PRN Sabah jangan sekadar laungan slogan, manifesto

PRN Sabah jangan sekadar laungan slogan, manifesto

PILIHAN raya kali ini bukan hanya soal siapa yang akan memerintah, tetapi sejauh mana kerajaan baharu mampu menunaikan janji dan mempertahankan hak negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi bukan sekadar medan perebutan kerusi antara parti politik, sebaliknya menjadi ujian besar terhadap kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negeri yang benar-benar mampu membawa suara Sabah ke hadapan.

Bagi rakyat Sabah, pilihan raya kali ini bukan hanya soal siapa yang akan memerintah, tetapi sejauh mana kerajaan baharu mampu menunaikan janji dan mempertahankan hak negeri tanpa tunduk kepada kepentingan politik pusat.

Sentimen ini semakin kuat selepas beberapa siri perubahan kerajaan sejak PRN 2018 dan 2020 yang meninggalkan kesan terhadap kestabilan politik serta keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.

Ramai melihat bahawa kekerapan pertukaran kerajaan menandakan satu perkara: Politik Sabah masih belum benar-benar berpaksikan prinsip kepercayaan rakyat, sebaliknya terperangkap dalam percaturan kuasa di peringkat nasional.

Oleh itu, PRN kali ini dianggap peluang untuk rakyat Sabah memulihkan semula suara mereka, memilih pemimpin yang bukan sekadar berjanji tetapi berani memperjuangkan nasib negeri ini dengan tulus dan konsisten.

Dalam suasana itu, pelbagai slogan diperkenalkan oleh parti-parti utama yang bertanding, masing-masing cuba menawan hati pengundi dengan mesej tersendiri yang kononnya menggambarkan semangat perjuangan mereka.

Namun, dalam keghairahan mencipta frasa yang mudah diingati dan menarik perhatian, timbul persoalan sama ada slogan-slogan tersebut benar-benar membawa makna atau sekadar retorik yang hilang selepas hari pengundian.

Barisan Nasional (BN) tampil dengan slogan “Bikin Balik Sabah”, satu ungkapan yang membawa mesej mengembalikan maruah serta kestabilan pentadbiran negeri kepada landasan asal selepas beberapa tahun dilanda pergolakan politik.

Parti Warisan pula menggunakan slogan “Selamatkan Sabah”, mencerminkan usaha mereka untuk menggambarkan bahawa negeri itu perlu ‘diselamatkan’ daripada apa yang mereka anggap sebagai ketidaktentuan dan kelemahan pentadbiran semasa.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) memilih pendekatan berbeza dengan slogan “Kasi Bagus Sabah”, yang dilihat cuba menawan hati pengundi luar bandar dengan gaya bahasa lebih santai, dekat dengan rakyat dan mudah difahami.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula memperkenalkan slogan “Rumah Kita. Kita Jaga”, menekankan konsep tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat dalam memelihara kepentingan negeri, khususnya dalam membangunkan Sabah secara inklusif.

Dalam manifesto pula, masing-masing menekankan hak-hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menuntut pengiktirafan kuasa negeri dan peruntukan yang sepatutnya diterima.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf, Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata, slogan dan manifesto sering menjadi imej awal calon di mata pengundi.

“Namun, ia perlu lebih daripada sekadar kata-kata manis atau janji retorik. Yang paling penting adalah kesesuaian slogan dan manifesto dengan isu setempat serta kemampuan calon menunaikan janji tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan manifesto perlu menekankan isu mikro yang memberi impak nyata kepada masyarakat setempat.

“Manifesto yang bersifat operasi, praktikal dan dekat dengan rakyat mampu meyakinkan pengundi berbanding slogan yang hanya menarik perhatian tanpa keberkesanan tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Noor Nirwandy menegaskan, slogan-slogan seperti “Bikin Balik Sabah”, “Selamatkan Sabah”, “Kasi Bagus Sabah” atau “Rumah Kita. Kita Jaga” mungkin menarik dan mudah diingat, tetapi pengundi kini semakin kritikal menilai sejauh mana janji tersebut boleh diterjemahkan dalam tindakan nyata.

“Pengundi mahu melihat bukti, bukan sekadar frasa atau ungkapan. Manifesto yang menekankan pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan asas tempatan lebih relevan dalam mempengaruhi keputusan mereka,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa calon muda dan calon pertama kali bertanding mempunyai kelebihan untuk menjenamakan manifesto mikro kerana mereka lebih dekat dengan aspirasi generasi baharu.

Sementara itu, calon veteran pula boleh menonjolkan pengalaman dan rekod pentadbiran yang telah terbukti.

“Pada akhirnya, manifesto yang berjaya adalah manifesto yang boleh diukur pencapaiannya, yang ada tindakan susulan dan bukti konkrit. Tanpa itu, slogan dan janji besar tidak lebih daripada retorik politik,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan bahawa pengundi muda akan menjadi kelompok penentu kerana mereka bukan sahaja pengundi baharu tetapi juga lebih kritikal menilai calon berdasarkan kemampuan menunaikan janji, bukan sekadar slogan atau populariti semata-mata.

“Generasi muda ini semakin sedar dan mempunyai kemampuan membuat perbandingan antara manifesto yang janji kosong dan yang mampu diterjemahkan dalam tindakan,” katanya lagi.

Tambah beliau, PRN Sabah kali ini menjadi peluang kepada pengundi untuk menilai sejauh mana slogan dan manifesto mencerminkan kesungguhan calon dalam membawa perubahan, memperjuangkan kepentingan setempat dan memastikan pembangunan negeri selaras dengan aspirasi rakyat.

Kejayaan manifesto bukan sahaja diukur melalui retorik di media, tetapi melalui implementasi dasar yang memberi manfaat kepada rakyat secara langsung. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×