SEPERTI kebanyakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika ini, termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Majlis Konvokesyen UPM kali ini meraikan seramai 6,375 graduan iaitu doktor falsafah seramai 772 graduan, ijazah sarjana (1,949) dan ijazah pertama atau bacelor (3,636).
Dianjurkan dalam tujuh sesi, UPM akan mengadakan konvokesyen ke-49 bermula esok hingga 5 Disember 2025 bukan semata-mata majlis penganugerahan skrol kepada graduan berkenaan tetapi sebagai penghargaan kepada pelajarnya yang tekun menamatkan pengajian menimba ilmu.
Persiapan majlis konvokesyen itu melibatkan koordinasi yang sangat menyeluruh dan dilaksanakan melalui kerjasama erat antara semua jawatankuasa yang terlibat.
Hampir 1,000 warga UPM daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ), peringkat jawatan serta pasukan sukarelawan pelajar digembleng bagi memastikan setiap komponen majlis dapat diadakan dengan teratur, selamat dan lancar.
Keseluruhan operasi ini ditunjangi oleh sebuah Jawatankuasa Induk dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), dengan pelaksanaan teknikal disokong oleh jawatankuasa-jawatankuasa kerja merangkumi logistik, keselamatan, protokol, kebajikan, teknikal siar raya, kesihatan, media dan pengurusan tetamu.
Gerak kerja penyediaan telah bermula seawal tahun ini, termasuk penambahbaikan aliran pergerakan graduan, pengurusan keselamatan di kawasan tumpuan ramai, penyelenggaraan kemudahan sekitar Canselori, pengurusan trafik, ujian sistem teknikal serta penyediaan maklumat tepat dan berkesan kepada graduan dan ibu bapa.
Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pendekatan perancangan awal ini membolehkan UPM memastikan setiap aspek majlis dipantau dengan teliti serta meminimumkan sebarang risiko operasi.
“Keseluruhannya, persiapan rapi ini mencerminkan komitmen UPM untuk menganjurkan majlis konvokesyen yang bukan sahaja lancar dan selamat, tetapi berprestij serta memberikan pengalaman terbaik kepada graduan dan para tetamu, ujarnya.
Buat pertama kalinya, UPM melahirkan graduan sulung bagi program Sarjana Rekabentuk Makanan Fungsian, Sarjana Pembangunan Komuniti, Pengurusan Teknologi Pembinaan dan Sarjana Politik dan Kerajaan.
Kesemua program baharu itu dirangka bagi memenuhi keperluan industri serta memenuhi permintaan tenaga kerja yang lebih spesifik, relevan dan berimpak tinggi di peringkat nasional dan global.
Tahun ini turut menyaksikan peningkatan jumlah graduan UPM sebanyak antara enam hingga tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya yang sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelajar dan majikan terhadap kualiti akademik UPM menunjukkan program-program pengajiannya kekal relevan, dipercayai dan berimpak tinggi selaras dengan peranan UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara.
Selain itu, UPM juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan gelaran Profesor Emeritus kepada Datin Paduka Dr. Khatijah Mohamad Yusoff.
Dari sudut penganjuran, majlis konvokesyen UPM terus berfungsi sebagai penanda aras dalam sektor pendidikan tinggi, terutamanya dari segi protokol, pengurusan operasi berskala besar, pengalaman graduan dan kawalan keselamatan.
Banyak universiti awam lain menjadikan standard konvokesyen UPM sebagai rujukan, menggambarkan kredibiliti dan keupayaan universiti dalam menganjurkan majlis akademik berprestij yang teratur, cekap dan bertaraf antarabangsa.
Pada majlis itu nanti, UPM turut menganugerahkan beberapa anugerah khas yang diberi setiap tahun berdasarkan pencapaian masing masing.
Anugerah Canselor diberi kepada Muhammad Amir Zakwan Mohd. Zailani yang menamatkan pengajian Bacelor Sains Fizik Dengan Pendidikan (Kepujian). Dia bakal menerima pingat emas dalam bentuk Gold Coin bernilai RM2,000, wang tunai RM7,500 dan sijil.
Anugerah Pelajaran Diraja yang diberikan kepada dua pemenang iaitu Bukan Bumiputera kepada Anthea Darlene A/P Lourdes (Bacelor Pengurusan Alam Sekitar Dengan Kepujian manakala kategori bumiputera kepada Nur Hana Ahmad Azran (Bacelor Ekonomi Dengan Kepujian).
Kedua-duanya bakal menerima pingat emas, wang tunai RM7,500 dan sijil yang ditaja oleh Majlis Raja-Raja.
Anugerah Endowmen Sultan Idris Shah yang diberi kepada Lee Si Jie (Bacelor Sains Dietetik Dengan Kepujian), bakal menerima pingat emas, wang tunai berjumlah RM5,000 dan sijil.
Dalam pada itu, Persatuan Alumni UPM pula menaja anugerah Pingat Emas Alumni yang diberi kepada Hidayatun Nufus Abd. Gafor (Bacelor Komunikasi Dengan Kepujian) dan bakal menerima pingat emas bernilai RM1,000, wang tunai RM4,000 dan sijil.
Dengan dua kampus iaitu Serdang berkeluasan 3,000 hektar (ha) dan kampus cawangan Bintulu seluas 714,178 ha, UPM merupakan gedung bagi 30,720 pelajar termasuk 8,733 pelajar luar negara.
Keluasan tanah inilah yang memberi nilai tambah dan keunikan kepada universiti berkenaan kerana kawasan ini yang menempatkan dusun, ladang untuk pelajar menjalankan kerja-kerja amali.
Selain pengajian yang ditawarkan menepati pilihan kerjaya bakal graduan, ada wow factor lain yang menjadi kunci utama kemasukan pelajar. Ini seperti yang ditekankan oleh Ahmad Farhan bahawa elemen-elemen seperti pembangunan sahsiah pelajar yang lebih inklusif dengan moto UPM, Berilmu Berbakti dan program-program di bawah Jiwa Putra memberi peluang kepada pelajarnya membentuk keperibadian sebagai mahasiswa insan berilmu untuk disesuaikan dengan pasaran kerjaya.
“Bagi memberi peluang pelajar terlibat dalam program mobiliti ke luar negara, UPM memperuntukkan dana untuk tujuan ini dan bilangan pelajar yang tinggi yang dapat pengalaman mobiliti ke luar negara. “UPM juga menerima pelajar mobiliti dari luar negara yang tinggi dan bersama dengan bilangan pelajar antarabangsa yang tinggi, kampus UPM boleh dianggap sebagai kampus global dan akan membantu pelajar juga menjadi warga global yang lebih baik, “ ujarnya.
Tekad Ahmad Farhan, strategi UPM untuk memberi pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik akan membantu semua pelajar mencapai hasil pembelajaran seperti yang dirancang. Tidak hairanlah UPM kini menduduki tempat kedua universiti terbaik negara dan antara terbaik di rantau ASEAN.
Seorang alumni UPM yang hanya mahu dikenali sebagai Mahani mengakui, sepanjang menimba ilmu di universiti berkenaan, minatnya berkembang melalui proses pembelajaran di IPTA itu.
“Saya bangga jadi graduan dan alumni, UPM sebuah universiti terbaik,” ujarnya.
Selain itu, UPM turut meneruskan komitmen terhadap pengantarabangsaan melalui kolaborasi akademik bersama institusi luar negara.
Ahmad Farhan memberitahu pada tahun ini, dua graduan doktor falsafah (PhD) berjaya menamatkan pengajian di bawah program Ijazah Bersama (Joint Degree) dengan University of Newcastle, Australia, manakala seorang lagi graduan PhD bergraduasi di bawah program Cotutelle dengan sebuah universiti di Perancis. Kejayaan itu mencerminkan kredibiliti akademik UPM diiktiraf di peringkat antarabangsa serta memperkukuh reputasi universiti dalam jaringan pendidikan global.
Maka, kegemilangan UPM bukan sekadar berkisar membekal pakar pertanian, dengan kebolehpasaran graduan tinggi 99.6 peratus manakala kadar bekerja graduan 99.7 peratus. Selamat berkonvokesyen UPM. – UTUSAN










