SESI Meja Bulat Untuk Kelestarian Minyak Sawit (RSPO) iaitu pertubuhan bukan kerajaa (NGO) global, bersama-sama dengan Sekolah Perniagaan Asia (ASB) melalui Pusat Pemilik Kecil Lestari (CSS) dan Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuhkan daya tahan pekebun kecil di Malaysia melalui latihan, kesediaan digital dan pembiayaan lestari.
Sektor pekebun kecil Malaysia berada pada saat yang tidak menentu, apabila lebih separuh daripada kebun kelapa sawit milik pekebun kecil kini berusia lebih 25 tahun dan populasi petani yang semakin tua menyebabkan produktiviti dan pendapatan menurun selain tekanan yang semakin meningkat.
Rangka kerja global seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sedang membentuk semula jangkaan perdagangan dan meningkatkan bar kelestarian untuk semua pengeluar.
Walaupun terdapat kemajuan yang ketara dalam pensijilan, ramai pekebun kecil masih tersekat antara pematuhan dan daya saing.
Oleh itu, MoU ini penting bagi membina laluan praktikal untuk pekebun kecil menangani cabaran dan mencapai kesediaan pensijilan RSPO dan kebangsaan — dua sistem pelengkap yang menyokong kredibiliti global Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit lestari.
Presiden NASH, Adzmi Hassan berharap inisiatif tersebut dapat mengembalikan keberdayaan yang membentuk semula kisah pembangunan luar bandar Malaysia.
“Kerjasama ini bukan tentang satu standard yang menggantikan standard yang lain. Ia adalah tentang melengkapkan pekebun kecil supaya apabila mereka bersedia untuk RSPO, mereka juga secara semula jadi bersedia untuk MSPO. Tumpuannya adalah pada keupayaan, keyakinan dan kesinambungan.
MoU itu katanya, bagi menunjukkan bahawa pekebun kecil Malaysia bukanlah masalahnya, tetapi mereka adalah penyelesaiannya.
Dengan menyelaraskan piawaian kebangsaan dan antarabangsa, pematuhan akan diubah menjadi peluang, memulihkan kebanggaan kepada pekebun kecil kami dan menjamin masa depan Malaysia yang mampan.
Kerjasama ini menyokong agenda negara untuk meningkatkan daya saing pekebun kecil, memperkukuh kebolehkesanan rantaian bekalan dan memajukan pertumbuhan mampan dalam sektor minyak sawit Malaysia.
Bagi membantu golongan pekebun kecil sawit ini adalah dengan meningkatkan produktiviti, meningkatkan kebolehpercayaan data dan memperdalam kerjasama merentasi rantaian nilai di samping memastikan setiap pekebun kecil mendapat manfaat daripada perjalanan kemampanan Malaysia.
Ketua Unit Pekebun Kecil RSPO, Guntur Cahyo Prabowo berkata, kemampanan tidak boleh menjadi Penghalang dan Malaysia telah menunjukkan cara menterjemahkan isu kemampanan dan kelestarian yang dituntut oleh masyarakat global melalui dasar inklusif ke dalam pelaksanaan di lapangan di mana pekebun kecil adalah penerima manfaat utama.
Sebab itu katanya, perjalanan RSPO bermula di Malaysia, didorong oleh keyakinan bahawa minyak sawit—yang sangat penting untuk pembangunan Malaysia—boleh diubah menjadi kuasa untuk kemajuan yang mampan.
Kisah Malaysia saling berkaitan dengan minyak sawit. Ladang kelapa sawit adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan di negara ini yang telah membina mata pencarian untuk generasi, membantu mengubah ekonomi dan mengekalkan komuniti.
Sehingga hari ini, hampir setengah juta pekebun kecil dalam sektor sawit Malaysia terus memacu peningkatan luar bandar dan kemakmuran negara.
Malaysia membuktikan melalui perkongsian inovatif, industri sawit terus menunjukkan keupayaannya menyediakan keselamatan makanan, mata pencarian dan peluang untuk berjuta-juta orang, dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan.
“Perkongsian seperti Sistem Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit atau JASPO, di Sabah dimana kami sedang membangunkan pendekatan kemampanan seluruh negeri dengan sokongan daripada UNDP dan pembiayaan daripada Kerajaan Switzerland serta kerjasama jangka panjang kami dengan Sekolah Perniagaan Asia mengenai sokongan dan keterangkuman pekebun kecil,” kata Guntur.
Oleh itu, melalui MoU yang membawa kepada perkongsian baharu kami dengan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia atau NASH meluaskan jangkauan RSPO kepada pekebun kecil di seluruh negara.
RSPO bersama dengan kerajaan terutama MSPO dan Kementerian Perladangan dan Komoditi, akan meneroka cara baharu bagi menyelaraskan dan bekerjasama serta akhir sekali berkongsi dengan generasi baharu bagi memastikan industri sawit terus kekal relevan.
RSPO yang meraikan ulang tahun ke-20 tahun lalu komited untuk membina dan memperkasakan industri sawit lestari untuk 20 tahun akan datang dan seterusnya.
“Kami mengingatkan diri kami bahawa aset terbesar perkongsian RSPO ialah kepercayaan kami bahawa kemajuan adalah tanggungjawab bersama. Perjanjian asas kami ialah kemampanan akan menjadi usaha kolaboratif merentasi keseluruhan rantaian nilai. Berkongsi usaha serta faedah,” kata Guntur.
Ketika dunia berhadapan dengan krisis dan cabaran berganda, semakin sukar untuk mencari ruang di mana kerjasama dan persefahaman bersama masih membawa impak. Itulah sebabnya usaha yang dilakukan oleh Malaysia penting dan mengapa produk sawit lestari mesti menjadi sebahagian daripada pembangunan sosioekonomi dan penyelesaian iklim di seluruh dunia.
Kerjasama kami memberi impak sebenar di lapangan. Ia menyediakan sumber dan peluang yang menjadikan kehidupan lebih baik, sambil mengurangkan beban manusia terhadap iklim dan ekosistem Bumi.
Di peringkat global, tahun lalu, RSPO menyantuni pekebun kecili di Jambi, Indonesia termasuk membantu memulih sungai melalui inisiatif yang dibiayai oleh NGO itu.
Inspirasi yang sama diberikan kepada kumpulan pekebun kecil PromoAgrosur di San Pablo, Colombia yang, dengan bantuan Dana Sokongan Pekebun Kecil RSPO, mengubah ladang yang pernah terjejas oleh dadah, kemiskinan dan keganasan menjadi ladang kelapa sawit lestari.
Berinspirasikan kepada usaha Malaysia memastikan industri sawit diterima secara global, RSPO turut memainkan peranan supaya setiap pekebun kecil mendapat manfaatnya.
Menurut Guntur, RSPO menyatukan komuniti luar bandar terkecil dengan syarikat multinasional terbesar; menghubungkan NGO, bank dan institusi kewangan dengan komuniti pertanian di kawasan terpencil dan menjadi tingkap di mana kerajaan dan pengawal selia memahami realiti kemampanan di lapangan.
Kini, RSPO mempunyai lebih 6,200 ahli kini merangkumi 105 negara dan wilayah, merentasi setiap rantau di dunia. Pasaran seperti China, Afrika dan Timur Tengah menyaksikan pertumbuhan yang kukuh potensi untuk minyak sawit lestari.
Usaha mereka membuahkan hasil di kawasan kritikal ini – di China sebagai contoh, RSPO meraikan ulang tahun ke-10 tahun ini dengan lebih daripada 400 ahli di lapangan dan permintaan untuk produk RSPO berkembang pesat tahun demi tahun.
Di Nigeria, mereka telah melancarkan inisiatif Pensijilan Bidang Kuasa. Cross River State dan Ondo State, dengan sokongan daripada FAO, kini telah melancarkan program pensijilan RSPO untuk petani pekebun kecil mereka, menyertai Edo State dalam mempromosikan pengeluaran RSPO.
Semakin banyak kerajaan di seluruh dunia telah mengiktiraf nilai sistem RSPO dan keahlian kami meningkat, penglibatan lebih luas dan yang paling penting ialah impak para ahlinya di lapangan, dan bagaimana sistem RSPO dapat menyokong impak positif tersebut dengan lebih baik.
Ketika industri minyak sawit berhadapan detik paling kompleks dalam sejarahnya seperti perubahan peraturan perdagangan, gangguan pasaran, peraturan baharu dan penolakan terhadap kemampanan di sesetengah negara, RSPO yang berinspirasikan semangat Malaysia terus menyediakan sokongan dan penyelesaian yang relevan untuk para pekebun kecil. – UTUSAN










