KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) boleh memainkan peranan strategik dalam menyelaras hala tuju dan pencapaian matlamat kementerian-kementerian kerajaan.
Dalam era pasca normal yang penuh cabaran, KPT bukan sekadar melahirkan graduan berkualiti tetapi juga menjadi jambatan penghubung antara kepakaran akademik dengan keperluan dasar negara.
Graduan yang dihasilkan bukan sahaja memenuhi pasaran kerja, malah menjadi tenaga muda yang menggerakkan dasar kerajaan di semua sektor. Pendekatan pendidikan tinggi dan penyelidikan mesti seimbang untuk menggapai di langit dengan aspirasi global, sambil mengakar di bumi dengan realiti tempatan.
Perkembangan teknologi yang pesat perlu dikuasai, diiringi kemampuan untuk beradaptasi agar Malaysia tidak ketinggalan di pentas antarabangsa.
Kajian di universiti adalah nadi kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang boleh menyumbang kepada hala tuju kementerian dengan menyediakan bukti saintifik, inovasi teknologi dan cadangan dasar.
Sinergi antara universiti dan kementerian memastikan Malaysia mampu menghadapi cabaran global, memperkukuh ekonomi, memulihara alam sekitar dan membina masyarakat inklusif.
Walaupun petroleum masih menjadi penyumbang terbesar ekonomi negara dari segi hasil kerajaan dan eksport, namun kelapa sawit lebih konsisten sebagai ‘tiang ekonomi’ agrikomoditi, memberi manfaat langsung kepada rakyat luar bandar dan sektor hiliran.
Industri kelapa sawit kekal sebagai nadi ekonomi negara. Eksport minyak sawit pada Jun 2025 meningkat kepada 1.26 juta tan, berbanding 1.21 juta tan pada Jun 2024, menjadi bukti sawit terus menjadi penyumbang utama pendapatan negara.
Bukan sekadar perladangan tetapi sawit melibatkan banyak lagi bidang seperti teknologi benih, kawalan perosak, meningkatkan hasil, kitaran ekonomi dan inovasi produk hiliran.
Produk sawit bukan sahaja penting dalam makanan tetapi juga dalam industri kecantikan dan kesihatan. Ia membuka peluang pekerjaan masyarakat akar umbi, menyokong kelestarian alam sekitar dan memperkaya kepelbagaian ekonomi.
Di sinilah universiti memainkan peranan dalam menghasilkan inovasi baharu yang meningkatkan nilai tambah, memastikan Malaysia kekal peneraju dunia, sambil memulihara kestabilan alam semula jadi termasuk hidupan liar terancam.
Selain sawit, isu keterjaminan makanan menjadi keutamaan. Walaupun stok beras negara pada Oktober 2025 berjumlah 1.19 juta tan metrik, cukup untuk enam bulan, namun Malaysia masih bergantung kepada import.
Pengeluaran padi tempatan mesti dipertingkat melalui varieti baharu yang lebih produktif, bernutrisi dan menguntungkan petani, tanpa perlu membuka tanah baharu. Peranan petani akar umbi wajar diangkat kerana mereka adalah tulang belakang keterjaminan makanan rakyat.
Keupayaan negara dalam pengeluaran beras sebanyak 70 peratus bekalan domestik mesti ditingkatkan lagi agar kebergantungan kepada impot dapat dikurangkan.

INIASTIF
Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif daripada penambahbaikan industri padi, pengeluaran ayam yang stabil, perluasan sumber import makanan asas, hinggalah kerjasama dengan negara rakan dagang.
KPT tidak boleh bergerak bersendirian sebaliknya mesti memahami dasar dan hala tuju kementerian lain. Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membuka pasaran baharu.
Sementara Kementerian Perladangan dan Komoditi menjadi tulang belakang sektor sawit. Bagi Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi) dan agensi lain pula perlu memastikan piawaian perdagangan antarabangsa dipatuhi. Dengan input saintifik daripada universiti, strategi kementerian dapat digerakkan dengan lebih berkesan dan bersepadu.
Aktiviti perladangan memerlukan tenaga kerja mahir. Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkualiti, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar.
Pembangunan bakat luar bandar mampu memacu infrastruktur, pendidikan, penglibatan wanita, dan kestabilan keluarga.
KPT bersama kementerian berkaitan boleh memastikan pembangunan TVET selari dengan keperluan negara dan minat generasi muda.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mesti menekankan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar. Ini memerlukan maklumat saintifik dan data-data tepat. Petunjuk prestasi utama (KPI) universiti tidak boleh lagi hanya diukur melalui penerbitan akademik tetapi melalui sumbangan kepada penyelesaian masalah negara.
Universiti mesti membekalkan bakat baharu untuk memenuhi keperluan negara, sambil memastikan penyelidikan memberi impak nyata kepada masyarakat. Untuk itu, peruntukan kewangan yang wajar amat diperlukan. Tanpa penyelidikan mendalam, perancangan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam zaman pasca normal, KPT perlu menjadi pusat rujukan kepada kementerian lain dalam membantu merangka dasar, melaksanakan strategi dan menilai keberkesanan program.
Dengan kerjasama erat antara KPT, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Luar Negeri, MITI dan jabatan berkaitan undang-undang, Malaysia mampu membangunkan pendidikan dan ekonomi rakyat secara menyeluruh.
KPT ialah pemacu sinergi kementerian dengan menggembleng kepakaran universiti, memperkukuh TVET dan memanfaatkan teknologi baharu.
Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menjamin kestabilan ekonomi tetapi juga berpotensi menoktahkan kemiskinan.
Selari dengan ungkapan menggapai di langit, mengakar di bumi, KPT menjadi nadi yang menghubungkan ilmu, dasar dan masyarakat demi masa hadapan Malaysia yang lebih gemilang.
Menteri-menteri yang mengetuai kementerian berkaitan mesti melihat perjuangan politik mereka, kebajikan rakyat seluruhnya,dan keperluan negara masa hadapan sebagai satu kesatuan perjuangan yang holistik, demi keyakinan rakyat dan kesejahteraan negara.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










