Jangan sampai perbezaan jadi punca perpecahan

Jangan sampai perbezaan jadi punca perpecahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sering digambarkan sebagai sebuah negara unik dan istimewa atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud dalam masyarakatnya. Realiti kehidupan berbilang kaum ini memberikan keunikan tersendiri dalam setiap helai kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Dalam gagasan Malaysia Madani, nilai hormat-menghormati, inklusiviti dan penerimaan menjadi tunjang utama dalam memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat.

Kepelbagaian perayaan yang diraikan setiap tahun bukan sekadar adat tahunan, tetapi simbol hubungan antara komuniti yang saling menghormati antara satu sama lain.

Sepanjang tahun, pelbagai perayaan menyemarakkan kalendar negara. Masyarakat Tionghoa di Malaysia menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana penuh warna-warni dan tradisi.

Lebih daripada sekadar perayaan kebudayaan, sambutan ini turut mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang hidup harmoni walaupun berbeza kaum, agama dan latar budaya yang menjadi lambang kekayaan budaya Malaysia.

Apa yang menarik ialah perayaan ini bukan sahaja disambut oleh kaum yang menganutnya, tetapi sering dikongsi oleh rakan-rakan berbeza bangsa dan agama.

Amalan rumah terbuka, kunjung-mengunjung serta ucapan selamat antara satu sama lain menjadi budaya yang amat sinonim dalam masyarakat Malaysia.

APABILA masyarakat saling mengenali dan menghormati adat serta kepercayaan antara satu sama lain, risiko salah faham dan prasangka dapat dikurangkan. – GAMBAR UNIMAP

Interaksi seperti ini tidak sahaja merapatkan jurang kaum, tetapi juga mengukuhkan semangat kekitaan selaras dengan nilai Malaysia Madani.

Budaya rumah terbuka semasa perayaan telah menjadi tradisi turun-temurun dalam masyarakat Malaysia. Aktiviti ini memberi ruang kepada rakyat pelbagai kaum untuk saling mengenali, berkongsi juadah tradisional serta merasai sendiri suasana perayaan.

Ketika Sambutan Aidilfitri misalnya, bukan sahaja masyarakat Islam meraikannya, tetapi ramai rakan bukan Islam turut menziarahi rumah terbuka, menikmati juadah dan merasai kemeriahan suasana syawal.

Begitu juga semasa Tahun Baharu Cina atau Deepavali, rumah penganut perayaan tersebut dibanjiri tetamu dari pelbagai kaum yang ingin berkongsi kegembiraan. Interaksi sebegini secara tidak langsung membina persefahaman dan toleransi dalam kalangan rakyat berbilang latar belakang.

Selain itu, terdapat detik-detik kecil tetapi bermakna yang mencerminkan nilai perpaduan antara kaum di negara ini. Satu insiden yang menjadi tular di media sosial pada 2015 di sebuah kem Program Pemantapan Pemimpin Mahasiswa (PPMS) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kaki Bukit, Perlis.

Dalam rakaman gambar tersebut, sekumpulan pelajar berbangsa Cina dan India dilihat memayungi rakan mereka yang beragama Islam ketika menunaikan solat dalam hujan renyai-renyai.

Tindakan spontan itu menjadi simbolik kepada semangat sehati sejiwa dan keprihatinan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Ia mendapat reaksi positif ramai netizen yang melihatnya sebagai contoh hubungan etnik yang harmoni dan bekerjasama tanpa prejudis.

Insiden seperti ini memberi pengajaran bahawa keharmonian sebenar bukan sahaja terletak pada sambutan perayaan sahaja, tetapi juga melalui tindakan kecil yang mencerminkan saling menghormati dalam kehidupan seharian.

Ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam konteks Malaysia yang berbilang budaya, tetapi sering dilihat sebagai bukti bahawa perpaduan boleh diwujudkan dalam pelbagai situasi jika rakyat mempunyai sikap terbuka dan saling memahami.

Dalam konteks gagasan Malaysia Madani, nilai kepelbagaian ini turut dipertegaskan oleh kepimpinan negara sendiri.

Bersempena dengan sesi perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa perpaduan nasional merupakan prasyarat utama kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya, perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya diraikan sebagai kekuatan yang menyatukan rakyat Malaysia.

Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat untuk mengamalkan sikap saling menghormati, memahami perbezaan dan menyelesaikan sebarang isu berlandaskan undang-undang serta nilai kemanusiaan.

Ucapan ini menekankan bahawa perpaduan dalam menghadapi kepelbagaian bukan sekadar slogan tetapi realiti yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, institusi pendidikan seperti universiti turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda.

UniMAP telah menganjurkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengeratkan aspek perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini pelajar Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, UniMAP mempunyai warga berbilang kaum dan perbezaan budaya atau kepercayaan itu tidak seharusnya menjadi penghalang bagi setiap pihak untuk saling hormat-menghormati.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, rakyat Malaysia khususnya warga UniMAP amat bertuah kerana berpeluang menyambut pelbagai perayaan yang kaya dengan keamanan dan kebudayaan”.

Perpaduan sosial yang terjalin melalui perayaan dan interaksi harian memiliki impak positif yang besar terhadap kestabilan negara. Apabila masyarakat saling mengenali dan menghormati adat serta kepercayaan antara satu sama lain, risiko salah faham dan prasangka dapat dikurangkan.

Pendekatan dialog, ihsan dan toleransi menjadi asas penting dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara serta dapat mewujudkan masyarakat majmuk.

Dalam dunia yang semakin global dan mencabar dengan isu polarisasi serta perpecahan, Malaysia merupakan contoh terbaik yang boleh dibanggakan yang mana masyarakatnya mampu hidup bersama secara aman dalam suasana pelbagai budaya dan agama.

Kepelbagaian perayaan di Malaysia bukan sekadar warna-warni budaya, tetapi merupakan nadi kepada keharmonian dalam gagasan Malaysia Madani.

Selagi rakyat terus membuka pintu serta hati untuk saling mengenali budaya dan tradisi kaum lain, selagi itulah keharmonian negara akan terus kekal utuh, menjadi realiti kehidupan yang hidup dan berkembang dalam masyarakat Malaysia hari ini. – UTUSAN

MEJAR Muhamad Azuan Mohamad Nasir ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN