Pertama kali saya meneliti isu penternakan babi ada pada 1984, semasa baru sahaja mula bertugas di Jabatan Alam Sekitar di MUI Plaza, Jalan P. Ramlee. Masa itu belum lagi dapat tugas-tugas rasmi. Jadi, ada masa untuk membaca buku- buku dalam perpustakaan dan fail kerja.
Satu fail yang dapat saya teliti adalah tentang isu pencemaran dari ladang-ladang babi di Paya Mengkuang, Melaka iaitu antara Kuala Sungai Baharu dan Pengkalan Balak. Air sisa dari kandang babi dialirkan terus ke laut tanpa rawatan atau pengolah. Sehingga sekarang masalah bau dan pencemaran air laut masih terjadi yang menjejaskan usaha menarik pelancong-pelancong datang ke chalet-chalet yang diusahakan penduduk tempatan di tepi pantai.
Fast Forward ke tahun 1987. Diberi tugas sebagai Ketua Unit Kajian Khas untuk membuat kajian tahap pencemaran di Sungai Sepang yang menjadi sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan. Sungai Sepang adalah satu sungai yang mempunyai tadahan kecil di hulunya, jadi mempunyai sumbangan air tawar yang amat kecil dan dikira sebagai estuarine river yang lebih dipengaruhi pasang surut air laut.
Semasa itu majoriti ladang-ladang babi adalah dari sebelah Negeri Sembilan: Tanah Merah Site ‘A’, Bukit Pelanduk dan Sg. Nipah. Selangor pun ada ladang babinya seperti di Sg. Pelek, tetapi air sisanya masuk terus ke laut. Air sisa tidak terawat akan masuk ke Sg. Sepang melalui anak sungai seperti Sg. Rambai dan Sg. Pelanduk.
Kedua-dua anak sungai ini ada ‘tidal gate’ atau pintu air yang ditutup semasa air pasang dan dibuka apabila air surut. Apabila dibuka tidal gate bukan saja air sisa tidak terawat yang mengalir masuk ke Sungai Sepang tetapi juga berpuluh-puluh ekor anak babi mati yang dibuang penternak ke dalam sungai.
Keadaan Sungai Sepang menjadi amat tercemar, air sisa bukan mengalir terus ke Selat Melaka tetapi akan kembali ke hulu apabila air pasang yang terjadi dua kali sehari. Semasa air pasang besar longkang-longkang di Pekan Sepang dipenuhi air sisa tidak terawat ini (najis Mughallazah).
Daripada segi sejarah, penternakan babi di Malaysia sebahagian besarnya dikaitkan dengan penempatan Cina, yang memelihara baka tempatan ini untuk pendapatan dan penggunaan tempatan.
Semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Naka, Padang Terap, Kedah dari 1965 ke 1970, kami sering bertembung dengan babi-babi ‘Siam’, satu varian babi Cina, yang berwarna hitam yang berkubang di tepi jalan raya tidak jauh dari sekolah. Pemelihara babi ialah penduduk kaum Siam yang tinggal di sekitar sekolah.
Pencemaran air dari ladang babi berpunca daripada najis dan kencing yang tidak dirawat yang mempunyai nutrien (nitrogen, fosforus), patogen, antibiotik dan logam berat yang tinggi ke dalam air, menyebabkan penyusutan oksigen terlarut, ‘algal bloom’ (eutrofikasi), pencemaran air minuman dan risiko kesihatan.
Babi akan mengeluarkan air sisa kumbahan (najis dan air kencing) yg tinggi. Seekor babi dewasa jenis Duroc yang popular pada tahun 70-an dan 80-an dulu akan mengeluarkan air sisa kumbahan yang sama dengan 10 manusia dewasa setiap hari. Jenis babi yang paling popular dalam penternakan komersial Malaysia sekarang adalah kacukan Large White, Landrace, Duroc, Hampshire, dan Pietrain, dipilih untuk pertumbuhan cepat dan kualiti karkas daging yang terbaik.
Industri pemeliharaan babi mempunyai sejarah penyakit yang penting terutama wabak Virus Nipah (1998-1999). Virus Nipah, yang dinamakan demikian sempena Kampung Sungai Nipah, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia terutamanya dalam kalangan penternak dan pekerja di ladang babi. Wabak Virus Nipah mengakibatkan 265 kes ensefalitis virus dan menyebabkan 109 kematian manusia.
Pada masa sama lebih 1.1 juta babi dimusnahkan untuk mengawal penyebaran virus, menyebabkan kerugian kewangan besar dan kehilangan pekerjaan kepada 36,000 orang.
Wabak itu membawa kepada pengurangan drastik dalam bilangan ladang dan tahap sara diri nasional untuk daging babi menurun dengan ketara. Pada asasnya, industri pemeliharaan babi di Bukit Pelanduk musnah kerana wabak ini.
Insiden wabak Virus Nipah mendorong perubahan besar dalam reka bentuk ladang, langkah biosekuriti dan pemantauan alam sekitar, walaupun beberapa amalan tradisional kekal tidak berubah.
Langkah kawalan tertumpu pada pemusnahan babi yang dijangkiti, biosekuriti ketat dan pengawasan, dengan wabak berterusan di kawasan seperti Pulau Pinang dan Selangor membawa kepada operasi pemusnahan (culling) berskala besar untuk membendung virus yang sangat menular itu, kerana pada masa ini tiada vaksin atau rawatan.
Persoalan yang hangat dibincangkan di Malaysia sekarang adalah cadangan oleh kerajaan Selangor untuk memindahkan kawasan pemeliharaan babi dari Tanjung Sepat ke Bukit Tagar. Walaupun penduduk sekitar Bukit Tagar sudah mula gusar dan menentang cadangan pemindahan ini oleh kerana isu bau, masalah berisiko utama adalah cadangan itu mempunyai potensi pencemaran kepada punca air kepada lebih 50 peratus penduduk di Lembah Klang kerana ada lima loji rawatan air (LRA) di hilir tapak cadangan penternakan babi berkenaan.
Walaupun Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim sudah memberi jaminan tiada air sisa kumbahan najis babi akan dilepaskan, pihak beliau tidak memikirkan keberangkalian terjadinya senario kes terburuk (Worst Case Scenario) di mana terjadi bund atau batas kolam air sisa pecah dan air sisa najis Mughallazah mengalir masuk ke Sungai Selangor.
Memandangkan risiko tinggi bencana yang akan timbul, pihak kerajaan negeri wajib menggunakan prinsip berjaga-jaga (precautionary principal) dan menggantikan tempat lain yang lebih sesuai sebagai tempat pemeliharaan babi.
Dr. Maketab Mohamed ialah Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.










