Pengiktirafan sijil UEC: Implikasi terhadap bahasa dan perpaduan

Pengiktirafan sijil UEC: Implikasi terhadap bahasa dan perpaduan

SALAH satu hujah paling kritikal dalam menolak pengiktirafan UEC ialah potensi untuk memperlebar jurang perkauman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terus menjadi polemik berpanjangan dalam landskap pendidikan dan politik Malaysia. Walaupun ia sering dibingkaikan sebagai isu keadilan pendidikan dan kebebasan pilihan, hakikatnya persoalan pengiktirafan UEC melangkaui isu teknikal akademik semata-mata.

Ia menyentuh asas yang lebih mendalam iaitu prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, falsafah pendidikan negara serta pembinaan identiti nasional dalam sebuah masyarakat majmuk.

Justeru, sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC perlu dinilai secara kritikal dan menyeluruh, bukan atas pertimbangan politik jangka pendek atau sentimen emosi, tetapi berasaskan kepentingan negara dan masa depan perpaduan nasional.

Memuatkan artikel berkaitan…

PENDIDIKAN DAN PRINSIP BAHASA MELAYU
Salah satu asas utama sistem pendidikan kebangsaan Malaysia ialah peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Prinsip ini bukan sekadar pilihan pedagogi, tetapi termaktub secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Selaras dengan itu, Dasar Pendidikan Kebangsaan dibentuk untuk memastikan bahasa Melayu menjadi wahana penyatuan, pemikiran ilmiah dan pembinaan jati diri nasional.

Pengiktirafan UEC yang berasaskan sistem pendidikan sekolah persendirian Cina dengan bahasa Mandarin sebagai medium utama jelas tidak selari dengan prinsip ini.

Mengiktiraf UEC tanpa meletakkan keperluan penguasaan bahasa Melayu pada tahap setara dengan sistem kebangsaan akan melemahkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa integrasi nasional.

Dalam jangka panjang, ia berpotensi mewujudkan sistem pendidikan selari yang bergerak dalam acuan linguistik dan budaya yang terpisah daripada arus perdana negara.

PENGHORMATAN TERHADAP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia.

Sebarang dasar awam termasuk dalam bidang pendidikan, wajib selari dengan semangat dan peruntukan Perlembagaan.

Usaha mengiktiraf UEC tanpa penyelarasan menyeluruh dengan sistem kebangsaan boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk pengabaian terhadap roh Perlembagaan itu sendiri.

Tindakan sedemikian bukan sahaja menimbulkan persoalan perundangan, malah membawa implikasi simbolik yang besar.

Ia boleh dilihat sebagai penghinaan tidak langsung terhadap kedudukan bahasa Melayu dan usaha puluhan tahun untuk membina sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif tetapi berteras identiti nasional.

Dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia, kepekaan terhadap simbol dan prinsip perlembagaan adalah amat penting bagi mengekalkan kepercayaan antara kaum dan kestabilan sosial.

RISIKO MEMPERLEBAR JURANG PERKAUMAN
Salah satu hujah paling kritikal dalam menolak pengiktirafan UEC ialah potensi untuk memperlebar jurang perkauman.

Sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman bersama (shared experiences) dalam kalangan generasi muda.

Sekolah kebangsaan dan sistem peperiksaan nasional berfungsi sebagai ruang pertemuan sosial yang membolehkan interaksi merentas kaum, bahasa dan budaya.

Pengiktirafan UEC tanpa integrasi bermakna berisiko mengukuhkan segregasi pendidikan berasaskan kaum.

Apabila wujud sistem yang diiktiraf secara rasmi tetapi beroperasi dalam lingkungan etnik dan linguistik tertentu, ia secara tidak langsung menggalakkan pengasingan sosial.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh melemahkan kesatuan nasional dan menanam benih salah faham serta ketidakpercayaan antara komuniti.

KEPENTINGAN IDENTITI NASIONAL DAN PERANAN PEMIMPIN MELAYU
Dalam isu yang menyentuh asas identiti negara, kepimpinan yang berprinsip amat diperlukan.

Pemimpin Melayu khususnya, memikul tanggungjawab sejarah dan perlembagaan untuk mempertahankan bahasa Melayu dan sistem pendidikan kebangsaan.

Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya mengaburkan keperluan untuk bersatu dalam mempertahankan prinsip asas negara.

Penolakan terhadap pengiktirafan UEC bukan bermaksud menafikan hak pendidikan mana-mana kaum, tetapi menegaskan bahawa sebarang pengiktirafan mestilah selari dengan kerangka nasional.

Malaysia tidak menolak kepelbagaian, namun kepelbagaian itu perlu disepadukan dalam satu acuan kebangsaan yang dikongsi bersama.

Pemimpin Melayu perlu konsisten dan tegas dalam pendirian ini agar tidak dilihat berkompromi terhadap prinsip yang telah dipersetujui sejak pembentukan negara.

ALTERNATIF YANG LEBIH KONSTRUKTIF
Daripada mengiktiraf UEC secara langsung, kerajaan wajar memperkukuh laluan sedia ada yang lebih selaras dengan sistem kebangsaan.

Antaranya ialah memperluas program penyelarasan (bridging programmes), mewajibkan penguasaan bahasa Melayu pada tahap tinggi serta memastikan kurikulum kebangsaan terus diperkasa dan relevan.

Pendekatan ini bukan sahaja menjaga kepentingan nasional, malah menyediakan ruang inklusif kepada semua pelajar untuk menyertai arus perdana pendidikan tinggi dan pembangunan negara.

Pengiktirafan sijil UEC bukan isu remeh yang boleh diputuskan secara populis atau berasaskan tekanan politik.

Ia melibatkan persoalan prinsip, identiti nasional, bahasa kebangsaan dan perpaduan sosial. Kerajaan perlu tegas menolak usaha mengiktiraf UEC.

Dalam masa yang sama, semua pihak perlu beriltizam membina sistem pendidikan yang adil, inklusif dan berteraskan identiti Malaysia.

Hanya dengan pendekatan berprinsip dan berwawasan, negara dapat memastikan pendidikan terus menjadi alat penyatuan, bukan pemisahan. – UTUSAN

PENULIS ialah Profesor Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abd. Hamid, Dekan, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Kampus Pagoh dan Setiausaha Majlis Dekan Bahasa Universiti Awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini