BARU-baru ini terdapat satu kejadian yang heboh diperkatakan oleh orang ramai di mana sebuah premis diserbu dan dikatakan telah menyediakan kemudahan untuk aktiviti seksual luar tabii dan ramai pengunjungnya telah ditahan.
Bagaimanapun mereka telah dibebaskan kerana terdapat kesukaran untuk tindakan diambil terhadap mereka. Kesukaran ini dapat dilihat dalam beberapa aspek.
Dalam konteks kejadian ini, kita boleh lihat daripada dua aspek:
Aspek premis perniagaan yang sah yang menyediakan kemudahan kemudahan seperti cafe gym serta bilik sauna serta jakuzi kepada pelanggan.
Lesen yang digunakan sah daripada segi undang-undang dan ia adalah satu premis yang mana orang ramai boleh menggunakannya dengan kadar bayaran tertentu.
Aspek pelanggan yang berkunjung terdiri dalam kalangan orang ramai dan dewasa yang membayar yuran atau membayar untuk masuk dan menggunakan premis itu.
Daripada aspek perundangan premis berlesen yang menawarkan perkhidmatan fasiliti spa dan juga gimnasium seperti dinyatakan di atas adalah tidak melanggar undang-undang.
Melainkan premis ini digunakan bagi aktiviti haram umpamanya untuk aktiviti pelacuran atau persundalan. Seksyen 373(2), Kanun Keseksaan yang berbunyi: “Dalam seksyen ini, ‘rumah persundalan’ bermaksud mana-mana tempat yang diduduki atau digunakan oleh mana-mana dua orang atau lebih yang diduduki sama ada pada satu masa sama atau pada masa berlainan bagi maksud persundalan.”
Untuk menjadikan ia satu rumah persundalan perlu keterangan yang menunjukkan secara kebiasaannya ia dilakukan aktiviti persundalan sebagaimana diputuskan di dalam kes Lau Eng Teck v. P.P (1964) 1 LNS 75.
Persundalan berasal daripada perkataan ‘sundal’ iaitu memberi perkhidmatan seks secara sukarela di atas imbalan atas perkhidmatan tersebut. Namun premis yang tidak menyediakan perkhidmatan sebegini tidak boleh dikatakan ia satu rumah persundalan di bawah undang-undang. Apa yang dapat dilihat daripada petikan media, premis itu ada menyediakan bilik dan fasiliti bagi kegiatan seks luar tabii, namun tiada apa-apa perbuatan tersebut dilakukan semasa serbuan dibuat.
Penyediaan fasiliti demikian tidak melanggar apa-apa undang-undang, malah tiada undang-undang yang menyekat perkara seperti ini.
Pihak Berkuasa Tempatan terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur boleh dengan kuasa Datuk Bandar tidak memperbaharui lesen perniagaan premis itu di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, perniagaan dan Perindustrian(Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 di bawah Seksyen 11 (4).
Pengunjung di premis ini adalah pengunjung yang cukup umur, sekiranya berlaku perbuatan seks di luar tabii di premis itu secara sukarela ia bukanlah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Di bawah Seksyen 377 B pula adalah kesalahan melakukan seks di luar tabii sahaja boleh dihukum dengan hukuman boleh sampai 20 tahun penjara dan boleh dikenakan sebatan rotan. Namun pihak penguat kuasa perlu membuktikan ada perbuatan seks di luar tabii dan dibuktikan di mahkamah kelak.
Daripada segi pemerhatian fakta di dalam kes ini, tiada apa-apa keterangan daripada penguat kuasa ada berlakunya seks di luar tabii dan sekadar mengesyaki. Dengan adanya kondom yang belum digunakan bertaburan di premis bukanlah satu kesalahan jenayah.
Di bawah Seksyen 23 Kanun Acara Jenayah perlulah ada syak wasangka yang munasabah dan bukan sekadar mengesyaki sahaja.
Bila polis atau penghulu boleh menangkap tanpa waran:
23. (1) Pegawai polis atau penghulu boleh, tanpa perintah daripada majistret dan tanpa waran, menangkap:
(a) Mana-mana terlibat dalam apa-apa kesalahan yang dilakukan di mana-mana tempat di Malaysia yang merupakan suatu kesalahan boleh ditangkap di bawah mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di bahagian itu di Malaysia yang ia dilakukan atau yang terhadapnya suatu aduan yang munasabah telah dibuat atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima atau suatu syak yang munasabah wujud mengenai penglibatannya sedemikian;
Namun jika pihak berkuasa menahan mana-mana individu dan menghantar untuk dibuat pemeriksaan perubatan mungkin dapat membuktikan ada berlaku perbuatan itu namun tidak dapat membuktikan mana-mana orang yang melakukan terhadap orang yang diperiksa itu tanpa pembuat itu dinamakan dan dicamkan.
Seterusnya jika ada yang melaporkan berlaku perbuatan lucah di hadapan pengunjung di tempat fasiliti awam dan orang itu terkesan dengan perbuatan itu boleh membuat laporan bagi kesalahan melakukan perbuatan lucah melampau atau tidak senonoh di tempat awam. Jika tidak, maka tiada apa-apa tindakan boleh di ambil. Seksyen 294 Kanun Keseksaan berbunyi seperti berikut: Barang siapa yang mendatangkan kegusaran pada orang lain: a) Melakukan apa-apa perbuatan lucah di mana-mana tempat awam.
Bagi pihak penguat kuasa agama Islam pula, perlu diingatkan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa kesalahan liwat tidak termasuk dalam senarai Pihak Negeri sebagaimana di dalam keputusan Iki Putra.
Keputusan itu antara lainnya menyatakan:
Badan Perundangan Negeri di seluruh Malaysia mempunyai kuasa menggubal kesalahan-kesalahan yang bertentangan dengan ‘perintah agama Islam’. Pentafsiran ‘perintah agama Islam’ adalah luas dan tidak terbatas pada lima rukun Islam. Oleh itu, ruang lingkup kesalahan- kesalahan yang boleh digubal adalah luas. Bagaimanapun, kuasa untuk menggubal kesalahan-kesalahan dengan ruang lingkup sedemikian terbatas pada had Perlembagaan.
Tidak dipertikaikan bahawa liwat, adalah salah satu kesalahan yang dibayangkan oleh Seksyen 28 Enakmen 1995 dan yang di bawahnya pempetisyen dituduh, adalah melakukan perkara bertentangan dengan perintah agama Islam.
Bagaimanapun, soalan besar adalah sama ada, walaupun sifatnya bertentangan dengan perintah agama Islam, BPNS kompeten untuk menggubalnya, berdasarkan klausa pengecualian.
Kewujudan klausa pengecualian bertindak menghalang negeri daripada membuat undang-undang berkaitan perkara-perkara yang kekal dalam ruang lingkup Parlimen untuk mengawal dan menggubal dalam bentuk yang ditadbir oleh Perlembagaan.
Keseluruhan bahagian Unnatural Offences dalam Kanun Keseksaan A melepasi beberapa pindaan selepas hari kemerdekaan sehingga peruntukan-peruntukan itu bukan lagi seperti sebelum merdeka.
Untuk kesemua niat dan tujuan, undang-undang sedemikian dianggap sebagai undang-undang selepas merdeka yang diluluskan Parlimen bawah kuasa yang diberi padanya bawah item 3 dan 4 Senarai Persekutuan. Akibat semula jadi adalah hal perkara atas mana Seksyen 28 Enakmen 1995 dibuat, terangkum di bawah klausa pengecualian item 1 Senarai Negeri.
Oleh itu, seksyen tersebut yang digubal bertentangan dengan item 1 Senarai Negeri yang menyatakan Badan Perundangan Negeri tiada kuasa untuk membuat undang-undang ‘berkaitan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’. Setakat itu, Seksyen 28 Enakmen 1995 tidak konsisten dengan Perlembagaan dan oleh itu terbatal.
Dengan demikian dalam membanteras perkara seumpama ini perlu terdapat keterangan seperti seorang agen provocateur atau pun apa apa rakaman audio atau video yang dilakukan dalam risikan.
Pindaan atau tambahan pada undang undang sedia ada juga perlu di buat. Undang-undang adalah dinamik dan interpretif dalam erti lain menyatakan bahawa undang-undang, sebaliknya, adalah sistem hidup. Ia menyesuaikan diri dengan perubahan nilai sosial, keperluan ekonomi, kemajuan teknologi, dan tafsiran kehakiman.
Mahkamah boleh menyemak semula preseden lama, badan perundangan boleh menggubal statut baharu, dan badan pentadbiran boleh mengeluarkan peraturan baharu. Evolusi ini bermakna set fakta yang sama boleh dilihat secara berbeza di bawah piawaian atau tafsiran undang-undang baharu.
DATUK SYED AZIMAL AMIR SYED ABU BAKAR ialah Pengamal undang-undang.










