Pelaksanaan MyBeST perlu telus, ia pengubah keadaan kepada sektor tenaga negara

Pelaksanaan MyBeST perlu telus, ia pengubah keadaan kepada sektor tenaga negara

GUNTOR TOBENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Suruhanjaya Tenaga (ST) mengenai pembida yang berjaya bagi program Sistem Bateri Penyimpanan Tenaga (BESS) MyBeST merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kebolehpercayaan sistem grid negara selari dengan peningkatan  penetrasi tenaga boleh baharu. 

Empat projek BESS berskala grid berkapasiti 100 MW/400 MWh setiap satu, yang disasarkan beroperasi pada tahun 2027, dijangka memainkan peranan kritikal dalam menyokong kestabilan sistem elektrik negara. 

Saya ucapkan tahniah kepada pihak PETRA dan ST kerana keberanian menerokai teknologi Peralihan Tenaga seperti BESS.

MyBeST yang berasaskan kepada sistem BESS ini penting kepada Malaysia.  Ia akan membantu memperkukuh kestabilan grid, membolehkan tenaga boleh baharu dijana pada kadar maksimum, menyokong keselamatan tenaga dan menyumbang kepada matlamat tenaga bersih jangka panjang negara.

Realitinya, ia bukan sekadar teknologi baru — ia adalah asas kepada masa depan tenaga yang lebih stabil, bersih dan mampan.

Teknologi BESS ini akan membantu negara kita mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan elektrik berasaskan bahan api fosil dan memainkan peranan penting dalam perjalanan negara menuju matlamat karbon sifar (seperti Net Zero 2050) yang ditetapkan di peringkat global.

Seorang pekerja memasang sistem storan bateri di tapak pengeluaran Voltfang, sebuah syarikat pembangunan dan pengeluaran pengeluar storan bateri, di Aachen, barat Jerman. Malaysia kini turut melancarkan Sistem Bateri Penyimpanan Tenaga (BESS) MyBeST merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kebolehpercayaan sistem grid negara selari dengan peningkatan penetrasi tenaga boleh baharu. – AFP

Peluang pelaburan

Projek MyBeST dan BESS bukan sahaja meningkatkan keupayaan tenaga negara, tetapi juga membuka peluang pelaburan, inovasi teknologi, penyelidikan serta peluang pekerjaan baru dalam sektor tenaga bersih.

Apabila bercakap tentang inovasi dan teknologi, sudah tentu kita mahukan projek ini menyumbang kepada kemasukan pengetahuan baharu ke dalam negara kita.

Pihak-pihak yang mendapat laba daripada hasrat murni kerajaan ini perlu memastikan teknologi yang mereka bawa adalah yang terbaik, terkini dan belum dimiliki oleh mana-mana negara.

Andainya mereka hanya sekadar menyalin (copy paste) apa yang telah ada di tempat lain, atau sekadar teknologi biasa yang berlambak di pasaran ketika ini, maka ia amat merugikan negara. Lebih baik jika kontrak itu dianugerahkan kepada syarikat lain yang lebih layak terutama bumiputera yang ada kemampuan.

Sebab itu, selepas pengumuman oleh Suruhanjaya Tenaga tersebut timbul pertanyaan dalam kalangan pemain industri tenaga boleh baharu tempatan di mana kelebihan dan kekuatan yang dimiliki oleh syarikat-syarikat yang memenangi pembidaan tersebut.

Ramai tertanya-tanya apakah kehebatan yang dimiliki oleh mereka hingga mampu mengetepikan semua syarikat bumiputera termasuk yang sudah hampir 30 tahun berkecimpung dalam industri ini.

Pemegang taruh utama, iaitu rakyat Malaysia sudah tentu mahu tahu apa kriteria dan kayu ukur yang digunakan untuk melayakkan syarikat-syarikat terbabit termasuk yang dari luar negara menguasai projek yang julung-julung kali dilaksanakan bernilai lebih RM1 bilion ini.

Setakat ini rakyat kurang memahami bagaimana keputusan itu dibuat, apa kayu ukur yang digunakan dan apa kelebihan syarikat-syarikat terbabit berbanding syarikat lain terutama bumiputera. 

Keseimbangan

Memang ST ada memaklumkan bahawa penilaian dibuat berdasarkan keseimbangan aspek teknikal, kewangan dan komersial, dengan harga bidaan sebagai salah satu faktor utama tetapi bukan satu-satunya penentu. Tetapi ketiadaan pendedahan mengenai pemberat kriteria penilaian, julat harga penanda aras atau kedudukan relatif markah menjadikan pasaran terus tertanya-tanya dan terpaksa membuat andaian sendiri. 

Ketelusan yang diminta bukan bertujuan mempertikai pembida yang berjaya, sebaliknya supaya boleh dijadikan garis panduan pada masa hadapan. Ia supaya syarikat-syarikat yang gagal terutama yang dimiliki bumiputera dapat mempersiapkan keupayaan dan kebolehan agar mereka mampu bersaing di masa akan datang.

Ini akan membolehkan pembida yang berminat pada masa hadapan memperhalusi cadangan, mengurangkan premium risiko dan akhirnya menawarkan kos yang lebih rendah kepada pengguna.

Isu ketelusan harga bidaan juga ketara. Tanpa sebarang petunjuk mengenai harga penyelesaian, kadar bayaran kapasiti atau kadar perkhidmatan BESS, pemaju dan institusi kewangan terpaksa bergantung kepada maklumat tidak rasmi. 

Ketidakpastian ini boleh membawa kesan songsang—risiko kawal selia yang dirasakan lebih tinggi lazimnya diterjemahkan kepada harga bidaan yang lebih konservatif dalam pusingan tender seterusnya, sekali gus menjejaskan objektif persaingan sebenar.

Pemilihan lokasi projek juga wajar diperjelaskan. Walaupun ST menyatakan bahawa projek-projek ini diagihkan di beberapa nod grid strategik, ketiadaan rasional sistem yang didedahkan secara terbuka—seperti pengurangan kesesakan rangkaian, sokongan kepada kluster tenaga boleh baharu atau peningkatan kestabilan frekuensi—mengehadkan pembelajaran sistemik. 

Pendedahan rasional ini akan membantu pembida masa hadapan menyelaraskan cadangan mereka dengan keutamaan Pengendali Sistem Grid dengan lebih berkesan.

Kebimbangan

Selain itu, isu penumpuan kepada hanya beberapa pembekal teknologi turut menimbulkan kebimbangan. Jika sebahagian besar projek yang dianugerahkan bergantung kepada satu OEM atau teknologi yang hampir seragam, persoalan munasabah wajar ditanya. 

Penyeragaman sememangnya mempunyai kelebihan. Namun kebergantungan berlebihan kepada satu pembekal meningkatkan risiko rantaian bekalan, jaminan prestasi dan keusangan teknologi. 

Perbincangan yang lebih telus mengenai bagaimana kepelbagaian OEM (atau ketiadaannya) diambil kira dalam penilaian akan meningkatkan keyakinan bahawa daya tahan sistem jangka panjang benar-benar dipertimbangkan.

MyBeST merupakan program perintis, dan tiada tender pertama yang sempurna. Namun, ketika Malaysia bersiap untuk melaksanakan perolehan BESS pada skala yang lebih besar dan lebih kerap, ketelusan bukan lagi pilihan—ia adalah pemangkin. Ini kerana BESS melalui projek MyBest adalah pengubah keadaan atau game changer kepada industri tenaga negara.

Pendedahan yang lebih jelas mengenai kriteria penilaian, keputusan harga dan rasional sistem akan menjadikan tender akan datang lebih kukuh, lebih kompetitif dan akhirnya lebih bermanfaat kepada sistem grid serta pengguna.

 Datuk (Dr.) Ir. Guntor Tobeng ialah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., yang juga CEO Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN