MUKADIMAH
TAHUN ini adalah tahun ke-58 hubungan Malaysia dengan Russia apabila kedua-dua negara ini mula menjalin hubungan diplomatik pada April 1967, dengan kedutaan Kesatuan Soviet dibuka di Kuala Lumpur pada 1968, di tengah-tengah konflik Perang Dingin dengan Amerika Syarikat (AS) ketika itu.
Hari ini, Kedutaan Russia di Malaysia dipimpin oleh NAIYL M. LATYPOV. Bulan ini genap enam tahun beliau berkhidmat sebagai Duta Russia ke Malaysia sejak ditugaskan di negara ini pada Disember 2019. Banyak yang beliau kongsikan terutama mengenai hubungan kedua-dua negara, kuasa Barat, BRICS, ASEAN dan konflik dengan Ukraine.
Ikuti temubual bersama OMAR ZIN dan jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH di Kedutaan Russia baru-baru ini.
UTUSAN: Bagaimana hubungan antara Russia-Malaysia setakat ini?
LATYPOV: Tahun 2025 merupakan tahun yang luar biasa terhadap perhubungan Malaysia dan Russia. Hubungan diplomatik ini telah terjalin kira-kira hampir 60 tahun yang lalu.
Dalam tempoh itu, hubungan Russia terhadap Malaysia berlandaskan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama. Kami melihat Malaysia sebagai rakan kongsi yang telah lama wujud dan boleh dipercayai.
Tahun ini terdapat dua lawatan peringkat tertinggi. Pertama sekali, pada bulan Mei, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Russia.
Beliau melawat Moscow dan Kazan. Di Moscow, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan kemudian beliau bertemu dengan Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishustin.
Kemudian beliau melawat Kazan dan mengambil bahagian dalam Forum Ekonomi Antarabangsa ke-16 “Russia-Dunia Islam: KazanForum” dan beliau merupakan tetamu utama.
Kemudian pada bulan Ogos, kami menerima lawatan bersejarah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Baginda juga telah berbincang dengan Presiden Putin dan melawat Kazan. Saya berbesar hati mengiringi delegasi Malaysia.
Dari sudut pandangan peribadi, saya fikir Agong menikmati lawatannya ke Russia. Kedua-dua lawatan ini sangat bermanfaat untuk hubungan kedua-dua negara.
Tiada perjanjian ditandatangani hasil daripada lawatan ini tetapi kedua-dua lawatan ini telah meletakkan asas yang sangat kukuh untuk perkembangan selanjutnya hubungan ini.
Satu lagi peristiwa yang sangat penting dalam hubungan dua hala ini pada tahun ini ialah mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknologi dan Kebudayaan (JC-ESTC).
Mesyuarat ini telah diadakan pada bulan November di Langkawi. Lebih daripada 120 wakil daripada pelbagai organisasi perniagaan, syarikat, universiti Russia telah mengambil bahagian dalam mesyuarat ini.
Apa yang mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara ini?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita mempunyai perkembangan kerjasama dalam bidang pendidikan. Tahun ini, lebih daripada 330 perjanjian antara universiti Russia dan Malaysia telah ditandatangani.
Malah, lebih daripada 6,000 warga Malaysia telah menamatkan pengajian dari pelbagai universiti Russia dan pada masa ini, lebih daripada 600 pelajar Malaysia sedang belajar di beberapa bandar-bandar di Russia, terutamanya di universiti perubatan dan universiti kejuruteraan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga, bilangan warga Russia yang belajar di universiti-universiti di Malaysia juga meningkat.
Bagaimana peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini?
Sebagai pengerusi ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN telah memperkenalkan Wawasan ASEAN 2045, platform yang sangat baik untuk pembangunan masa depan negara-negara ASEAN. Kedua, di bawah kepimpinan Malaysia,
ASEAN telah meningkat. ASEAN kini ada satu lagi ahli baharu, Timor Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN. Saya fikir Malaysia berjaya meningkatkan autoriti ASEAN sebagai sebuah organisasi. ASEAN kini memainkan peranan yang semakin besar dalam dasar dunia, terutamanya di rantau Asia Pasifik.
Kami bersedia untuk bekerjasama dengan ASEAN, dengan Malaysia sudah tentu, dan dengan ASEAN secara keseluruhan. Rantau ini sangat penting bagi kami kerana Russia terletak di Eurasia, sebahagian daripada negara kami di Eropah dan bahagian terbesar negara kami di Asia.
Itulah sebabnya situasi di rantau Asia Pasifik sangat penting bagi kami.
Dalam hal ini, sudah tentu kami menyokong peranan penting ASEAN dalam mewujudkan keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara ASEAN lain mengenai isu-isu ini.
Bagaimana pula peranan Russia dalam BRICS?
Bagi kami, isu utama mengenai BRICS adalah kita hidup dalam tempoh yang sangat sukar. Terdapat banyak perubahan dalam arena antarabangsa, dalam politik global. Prinsip utama dalam BRICS ialah setiap negara perlu melaksanakan dasar luar yang bebas.
Saya fikir ia adalah prinsip utama. Ia bukan organisasi anti-Barat kerana dunia sedang berubah.
Sesetengah negara perlu mencari tempat baharu dalam keadaan geopolitik di peringkat global ketika ini. Itulah sebabnya negara-negara ini yang bersedia untuk meneruskan dasar luar yang bebas, mereka mencari sekutu untuk beberapa rakan kongsi.
Kita perlu bersatu untuk mempertahankan kepentingan negara kita. Ia bukan isu siapa yang akan menguasai atau siapa yang akan memerintah atau siapa yang akan memimpin organisasi ini.
BRICS ialah suatu bentuk kesatupaduan antara negara-negara yang bersedia untuk mempertahankan kepentingan negara mereka sendiri. Apabila kita bersatu, kita kuat. Satu perkara yang sangat mudah.
Ia bukan sahaja isu politik tetapi juga ekonomi kerana kita sudah berpuluh-puluh tahun berada di bawah kepimpinan negara-negara Barat, mereka adalah negara yang berkuasa di dunia.
Contohnya, mengenai perdagangan, terdapat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang mewujudkan peraturan. Di bawah peraturan ini semua negara bekerjasama.
Tetapi nampaknya negara-negara Barat kini cuba menggunakan WTO ini dengan beberapa organisasi lain sebagai alat untuk menentang musuh atau pesaing mereka. Dalam keadaan ini, kita perlu melakukan sesuatu untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kita.
Apakah isu utama yang sedang membelenggu negara-negara anggota BRICS?
Salah satu isu penting dalam BRICS ialah dedolarisasi. Kita tidak menentang mata wang AS dolar kerana ia adalah instrumen yang sangat mudah dalam perdagangan antarabangsa. Setiap negara pernah berdagang dengan AS dolar.
Tetapi nampaknya AS menggunakan mata wang mereka sendiri sebagai alat atau senjata terhadap lawan dan pesaing mereka. Contohnya, mereka mengenakan beberapa sekatan terhadap pedagang Russia. Tidak boleh menggunakan AS dolar dan Euro untuk perdagangan.
Apa yang perlu dilakukan dalam situasi ini ialah kita perlu mewujudkan suatu bentuk pilihan, peluang baharu untuk berdagang dengan Russia. Sebagai contoh, Malaysia berdagang dengan China, India, Thailand dan Indonesia berdasarkan AS dolar tetapi pada masa yang sama menggunakan mata wang negara sendiri.
Ia tidak bermakna Malaysia menentang AS dolar dan tidak mahu menolak menggunakan AS dolar tetapi nampaknya Malaysia sedang memikirkan masa depan mereka, jika suatu masa nanti ada yang cuba menggunakan AS dolar atau mata wang lain sebagai alat, sebagai senjata menentang Malaysia.
Ketika itu, Malaysia akan bersedia untuk menentang dan mempertahankan kepentingan negaranya.
Terdapat beberapa idea tentang mewujudkan mata wang bersama BRICS, kerjasama antara bank dan beberapa mekanisme pembayaran.
Tetapi, ia adalah isu yang agak sukar dan ia akan mengambil sedikit masa untuk mencari penyelesaian yang akan memberi manfaat bersama atau yang akan diterima oleh semua negara anggota. Itulah sebabnya, kita masih menggunakan AS dolar, Euro dan mata wang negara masing-masing.
Adakah negara-negara Barat ini akan terus menguasai dunia di masa akan datang?
Jika lihat peristiwa baru-baru ini, contohnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun lepas, jelas bahawa dominasi Barat dalam geopolitik dan ekonomi semakin merosot dan kita kini menyaksikan kebangkitan apa yang dipanggil Global South.
Jika lihat kepada kadar populasi, ekonomi dan pencapaian baru-baru ini, ia sudah terbukti.
Contohnya, China. Dalam tempoh 20 hingga 25 tahun, dari negara yang belum maju, kini menjadi pesaing kepada AS. Kemudian India dan Brazil, mereka juga mempunyai peluang yang sangat baik.
Saya fikir masa depan ekonomi selepas ini ialah Global South dan ASEAN adalah sebahagian daripada Global South ini dan kami memberi banyak perhatian kepada hubungan kami dengan ASEAN kerana dari sudut pandangan kami, ASEAN adalah tonggak utama dalam mewujudkan keamanan, kestabilan dan keselamatan dalam isu ini. Kami cuba membangunkan kerjasama kami dengan ASEAN dalam pelbagai bidang.
Tetapi kuasa besar masih mendominasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga ke hari ini?
Jelas bahawa beberapa pembaharuan terhadap PBB perlu dilaksanakan. Saya tahu pendirian Malaysia tentang contohnya kuasa veto lima ahli tetap dalam PBB. Jadi, pembaharuan perlu dilakukan untuk menghadapi cabaran global semasa.
Tetapi dari sudut pandangan kami, semua keputusan harus dibuat hanya berdasarkan konsensus.
Satu lagi perkara yang sangat penting ialah peranan Global South perlu dibangkitkan dalam PBB. Jika dilihat ahli tetap, kita tahu semua ahlinya (China, Perancis, Russia, United Kingdom dan AS).
Terdapat pula 15 ahli dalam Majlis Keselamatan PBB (lantikan dua tahun). Kadangkala terdapat negara-negara Global South tetapi kadangkala tiada negara Global South.
Bagaimana pula dengan negara-negara Afrika, negara-negara Amerika Latin? Jika negara-negara ini tiada dalam Majlis Keselamatan, nampaknya ia akan dikuasai sepenuhnya oleh kuasa Barat. Adakah ia memenuhi kepentingan Global South atau negara-negara lain?
Adakah dominasi kuasa Barat ini juga menjadi punca kepada konflik Russia-Ukraine ketika ini?
Kepimpinan AS, negara-negara Barat dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjanji tidak akan bergerak walau seinci pun ke timur Eropah. Tetapi, terdapat tiga gelombang pembesaran NATO dan nampaknya NATO bersedia untuk muncul di Ukraine, berhampiran dengan sempadan Russia.
Apabila NATO ditubuhkan pada 1948, mungkin pada masa itu mereka menganggap ia satu bentuk pertahanan terhadap Kesatuan Soviet. Saya tidak bersetuju dengan sudut pandangan ini, tetapi sekurang-kurangnya saya dapat memahami sebabnya. Tetapi apakah sebab NATO perlu berada di Ukraine?
NATO pernah menyerang Yugoslavia dan memusnahkan negara itu, yang dianggap mampu bersaing dengan beberapa negara Barat ketika itu dan itu sebabnya bagi kami, persoalannya bilakah NATO akan menyerang Russia. Jika mereka boleh menyerang beberapa negara lain, mengapa tidak Russia, yang mereka gelar sebagai musuh.
Beberapa negara dikatakan sebagai musuh blok Barat. Malangnya, Ukraine telah digunakan sebagai alat oleh negara-negara Barat untuk menentang Russia.
Bagi kami, ia adalah satu tragedi kerana kami telah hidup bersama dalam tempoh yang sangat lama. Kami mempunyai persamaan dalam budaya, bahasa dan agama.
Tetapi nampaknya, negara-negara Barat berjaya menggunakan Ukraine sebagai alat menentang Russia kerana selama berabad-abad mereka memandang Russia sebagai ancaman ke atas dominasi mereka.
Ada beberapa rakan sekerja saya menuduh Russia mahu menduduki dan merampas tanah Ukraine. Ini bukan isu tanah. Russia adalah negara terbesar di dunia, kami tidak memerlukan sebarang wilayah tambahan.
Malah, kami mempunyai wilayah di Russia yang tidak pernah dikunjungi dan diduduki oleh sesiapa pun. Ia bukan isu tanah, ia isu orang yang tinggal di tanah itu.
Selepas wilayah Donetsk dan Luhansk mengisytiharkan kemerdekaan dari Ukraine pada 2014, kami tidak mengiktiraf mereka kerana kami berharap mereka kekal di Ukraine dan berharap ada penyelesaian aman serta dapat mencari beberapa penyelesaian untuk isu ini.
Tetapi nampaknya ia terus menjadi kebimbangan NATO dan negara-negara Barat.
Kita sudah ada perjanjian Minsk sejak 2014 tetapi apabila kami memulakan operasi ketenteraan khas ini pada 2022, pencipta perjanjian ini dari pihak Barat iaitu Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Francois Hollande ketika itu dengan jelas secara terbuka dan secara rasmi mengatakan bahawa perjanjian Minsk ini bertujuan untuk memberikan masa kepada Ukraine untuk membina keupayaan ketenteraan mereka.
Jadi, mereka berbohong kepada kami selama lapan tahun ini. Kami berharap kami akan dapat mencari penyelesaian.
Bercakap mengenai dominasi kuasa Barat, adakah Perjanjian AS-Malaysia dilihat berat sebelah, lebih memihak kepada AS?
Saya banyak membaca artikel dan komen yang diulas dalam media Malaysia tentang perjanjian ini. Terdapat dua sudut pandangan utama mengenai isu ini. Seorang pakar ekonomi menyalahkan perjanjian ini dan kalau tidak silap saya, dia ada menggunakan perkataan ‘kolonial’.
Di sisi lain, beberapa pakar memujinya dan menegaskan bahawa ia adalah perjanjian yang sangat munasabah untuk melindungi kepentingan Malaysia.
Dalam isu ini, saya percaya dan saya berharap bahawa dalam menandatangani perjanjian ini, Malaysia, kerajaan Malaysia dan pemimpin Malaysia mengambil kira kepentingan negara.
Jika mereka berpendapat bahawa ia adalah perjanjian yang munasabah untuk melindungi perdagangan Malaysia, ia adalah keputusan kerajaan Malaysia.
Malaysia juga berusaha meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja dengan mengadakan rundingan di Kuala Lumpur. Adakah gencatan senjata kali ini dapat dicapai dalam tempoh jangka yang lebih panjang?
Saya fikir ia satu tragedi untuk Thailand dan Kemboja dan sudah tentu kita harap keamanan akan dikekalkan tidak lama lagi di rantau ini.
Saya fikir Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani pada bulan Oktober lalu.
Jika konflik ini timbul sekali lagi, ia bermakna ASEAN perlu melaksanakan beberapa langkah baharu atau mengambil beberapa usaha tambahan untuk menghentikan konflik ini dalam konteks ASEAN.
ASEAN mempunyai mekanisme perundingan, mesyuarat peringkat tertinggi yang berbeza dan saya berharap keputusan yang sewajarnya akan dapat dicapai.
Dalam rangka kerja ASEAN yang ada melibatkan Russia, kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan ASEAN dan kami berharap penyelesaian damai akan berjalan lancar secepat mungkin. – UTUSAN










