KETIKA cadangan untuk membina Jambatan Pulau Pinang bagi menghubungkan kawasan pulau dan Seberang Perai diutarakan lebih separuh abad yang lalu, ramai yang menjadikan cadangan itu sebagai polemik dengan mengaitkan pembaziran sebagai alasan utama untuk menentang projek mega itu.
Pun begitu, apabila projek tersebut siap sepenuhnya pada 1985, suara-suara sumbang itu secara tiba-tiba tenggelam dan sirna dibawa angin yang lalu.
Begitu juga apabila cadangan membina Jambatan Kedua atau Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) dibuat untuk mengurangkan kesesakan yang berlaku di jambatan pertama terutamanya pada waktu puncak.
Suara-suara yang sebelum itu agresif menentang, tiba-tiba bertukar nada. Malah, ada dalam kalangan pemilik suara tersebut yang mengguna serta memanfaatkan kemudahan terbabit lebih banyak berbanding pihak yang menyokong.
Justeru, apabila projek Transit Aliran Ringan (LRT) dicadang sebagai mod pengangkutan alternatif untuk mengatasi isu kesesakan di Pulau Pinang, maka, tidak hairanlah sekiranya cadangan ini juga tidak pernah diterima bulat-bulat oleh semua pihak.
Secara umumnya, projek LRT Laluan Mutiara adalah di bawah kendalian MRT Corp dan merupakan projek LRT pertama di luar kawasan Lembah Kelang.
Ia merupakan tambahan kepada Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang yang bertujuan untuk meningkatkan rangkaian transit awam negeri dan menyokong pertumbuhan bandar yang mampan.
Dengan mewujudkan 21 buah stesen yang diletakkan secara strategik, projek yang melibatkan laluan sepanjang 29.5 kilometer (km) itu akan menghubungkan kawasan utama di seluruh Pulau Pinang dan tanah besar sekali gus mengintegrasikan dengan lancar dengan sistem pengangkutan sedia ada.
Selain itu, ia juga dijangka merancakkan ekonomi setempat seperti mewujudkan lebih peluang pekerjaan, menarik pelaburan baharu dan sebagainya.
Justeru, apa yang menjadikan projek berskala besar ini masih ditentang dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak khususnya pembangkang meskipun kerja-kerja pembinaan fasa pertama telah mula berjalan?
Selain kos yang tinggi, mereka merasakan bahawa projek tersebut bukanlah satu keperluan mendesak iaitu masih boleh ditangguhkan untuk memberi keutamaan kepada projek lain.
Dalam hal ini, pembangkang di Pulau Pinang sendiri dilihat tidak sependapat apabila Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) cenderung untuk menyokong penuh projek terbabit manakala Pas pula dilihat masih berharap agar projek itu ditangguhkan.
Jika projek tersebut dilihat lebih banyak memberi manfaat kepada penduduk di sebelah pulau berbanding ‘tanah besar’ dijadikan alasan untuk tidak menyokong, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mencadangkan bahawa jajaran itu akan disambung sehingga ke Seberang Perai supaya dapat memberi limpahan pembangunan kepada semua rakyat.
“Saya sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, saya tidak mahu projek itu ‘tersekat’ di situ sahaja (sekitar George Town). Jadi, saya yang mencadangkan supaya LRT menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai.
“Kalau tidak, jika (projek LRT itu) dekat Pulau Pinang sahaja, dia (pembangkang) akan kata pula: ‘Ha, tengok, jaga pulau sahaja, (jaga) kepentingan Cina sahaja. Tak jaga pun Seberang (Perai), tak jaga Melayu’,” katanya ketika Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua, baru-baru ini.
Logiknya, andai cadangan tersebut direalisasikan, manfaat daripada projek LRT bukan sahaja akan dirasai oleh penduduk Seberang Perai, malah, tempias pembangunan projek itu juga akan dirasai oleh seluruh warga utara tanah air termasuk di Kedah, Perlis dan utara Perak.
Seorang penduduk, Azrul Zaidi Zainuddin, 36, memberitahu, meskipun projek LRT itu menelan kos sehingga berbilion ringgit, namun, dia yakin kerajaan telah memikirkan implikasi projek tersebut dengan sebaiknya termasuk manfaat yang akan diterima oleh rakyat.
“Dalam hal ini, walaupun projek LRT Pulau Pinang mungkin ada kekurangan atau kelemahan, namun, kelebihan atau manfaat yang besar daripada projek itu mungkin membuatkan orang tidak lagi memandang kepada kelemahan yang ada.
“Jadi, saya melihat projek ini dari sudut pandangan yang positif dan percaya ia bukan sahaja akan menguntungkan kerajaan negeri dan rakyat, malah, melonjakkan nama Pulau Pinang sebagai destinasi tarikan yang wajib dikunjungi,” kata anak jati Bagan Ajam itu lagi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sendiri pernah menegaskan bahawa manfaat daripada pelaksanaan projek itu tidak dapat dilihat hari ini atau dalam tempoh yang terdekat.
Katanya, projek LRT Laluan Mutiara telah melalui sesi libat urus dan lain-lain proses melibatkan pandangan awam dan sebagainya.
“Jadi, kita harap pihak yang membantah itu dapat melihat projek ini secara keseluruhan. Malah, projek ini disokong oleh rakyat di mana dalam sesi libat urus sebelum ini, sokongan rakyat adalah lebih 90 peratus.
“Ini adalah masa untuk pelaksanaan dan sekiranya ada isu berkaitan, ia akan diuruskan oleh syarikat yang dilantik untuk melaksanakan projek tersebut,” katanya.
Pendek kata, apabila projek LRT ini siap sepenuhnya dalam tempoh lima atau enam tahun lagi, mereka yang menyokong atau membangkang, semuanya berpeluang untuk menikmati kemudahan yang sama.
Justeru, kepada mereka yang tidak bersetuju, usahlah menjadi seperti peribahasa ‘rumah sudah siap, tapi pahat masih berbunyi’ kerana projek pembangunan LRT Laluan Mutiara kini sudah mula berjalan.
Sebaliknya, ingatlah kepada peribahasa ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Dalam hal ini, apa sahaja yang memberi maslahah atau keuntungan untuk rakyat, maka, ia harus diberi keutamaan oleh para pemimpin sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










