Pendidikan jiwa untuk masa hadapan bangsa

Pendidikan jiwa untuk masa hadapan bangsa

REMAJA hari ini semakin hilang rasa empati ekoran terlalu terikat dengan alam maya termasuk permainan video.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA insiden tragik yang berlaku baru-baru ini benar-benar menggegarkan hati rakyat Malaysia. Kes melibatkan pelajar perempuan seperti Zara Qairina Mahathir, kejadian pelajar dirogol dan dibunuh oleh kenalan sendiri serta peningkatan kes kekerasan sesama pelajar di sekolah menunjukkan sesuatu yang jauh lebih serius sedang berlaku.

Semua ini bukan lagi sekadar isu disiplin tetapi cerminan kepada krisis nilai dan semakin hilangnya rasa kemanusiaan dalam kalangan remaja kita.

Mereka bukan tidak cerdik. Mereka tidak buta teknologi. Tetapi mereka semakin hilang empati nilai paling asas dalam diri manusia.

Dalam dunia yang semakin moden, sekolah kini menjadi pentas kecil kepada keruntuhan moral yang besar. Kes buli, pergaduhan, penghinaan rakan di media sosial dan perbuatan melampaui batas semakin kerap dilaporkan.

Di sebalik uniform sekolah yang kelihatan sopan, ada jiwa muda yang kehilangan arah dan nilai.

Bukan sedikit membesar dalam suasana rumah yang sibuk, persekitaran digital toksik dan budaya tular memuja sensasi berbanding perasaan. Mereka meniru bahasa kasar daripada kandungan media sosial, malah menganggap kekerasan sebagai hiburan.

Punca utamanya? Kita terlalu lama mendidik akal tetapi melupakan jiwa.

Maka, sudah tiba masanya sistem pendidikan negara memberi fokus yang serius kepada kurikulum pembentukan karakter, sebagaimana digarapkan Kementerian Pendidikan hari ini.

Pendidikan tidak seharusnya berhenti pada ‘apa yang pelajar tahu’ tetapi mesti menekankan ‘siapa pelajar itu menjadi’.

Kurikulum berasaskan karakter bermakna setiap mata pelajaran, aktiviti dan interaksi di sekolah perlu menjadi ruang untuk menanam nilai hormat, kasih sayang, amanah dan tanggungjawab.

Sebagai contoh, dalam bahasa Melayu, pelajar boleh diajar menulis refleksi tentang isu buli dan kemanusiaan. Sementara dalam Pendidikan Islam dan Moral boleh memberi fokus pada nilai ihsan dan adab terhadap sesama manusia yang perlu diterjemahkan dalam aktiviti nyata seperti khidmat masyarakat.

Subjek Sains dan Teknologi pula membolehkan pelajar dibimbing untuk memahami tanggungjawab etika terhadap penggunaan media dan teknologi.

Kurikulum ini akan membentuk bukan hanya minda tetapi juga hati dan itulah yang sedang kita kehilangan.

DUNIA MAYA

Dalam banyak kes, dunia maya memainkan peranan besar dalam membentuk tingkah laku remaja. Anak-anak kita lebih banyak berinteraksi dengan permainan video ganas, kandungan ekstrem dan budaya tular yang memuja kekerasan.

Kajian psikologi menunjukkan pendedahan berterusan kepada permainan ganas seperti menembak dan survival boleh mengurangkan kepekaan terhadap penderitaan manusia sebenar.

Apabila kekerasan dipersembahkan sebagai hiburan menyebabkan minda mereka menjadi kebas terhadap kesakitan orang lain. Inilah sebabnya ada pelajar yang boleh menendang, menumbuk atau merakam penderitaan rakan tanpa rasa bersalah. Ini kerana mereka sudah terbiasa melihat ‘nyawa’ hanya sebagai skor dalam permainan.

Kesan inilah yang menakutkan apabila realiti dan fantasi bercampur dan batas moral semakin kabur.

PERANAN SEKOLAH

Kerana itu, sekolah mesti menjadi tempat yang menyembuhkan, bukan tempat yang menambah luka.

Program Pendidikan Emosi dan Sosial (SEL) boleh menjadi sebahagian daripada kurikulum harian. Melalui pendekatan ini, pelajar diajar untuk mengenali dan mengurus emosi, berempati terhadap orang lain, membuat keputusan moral dengan bijak dan membina hubungan sosial yang sihat.

Apabila pelajar dibimbing untuk berfikir sebelum bertindak dan memahami kesan perbuatan terhadap orang lain, barulah wujud generasi yang mampu berfikir secara moral, bukan sekadar impulsif.

Guru pula mesti dilihat bukan hanya sebagai pengajar tetapi sebagai teladan nilai dan kasih sayang. Sikap, tutur kata dan keprihatinan guru adalah bahan didikan paling kuat membentuk jiwa murid.

Tragedi seperti kes Zara Qairina dan kes pelajar yang menjadi mangsa rogol serta pembunuhan mesti dijadikan amaran keras, bukan sekadar simpati sementara. Kita tidak boleh lagi membiarkan sekolah menjadi cermin kepada keruntuhan sosial.

Kementerian Pendidikan bersama semua pihak perlu memperkukuh pelaksanaan kurikulum nilai dan karakter, memperkenalkan garis panduan penggunaan permainan digital di rumah dan sekolah serta menguatkan peranan guru bimbingan dan kaunseling dalam pendidikan emosi.

Pendidikan harus kembali kepada asas dengan membentuk manusia yang berperasaan, beriman dan berakhlak.

Kita tidak mahu lagi mendengar pelajar menjerit dan memukul rakannya kerana ‘gurauan’. Kita mahu mendengar pelajar berkata, “Saya tidak akan menyakiti orang lain, kerana saya tahu rasanya disakiti.”

Pendidikan yang sejati bukan hanya untuk melahirkan pelajar yang cemerlang di atas kertas tetapi manusia yang berjiwa besar.

Kurikulum pembentuk jiwa bukan sekadar idealisme dan ia menjadi keperluan penting untuk menyelamatkan masa hadapan bangsa daripada kehilangan rasa kemanusiaan.

Kita mesti bertindak sekarang, bukannya selepas tragedi berikutnya berlaku.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×