TIGA minggu lagi rakyat Sabah akan keluar untuk memilih parti dan pemimpin yang akan membentuk kerajaan baharu di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sudah tentu ini adalah proses demokrasi yang sangat penting bukan kepada rakyat Sabah tetapi juga kepada negara kerana ia bakal menentukan apakah aliran pentadbiran dan dasar negeri nanti akan selari dengan di peringkat nasional.
Atau pengundi akan memilih jajaran baharu yang sudah tentu akan turut memberi kesan kepada pentadbiran peringkat nasional dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekitar dua tahun lagi.
Bagi rakyat Sabah ini adalah masa untuk mereka memilih sebuah pentadbiran yang akan mewakili mereka secara tulus. Dalam zaman yang serba terbuka kini rakyat sudah tentu mahukan pentadbiran yang telus dan bebas rasuah di samping kerajaan yang mampu menjana pembangunan serta peluang ekonomi terutama mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Semua orang tahu potensi Sabah masih belum diangkat ke tahap maksimum. Masih banyak ruang dalam semua sektor yang belum dimanfaat sepenuhnya untuk memaksimumkan sumber ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.
Untuk itu Sabah memerlukan sebuah kerajaan dinamik, pemimpin dengan pemikiran berbeza. Bukan sekadar menang, melawat kawasan dan kemudian menabur gula-gula. Tetapi pemimpin yang mampu menjaga hal ehwal rakyat tetapi pada masa sama mampu berfikir untuk menonjolkan Sabah dalam semua aspek.
Ini cabaran yang terletak pada jari kira-kira 1.8 juta pengundi di Sabah, cabaran untuk memilih parti dan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk mereka. Bukan sekadar menabur retorik dan kemudiannya masih bekerja cama lama.
Dinamika Sabah perlu digerakkan oleh pemimpin yang ada visi dan tanggungjawab untuk mengangkat negeri itu ke peringkat lebih tinggi.
Saingan Sabah bukan sekadar negeri-negeri dalam Malaysia, tetapi jiran-jiran di Asia Tenggara dan dunia keseluruhannya.
Untuk itu rakyat Sabah memerlukan pemimpin yang selari dengan zaman ini. Pemimpin yang mampu berfikir selari dengan kecerdasan buatan (AI) dan kepantasan teknologi.
Rakyat Sabah perlu ingat pemimpin yang masih berada di takuk lama tidak akan mampu menyusun masa depan negeri ini.
Begitu juga dengan pemimpin kitar semula yang sudah berdekad-dekad berada dalam politik semata-mata untuk berkuasa. Pemimpin seperti sekadar mengisi tempat kosong dan meneruskan pentadbiran sekadar ada tanpa misi yang jelas.
Buktinya sudah ada pada pentadbiran–pentadbiran sebelum ini.
Dari sebegitu banyak Ketua Menteri dan parti yang memerintah tentu rakyat Sabah boleh membuat penilaian pemimpin dan parti mana yang benar-benar bekerja untuk mereka. Mereka mesti memilih berdasarkan kebijaksanaan dan bukannya sentimen.
Siapa pun yang yang menang, parti mana pun yang menjadi kerajaan mereka adalah rakyat Sabah dan akan berkhidmat untuk Sabah. Tersalah pilih Sabah akan berada di takuk lama untuk tempoh lima tahun lagi.
Pengundi perlu melihat tawaran-tawaran yang diberikan oleh pemimpin dan parti yang bertanding. Adakah tawaran itu ikhlas, asli, telus dan realistik untuk memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan.
Sebab dengan kapasiti yang dimilikinya Sabah sepatutnya bergerak lebih jauh berbanding negeri-negeri lain. Sabah sepatutnya menjadi satu lagi hab ekonomi di Asia Tenggara yang mampu menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan dan menarik kehadiran orang luar ke negeri itu.
Sebab itu, PRN kali ini perlu digunakan oleh pengundi-pengundi Sabah untuk memilih kerajaan dan pemimpin yang benar-benar akan bekerja untuk mereka.
Congaklah parti dan pemimpin yang akan bertanding. Adakah mereka tampil dengan idea baharu lagi segar atau masih menjual idea-idea lama sambil memainkan sentimen rakyat?
Perlu diingat, sentimen tidak akan mampu mengubah dan memajukan Sabah. Sentimen dan emosi hanya akan menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri tersekat pada nostalgia lama tanpa mampu untuk bergerak ke hadapan.
Lihat parti-parti yang bertanding. Daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Perikatan Nasional (PN). Apakah yang ditawarkan oleh mereka-mereka ini kepada 1.8 juta pengundi dan keseluruhan rakyat Sabah? Lihatlah kemampuan pemimpinnya. Apakah mereka mampu mencorakkan satu bentuk pentadbiran baharu yang sesuai dengan generasi dan kepantasan pergerakan teknologi hari ini?
Tidak salah mahu memilih parti dan pemimpin asli Sabah jika mereka boleh memacu negeri ke tahap lebih baik. Rakyat Sabah sudah tentu lebih mengenali pemimpin yang ada di sekeliling mereka.
Satu lagi perlu diingat, untuk bergerak ke hadapan mana-mana negeri pun tidak boleh bergerak sendirian. Elemen Persekutuan diperlukan terutama jika mahu menarik banyak pelaburan dan pembangunan.
Bagi parti dan pemimpin yang bertanding pula apakah tawaran yang diberikan kepada Sabah? Adakah sekadar mengulangi retorik-retorik dahulu atau tampil dan imej yang lebih bernas dan pemimpin-pemimpin yang lebih segar ideanya.
Tawaran-tawaran yang dibuat pula perlu realistik dan bukan sekadar janji manismu yang gagal dilaksanakan apabila sudah menjadi kerajaan. Kesannya negeri dan rakyat tetap berada di takuk lama.
Namun, semuanya terletak pada hujung jari kira-kira 1.8 juta penduduk Sabah. Mereka yang akan menilai setiap tawaran yang dibentang oleh parti yang pemimpin bertanding. Dan para pengundi sahaja yang tahu apa selera mereka dan apa menu yang dipilih pada hari pengundian 29 November ini.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










