SEBUAH karya sastera seperti novel dan cerpen bukan sekadar memuatkan cerita. Sebaliknya, merakam sejarah dan budaya masyarakat sezaman.
Antara cerpen Melayu moden yang saya suka termuat dalam antologi Angin Dari Gunung (1988) selenggaraan Abdullah Tahir. Tentulah pengalaman membaca antologi itu pada usia remaja di sekolah menengah tidak sama dengan pengalaman mengkajinya sebagai mahasiswa di Universiti Malaya.
Hampir 25 cerpen dalam antologi itu membantu saya memahami realiti budaya dan pemikiran masyarakat Melayu yang dirakam penuh teliti oleh para pengarang mapan.
Baru-baru ini, saya membaca semula Cerita Awang Putat karya Abdul Rahim Kajai. Nama sebenarnya Abdul Rahim Salim tetapi ‘Kajai’ ditambah pada nama pena sempena tempat asal bapanya di Minangkabau, Sumatera Barat.

Beliau mengarang cerpen mulai 1936 dan menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu yang ditubuhkan pada 1939 di Singapura. Semasa penjajahan Jepun di Malaya (1942-1945), beliau memulakan akhbar Berita Malai.
Cerpen Cerita Awang Putat diterbitkan dalam dua bahagian di akhbar Utusan Zaman iaitu pada 1 dan 7 November 1941. Pada 8 Disember 1941, tentera Jepun mendarat di pantai Kota Bharu, Kelantan dalam usaha menjajah Malaya. Maka, Cerita Awang Putat merakam sejarah, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.
Latar tempat ialah desa permai bernama Tenong di daerah Temerloh, Pahang. Digambarkan sawah saujana mata memandang, dusun durian dan rumpun rumbia di sana sini serta Sungai Pahang berair jernih merentas di tengah-tengah Tenong. Pekan Temerloh terletak sekitar 12 kilometer dan dihubungkan sungai serta laluan di tebing sungai.
Segala keamanan dan kerukunan hidup berubah dan mulai musnah apabila sekolah Melayu dibuka kerajaan British di Tenong. Cikgu Majid Shah dan adiknya, Hamid Shah, yang datang dari Pulau Pinang ialah Jawi Pekan.
Sebagaimana dihurai dalam buku Suvarna Bhumi (2022) dan Dewi Pertiwi (2024), Jawi Pekan merujuk orang Keling atau India-Muslim. Tokoh sasterawan dan wartawan Melayu seperti Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad@Pak Sako secara terbuka membenci komuniti ini yang dilabel Darah Keturunan Keling (DKK).
Maka, tentulah kebencian terhadap orang Keling amat nyata dalam Cerita Awang Putat. Rencana saya pada 10 Februari 2024 menghuraikan bagaimana watak kaum Cina kerap diberi peranan antagonis oleh pengarang Melayu sejak dahulu.
Watak Ah Kau diberi gambaran negatif dari mula hingga akhir dalam Cerita Awang Putat. Abdul Rahim Kajai tidak lagi melihat pemerintah British sebagai penghalang kepada kemajuan orang Melayu. Sebaliknya, watak India-Muslim dan Cina menjadi punca segala masalah.
Ah Kau membuka kedai runcit pertama di Tenong dengan cara membodek Tok Rangkaya Bangkong iaitu penghulu. Ah Kau datang dengan hanya membawa bantal bambu dan sehelai selimut. Dalam masa dua tahun, kedainya semakin maju dan sudah menggaji pekerja Cina.
Watak Awang Putat memerhatikan semua yang berlaku sejak berumur 10 tahun. Menurutnya, apabila dia tamat sekolah Melayu pada usia 14 tahun, Ah Kau sudah menjadi tauke dengan lima pekerja, kedai bertambah, selain menyewa tanah untuk beberapa orang Cina menanam sayur dan membela babi.
Cerpen ini turut menggambarkan budaya negatif dalam kalangan orang Melayu. Misalnya, Awang Putat dan kawan-kawannya menjadi kutu embun, selain terlibat dalam judi.
Cik Teh iaitu anak Pendekar Cholin berkahwin dengan Hamid Shah, lelaki India-Muslim. Awang Putat pula membalas dendam dengan merogol Cik Teh di dalam semak. Kemudian, dia berpura-pura mencintai wanita itu semata-mata mahu diceraikan Hamid Shah.
Pada masa sama, Abdul Rahim Kajai tidak putus-putus menggambarkan orang India-Muslim (DKK) dan Cina sebagai punca segala masalah dihadapi masyarakat Melayu. Gambaran ini tidaklah menghairankan kerana memang sudah menjadi kebiasaan dalam kebanyakan tulisannya.
Kerja menoreh getah di Tenong mula diambil-alih buruh Cina. Ah Kau memonopoli lesen pembelian getah daripada pekebun. Banyak juga tanah milik orang Melayu terlepas ke tangan Ah Kau kerana gagal membayar hutang.
Hal-hal berkaitan tanah rizab Melayu dihuraikan secara terperinci dalam buku Suvarna Bhumi dan Dewi Pertiwi. Enakmen Rizab Melayu turut diperkenalkan pemerintah British di Pahang pada 1914.
Namun begitu, ternyata Ah Kau masih mampu memanipulasi orang Melayu untuk merampas tanah.
Abdul Rahim Kajai menulis: “Ah Kau telah dapat membeli tiga empat keping tanah Melayu. Meskipun dia (orang Cina) tidak boleh membeli tanah kawasan (rizab) Melayu tetapi telah dibelinya dengan meminjam nama Hamid Shah.”
Watak Hamid Shah iaitu suami Cik Teh menjadi kerani di kedai getah milik Ah Kau, selain menjadi Pengerusi Jawatankuasa Masjid. Hamid Shah mempengaruhi imam, khatib dan bilal sehingga penduduk Melayu-Islam berpecah. Lelaki India-Muslim itu dan beberapa orang yang digelar Abdul Rahim Kajai sebagai ‘Melayu betul’ menjadi broker untuk membolehkan Ah Kau membeli tanah rizab di Tenong.
Pendekar Cholin turut menjadi mangsa manipulasi Ah Kau. Semasa Cik Teh dinikahkan dengan Hamid Shah, Ah Kau memberi bantuan barangan tanpa had untuk mengadakan lat (jamuan) besar-besaran.
Kemudian, apabila hutang gagal dibayar, Ah Kau merampas tanah milik guru silat itu.
Abdul Rahim Kajai yang digelar ‘Bapa Kewartawanan Melayu’ dan ‘Bapa Cerpen Melayu meninggal dunia pada 5 Disember 1943 di Geylang, Singapura semasa Malaya masih dijajah Jepun.
Pandangan negatif pengarang Melayu terhadap kaum Cina mula berubah selepas Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, cerpen seperti Cerita Awang Putat menjadi perakam suasana dan pemikiran masyarakat pada dekad 1930-an.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










