Saya mulakan artikel ini dengan empat contoh. Pertama, Venezuela, yang pernah menjadi antara negara terkaya di Amerika Latin. Pada era 1970-an hingga awal 1990-an, negara ini menikmati pendapatan minyak yang besar. Namun kekayaan itu tidak memberi makna apabila ia tidak diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat secara mampan.
Kelemahan pemerintah menyebabkan rasuah berleluasa, institusi lemah, dan ekonomi terlalu bergantung kepada satu sumber. Apabila harga minyak jatuh dan salah urus berterusan, ekonomi runtuh.
Akibatnya, terjadilah inflasi melampau, kekurangan makanan dan ubat-ubatan, penghijrahan besar-besaran, dan ketidakstabilan politik berterusan. Sehingga artikel ini ditulis bekas negara kaya itu masih berdepan pelbagai isu termasuk rakyatnya bergelut untuk hidup.
Saya jadikan Nigeria contoh kedua. Ia antara pengeluar minyak terbesar di Afrika dan mempunyai sumber asli yang sangat besar. Laporan pasaran minyak Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menunjukkan pengeluaran minyak Nigeria sekitar 1.3 juta tong sehari pada November 2025.
Angka ini jauh berada di hadapan Malaysia yang sekarang hanya mengeluarkan kira-kira 350,000 tong sehari berbanding 700,000 tong sebelum ini. Purata pengeluaran gas asli negara itu antara 2014 hingga 2023 pula adalah sekitar 1.5 Tcf (trilion kaki padu) setahun. Pada tahun lepas Nigeria mempunyai rizab minyak kira-kira 37.5 bilion tong manakala simpanan gas asli berjumlah 211.1 Tcf, menjadikan ia kekal kaya dengan sumber asli.
Itu sisi indahnya. Di sisi lain, data rasmi menunjukkan sekitar 40.1 peratus daripada keseluruhan penduduk Nigeria hidup di bawah garis kemiskinan kebangsaan.
Jurang kemiskinan antara wilayah juga sangat ketara iaitu sekitar 57.4 peratus di zon utara berbanding 21.2 peratus di zon selatan bagi tahun 2022/23.
Ketidakseimbangan ini mencetuskan pelbagai masalah politik dan keselamatan: konflik etnik dan agama, kumpulan militan, keganasan bersenjata, serta ketidakpercayaan mendalam terhadap kerajaan. Kekayaan negara dilihat hanya menguntungkan elit politik dan ekonomi, manakala rakyat biasa tercicir dan terpinggir. Nigeria menambahkan senarai bukti bahawa kekayaan tanpa keadilan sosial akan menghasilkan ketegangan yang berpanjangan.
Contoh berikutnya adalah Iran pada era pra-Revolusi 1979. Sebelum revolusi meletus, Iran di bawah Shah Reza Pahlavi adalah negara yang kaya, disokong hasil minyak dan hubungan rapat dengan kuasa Barat. Bandar-bandar besar moden dibangunkan, projek mega berjalan di mana-mana, dan golongan elit hidup dalam limpahan kemewahan.
Namun di sebalik semua itu, majoriti rakyat merasa terpinggir. Jurang kaya-miskin melebar, nilai budaya dan agama diketepikan, rasuah berleluasa, dan suara rakyat ditekan. Kekayaan negara tidak dirasai secara adil. Akibatnya, kemarahan rakyat terkumpul. Apabila ia meledak, seluruh sistem runtuh. Monarki tumbang. Ini menunjukkan apabila maruah rakyat diinjak walaupun negara kaya, kestabilan tidak akan bertahan.
Contoh terakhir adalah Kesatuan Soviet (USSR) sebuah kuasa besar dunia yang memiliki kekuatan ketenteraan yang hebat, teknologi angkasa yang maju, wilayah yang luas dan sumber yang besar.
Dari sudut geopolitik, ia ‘kaya kuasa’. Namun dari sudut kehidupan seharian rakyat, ekonomi tidak cekap, barang keperluan kurang, kebebasan terbatas.
Rakyat melihat wujud jurang besar antara propaganda negara dan realiti hidup. Apabila sistem tidak lagi mampu menampung keperluan rakyat, kepercayaan runtuh. Akhirnya, bukan sekadar kerajaan tumbang, negara itu sendiri berpecah pada 1991. Kini USSR kekal menjadi contoh bagaimana kekuatan negara tanpa kesejahteraan rakyat tidak mampu bertahan.
Keempat-empat contoh ini lebih daripada memadai untuk mengajak kita memahami mengapa Kerajaan Perpaduan sekarang memilih Madani sebagai konsep pentadbiran dan pembangunan negara.
Pengabaian terhadap prinsip dan nilai-nilai madani, yang dalam bahasa Arabnya membawa maksud maju dari segi nilai pemikiran, kerohanian dan kebendaan akan mendekatkan sesebuah negara itu dengan jurang kehancuran. Pada asasnya, kehendak rakyat kekal konsisten sejak dahulu: mereka mahu hidup makmur, aman, dan bermaruah. Namun dalam realiti semasa, ketiga-tiga perkara ini semakin sukar dicapai secara serentak. Kos sara hidup meningkat, jurang pendapatan melebar, dan kepercayaan terhadap institusi awam sering teruji.
Justeru, Madani bukan sekadar naratif baharu, tetapi jawapan kepada keresahan sebenar rakyat yang mahu melihat negara diurus lebih adil, berhemah dan berpandangan jauh. Konsep Madani menegaskan bahawa kemajuan tidak boleh diukur hanya melalui angka pertumbuhan ekonomi atau projek mega. Dalam konteks inilah kenapa nilai kemanusiaan serta maruah diangkat sebagai antara teras utama Madani.
Pendekatan ini dapat dilihat melalui usaha kerajaan menstrukturkan semula dasar-dasar ekonomi agar lebih bersifat manusiawi. Contohnya, penstrukturan semula subsidi bahan api. Selama bertahun-tahun, subsidi diberikan secara pukal, tanpa mengira tahap pendapatan. Akibatnya, golongan berpendapatan tinggi menikmati manfaat yang jauh lebih besar berbanding golongan yang benar-benar memerlukan.
Langkah kerajaan untuk menyasar subsidi secara lebih bersasar mencerminkan prinsip Kerajaan Madani yang menekankan keadilan sosial dan penggunaan sumber negara secara bertanggungjawab. Walaupun langkah ini tidak popular dalam jangka pendek, ia bertujuan memastikan dana awam dapat disalurkan kepada pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang lebih berkesan.
Dalam kerangka Malaysia Madani, dasar ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada soal maruah rakyat. Sebab itu, isu kos sara hidup diberi perhatian serius. Pelbagai inisiatif seperti bantuan tunai bersasar, kawalan harga barang keperluan tertentu, serta penambahbaikan sistem bantuan sosial mencerminkan usaha menaikkan ‘lantai’ kehidupan rakyat. Matlamatnya bukan untuk menjadikan rakyat bergantung kepada bantuan, tetapi memastikan mereka mempunyai ruang bernafas untuk berdikari dan memperbaiki kehidupan.
Kemajmukan rakyatnya menjadikan Malaysia negara yang kaya dengan perbezaan budaya, agama dan latar belakang. Menguruskan kepelbagaian ini memerlukan pendekatan matang dan berprinsip. Dalam konteks ini Madani memilih perpaduan sebagai asas, dan antara amalan nyata Madani adalah usaha memperkukuh naratif kebangsaan yang inklusif, menolak politik berasaskan kebencian, serta memupuk dialog antara komuniti.
Dalam soal tatakelola, Madani menuntut perubahan yang paling dirasai rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sentiasa menekankan aspek ini. Ketelusan, kecekapan dan kebertanggungjawaban bukan lagi slogan, tetapi perlu dilihat sebagai keperluan asas.
Dunia sedang berubah dengan pantas, dipacu oleh teknologi, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran alam sekitar. Dalam situasi ini, negara memerlukan neraca nilai yang jelas. Madani menyediakan kerangka itu dengan menegaskan daya saing dan kemanusiaan tidak harus bertentangan. Sebaliknya, negara yang berasaskan nilai akan lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis dan perubahan.
Akhirnya, memahami Madani bermakna memahami bahawa pembangunan negara adalah usaha kolektif. Kerajaan menyediakan dasar dan halatuju, tetapi kejayaannya bergantung kepada penglibatan rakyat, sektor swasta dan masyarakat umum. Setiap individu adalah penyumbang kepada pembinaan negara bangsa.
Jika Madani benar-benar difahami bukan sebagai slogan, tetapi sebagai cara berfikir dan bertindak, ia pastinya berupaya membentuk sebuah Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi stabil, adil dan bermaruah untuk dinikmati oleh generasi hari ini, dan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi, Penasihat Strategik J-KOM










