WALAUPUN darurat tamat pada 1960, namun ancaman pengganas komunis tidak berakhir begitu sahaja.
Pada 7 Jun 1974, negara dikejutkan dengan pembunuhan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim dan pada 26 April 1976, pengganas komunis menembak jatuh helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali gus mengorbankan 11 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Apakah kekuatan ATM ketika itu hanya terletak kepada kelengkapan persenjataan dan kekuatan fizikal sahaja? Tidak, sebaliknya mereka mempunyai mental serta pegangan agama yang kuat.
Tentera Britain misalnya mempunyai Jabatan Paderi Tentera Diraja (JPTD) untuk memastikan mental dan pegangan hidup pasukan mereka sentiasa dalam keadaan mantap.
Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) ditubuhkan dengan rasminya pada 16 April 1985 sebagai kor yang ke-16 ketika itu di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).
Usaha penubuhan KAGAT dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia dalam mesyuarat kali ke-197 pada 24 Januari 1980. Kesedaran ke arah pewujudan KAGAT dan pengiktirafannya di dalam ATM merupakan usaha serius kerajaan Malaysia untuk meninggikan syiar Islam dalam Kementerian
Pertahanan Malaysia khasnya dan pentadbiran awam amnya. Namun usaha-usaha mempelopori penubuhan KAGAT telah dilakukan beberapa tahun sebelum itu lagi.

Cetusan KAGAT diilham dan dilaksanakan oleh gabungan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan ketika itu iaitu Tun Abdul Taib Mahmud yang menjadi Menteri Pertahanan Malaysia (1978-1979), Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mokhtar Hashim dan Setiausaha Parlimennya, Datuk Abdul Jalal Abu Bakar.
Dalam ucapan Tun Hussein Onn semasa merasmikan Musabaqah al-Quran ATM, beliau mengatakan, “Apabila iman telah mempengaruhi segala pemikiran dan tindakan kita, maka wujudlah kekuatan, keberanian dan kejujuran yang boleh menghasilkan kemenangan.
Sesuai dengan slogan itu, anggota tentera didasarkan perjuangan mereka kepada kerohanian serta sering kita dapati pekikan “Allahu Akbar” dilaungkan oleh perajurit ketika hendak melangkah memulakan operasi di perbatasan.”
Pada tahun sama (1977), 45 pegawai berpangkat leftenan ke atas dari ketiga-tiga cabang ATM menghadiri kursus dakwah di Institut Dakwah dan Latihan Islam yang kini dikenali sebagai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Islam Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pertahanan serta Jabatan Perdana Menteri.
Antara pegawai yang menghadiri kursus tersebut ialah Leftenan Zainuddin Abdul Karim dari Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Ipoh, Kapten TLDM Tawab Katab dari Markas Wilayah Laut II Labuan dan Leftenan Muda TUDM Haidzir Yaakob dari Pangkalan Udara Labuan.
Kursus tersebut dirasmikan oleh Jalal, mewakili Hussein Onn yang ketika itu merupakan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan. Dalam ucapan itu beliau menyatakan, “Setelah menamatkan kursus ini dapatlah kiranya saudara-saudara sekalian menyampaikan pula (dakwah) kepada seluruh anggota di bawah jagaan saudara-saudara dan keluarga masing-masing.”
Seterusnya pada 12 Februari 1978, Jalal menegaskan Kementerian Pertahanan berusaha meninggikan taraf pentadbiran agama dalam ATM dengan mengkaji semula perjawatan pegawai-pegawai agamanya dan akan melantik pegawai-pegawai baharu berkelulusan universiti Islam yang diiktiraf, berdasarkan perkhidmatan mereka yang terdahulu.
Kementerian Pertahanan ketika itu juga berusaha menambah bilangan guru-guru agama dalam ATM yang mana temu duga bagi memilih guru-guru agama baharu.
Beliau berkata demikian ketika melawat Markas Divisyen Ketiga Infantri di Melaka selain berdialog dengan guru-guru agama di Dewan Masjid Garison Terendak pada 11 Februari 1978.
Akhirnya pada 6 Februari 1980, Jalal mengumumkan kepada media bahawa Kementerian Pertahanan akan menaik taraf bahagian agamanya kepada sebuah Jabatan Arah serta mewujudkan Majlis Hal Ehwal Agama bagi memastikan penyelarasan kegiatan agama dalam kalangan anggota ATM.
Jabatan itu akan mengambil alih penyelenggaraan pelbagai kursus agama dalam ATM. Ketika itu Kementerian Pertahanan mendapat kerjasama daripada Yadim bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaannya.
Jalal menegaskan dalam usaha menyerapkan dakwah Islamiah dalam ATM, beberapa langkah diambil untuk menghapuskan secara beransur-ansur tradisi penjajah yang ada dalam tentera seperti meminum arak di dalam kem.
Untuk itu, Kementerian Pertahanan menambah 42 pegawai agama tingkatan khas, termasuk beberapa pegawai wanita untuk ditempatkan di markas-markas briged dan pusat-pusat latihan tentera di seluruh negara.
Usaha-usaha memurnikan syiar Islam lebih awal dari tahun 1985, iaitu sebelum penubuhan rasmi KAGAT mendapat mandat daripada kepimpinan tertinggi negara termasuk dalam kalangan Majlis Raja-Raja sendiri.
Berdasarkan perbualan saya dengan Jalal sendiri, beliau mengatakan Tun Razak Hussein pernah menyatakan “Kekuatan Agama (Islam) Gagahkan Angkatan Tentera” bertepatan dengan akronim perkataan KAGAT yang ditubuhkan secara rasminya sembilan tahun selepas Perdana Menteri kedua itu meninggal dunia.
BERSIHKAN SEMULA
Seluruh rakyat Malaysia sememangnya amat berharap supaya ATM bersih daripada gejala tidak bermoral dan amalan jijik rasuah. Salah guna kuasa serta hubungan mesra dengan kartel tertentu adalah perkara serius yang boleh menggadai maruah negara.
Segelintir pihak yang bermasalah tidak menggambarkan keseluruhan pasukan yang sebenarnya berdisiplin apatah lagi pada zaman media sosial kini, ramai yang menjadi ‘hakim’ tidak bertauliah.
Beberapa undang-undang dan peraturan perlu diperketatkan dan penguatkuasaannya perlu dipantau dengan lebih berkesan oleh pihak yang berkenaan termasuk terhadap penjawat awam bukan beruniform di dalam Kementerian Pertahanan.
Tahniah diucapkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berjaya mendedahkan isu penting ini di saat bukan sahaja dunia yang sedang bergolak, malah rantau ASEAN yang sedang berhadapan dengan pergeseran sempadan antara Thailand-Kemboja yang boleh menggugat kedaulatan negara. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis strategik dan hubungan antarabangsa.










