berada ‘di luar’ itu ramai faham, UMNO terbuka terima mana-mana ahli kena buang ke, gantung ke, kita okay.
Menepis persepsi UMNO mudah terpalit rasuah, namun ada pemimpin dalam parti kerajaan hari ini turut terpalit isu sama, komen Datuk?
Ini adalah isu individu bukan parti. Pemimpin UMNO yang dulu ada rasuah pun masuk penjara kerana UMNO (mentadbir ketika itu), jadi parti-parti lain mahu burukkan UMNO. Guna (isu) itulah, tetapi hari ini rakyat sudah nampak dan jelas rasuah itu adalah isu individu, tiada kena mengena dengan parti. Harap rakyat faham dan jangan salahkan UMNO untuk segala-galanya.
Mungkinkah corak selepas ini tiada parti politik yang dominan dan memerlukan kerjasama untuk bentuk kerajaan?
Perkara ini akan berterusan sampai bila-bila sekiranya orang Melayu tidak bersatu, tidak berada di bawah satu payung besar yang mereka percaya.
Dulu zaman reformasi, sekarang kerajaan Madani, kalau orang Melayu mahu melihat Melayu dominan dalam satu kerajaan itu semula, kita kena ada revolusi pemikiran yang mesti digerakkan untuk menerapkan pemikiran dan jiwa setiap orang Melayu. Kita kena faham revolusi ini untuk meletakkan semula kepentingan Melayu pada tempatnya.
UMNO payung orang Melayu
Cadangan kerjasama UMNO-Pas dalam Muafakat Nasional dihidupkan kembali?
Orang Melayu tidak boleh berpecah, kalau pecah dari sudut sokongan undi, kita tidak akan dapat menjadi dominan dalam kerajaan. Apa yang terjadi kepada Perikatan Nasional (PN) tempoh hari adalah perebutan kuasa, apa yang terjadi di Perlis adalah perebutan ‘harta karun’. itu masalah mereka, walaupun sudah kuat di Perlis sepatutnya tidak bergaduh, tapi mereka bergaduh juga.
Maknanya formula satu gabungan pun tidak boleh menjamin mereka tidak akan merebut kuasa atau jawatan, terbukti di Perlis.
Pada pandangan saya mungkin ada suara-suara hendak melihat MN itu dikembalikan, tapi UMNO dari dahulu menjadi payung orang Melayu, kenapa tidak kita kembali kepada perjuangan orang Melayu? Kembali kepada UMNO kerana UMNO itu sendiri payung untuk orang Melayu dan terbukti tetap menjaga kepentingan Melayu walaupun dalam keadaan kita tidak ada kuasa. Kita boleh menggerakkan semua NGO Melayu sehingga tertubuhnya MN.
Bila ada kuasa hari ini dalam Kerajaan Perpaduan kita telah buktikan masih menjaga kepentingan orang Melayu dan raja Melayu. Itu sahaja formula untuk lihat orang Melayu bermaruah, kembali kepada UMNO.
KERJASAMA MUAFAKAT NASIONAL
Adakah Datuk rasa Pas menunjukkan kesungguhan untuk kembalikan kerjasama MN?
Saya tidak pasti perkara itu, mungkin ada suara-suara yang hendakkan orang UMNO dengan Pas bersama. Kita tidak tahu apa akan jadi setahun atau dua lagi, untuk habiskan penggal ini, mungkin akan ada banyak lagi peristiwa terjadi yang kita tidak jangkakan.
Tapi formula untuk kita bersama memerintah kerajaan ini, orang Melayu jangan diracik-racik, untuk dipecah-pecahkan sehinggakan sepatutnya orang Melayu menang 120 hingga 130 kerusi, orang Melayu mungkin tinggal 70 atau 80 kerusi sahaja, itu satu kerugian bagi orang Melayu.
Pandangan Datuk mengenai kemelut dalam PN ketika ini?
Apa yang terjadi dalam PN ini akan memberi kelebihan kepada kerajaan. Saya tidak nampak ia akan memberi kelebihan kepada UMNO sebab ada ramai pemimpin Pas dan Bersatu terdesak kerana mereka masuk bertanding tempoh hari untuk menjadi kerajaan.
Mungkin ada benda yang mereka kejar tapi tidak dapat. Timbul perkara-perkara ini. Malah lima Ahli Parlimen keluar Bersatu sebab tidak tahan hendak jaga kawasan, tiada bajet, tiada kekuatan untuk kekal, tidak tahan dan tahu susahnya jadi pemimpin.
UMNO lain, bila kita sudah tidak jadi pemimpin, jadi YB, orang akan tetap datang jumpa kita, minta bantuan, ini biasa bagi UMNO. Cuma beza mereka ini mungkin tidak dapat apa yang dikejar. Mungkin pergaduhan ini akan terus merebak dan membesar kita tidak tahu. Kita doa mereka semua dapat keinsafan untuk kembali kepada penyatuan yang lebih besar.
Bila barisan kepimpinan PN diterajui Pas selepas peletakan jawatan sebahagian pemimpin Bersatu, adakah kerjasama untuk MN ini masih realistik?
MN itu sebenarnya sudah tidak boleh. Sebab nama itu, telah dicuri Tan Sri Annuar Musa (tubuh NGO MN), namun sebelum MN ditubuh, kita ada penyatuan ummah. Itu (mulanya) adalah pengharapan orang Melayu.
Dulu pun kita pernah lihat apa yang terjadi kepada Semangat 46, hampir jadi kerajaan. Dulu pun ada sejarah begini, banyak benda kita ceritakan ini tidak mustahil untuk tidak berlaku.
Cuma apa yang kita mahu lihat hari ini, mana-mana pihak yang mahu bertahan dalam parti, mereka kena jaga kedudukan mereka. Dulu orang tidak pilih UMNO sebab akhirnya bergaduh sesama sendiri, gaduh dalaman, dan apa yang berlaku dalam Bersatu hari ini adalah pergaduhan dalaman. Itu masalah dalaman mereka, kalau kata mereka tidak boleh bertahan, kita harap orang Melayu akan memberi sokongan kepada UMNO.
Parti itu tidak mungkin bubar, kerana ada orang menjaganya. Tapi kita mahu pujuk rakyat agar bersama dengan kita. Sudah-sudahlah nak melihat kepada testing ground.. sudah cuba untuk menolak UMNO sekian lama, tapi akhirnya ramai masih cakap hidup lebih baik ketika zaman BN dahulu. Tetapi anak-anak muda kini tidak pernah hidup ketika zaman BN itu, dengan kehidupan dan gaji yang bagus, pembangunan yang pesat.
Setakat lapan hingga 10 tahun kebelakangan ini, tidak ada projek mega untuk memacu ekonomi negara, dan saya harap mereka akan sedar orang Melayu perlu kembali kepada UMNO. – MINGGUAN MALAYSIA










