MUSIM konvokesyen setiap tahun menyaksikan ribuan graduan melangkah dengan rasa bangga bersama jubah dan mortarboard. Upacara ini melambangkan kemenangan akal, usaha gigih serta kemampuan manusia menakluk ilmu melalui tekad dan kesungguhan.
Namun di balik kemeriahan itu, muncul persoalan besar, ke manakah arah langkah graduan Malaysia dalam dunia yang berubah dengan begitu pantas?
Kita sedang berada dalam arus global yang dipacu kecerdasan buatan (AI), data raya, bioteknologi dan transformasi hijau.
Graduan tidak boleh memposisikan diri hanya sebagai pencari kerja sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta solusi dan ejen perubahan dalam era ekonomi berasaskan penegtahuan.
Keupayaan untuk berfikir melampaui disiplin, menganalisis masalah sebenar dan melahirkan idea baharu semakin penting dalam membentuk lanskap masa hadapan negara.
ILMU SEBAGAI AMANAH WAHYU
Dalam pandangan Islam, ilmu tidak terhad sebagai alat untuk membina kerjaya. Ia merupakan amanah yang berakar daripada wahyu. Kalimah pertama yang turun kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqra, seruan yang membuka pintu revolusi intelektual dan spiritual yang memandu peradaban manusia.
Ilmu dalam kerangka wahyu menuntut manfaat yang menyeluruh, bukan hanya untuk kepentingan individu tetapi untuk membina masyarakat yang adil dan beradab.
Allah SWT berfirman: “Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah al-Zumar, 39:9)
Ayat ini mengingatkan keunggulan insan diukur melalui keluasan ilmu dan keberkatannya. Ilmu yang tidak melahirkan hasil atau manfaat tidak ubah seperti pohon yang tidak berbuah. Justeru, graduan wajar memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk mencipta nilai dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
GRADUAN SEBAGAI PENCIPTA SOLUSI
Pendidikan tinggi negara berdepan keperluan mendesak untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai teori tetapi berupaya menyelesaikan masalah nyata. Pendekatan pembelajaran berasaskan masalah dan budaya penyelidikan inovatif mesti dijadikan amalan yang matang, bukan slogan yang kosong.
Keupayaan berfikir kritikal, kemahiran komunikasi yang mantap dan kebolehan berkolaborasi merentas disiplin menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Madani.
Islam turut mengangkat budaya berfikir dan berinovasi sebagai ibadah. Al-Quran berkali-kali menggesa manusia untuk berfikir, merenung dan menggunakan akal bagi memahami tanda-tanda kebesaran Allah. Maka inovasi dalam Islam bukan aktiviti teknikal semata-mata tetapi sebahagian daripada tanggungjawab kekhalifahan di bumi.
PENYELIDIKAN SEBAGAI IBADAH
Dunia pascapandemik membuktikan negara yang menekankan budaya penyelidikan dan inovasi lebih berdaya tahan. Namun dalam tradisi keilmuan Islam, penyelidikan mempunyai dimensi yang lebih luas kerana terikat dengan nilai moral dan prinsip kebenaran.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.” (Surah al-Isra’, 17:36)
Ayat ini menjelaskan setiap bentuk inkuiri mesti bersandar kepada bukti dan ketelitian. Graduan Muslim yang terlibat dalam sains, teknologi, ekonomi atau sains sosial perlu melihat kerja penyelidikan sebagai ibadah.
Kita tidak mahu melahirkan penyelidik yang cemerlang pada kertas namun kehilangan makna atau inovator yang berjaya tetapi mengabaikan etika. Ilmu yang benar mestilah berpaksikan wahyu kerana menjadi neraca yang mengawal arah akal.
MEMBINA ILMU, MENCIPTA INOVASI
Kerangka Malaysia Madani menekankan enam nilai utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Nilai-nilai ini hanya dapat dicapai melalui graduan yang menjadikan ilmu sebagai panduan dan inovasi sebagai tindakan.
Dalam bidang pertahanan, graduan dari universiti seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu melihat ilmu strategik, teknologi dron, keselamatan siber dan komunikasi pintar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mempertahankan negara. Inovasi yang diiringi niat dan nilai merupakan jihad intelektual pada zaman moden.
Graduan sains dan kejuruteraan pula berperanan memikirkan penyelesaian terhadap krisis makanan, air dan tenaga. Graduan dalam bidang sosial dan kemanusiaan perlu memperkukuh wacana mengenai identiti, kesatuan dan keadilan sosial sehingga selari dengan konsep rahmatan lil alamin.
NERACA BAHARU MENILAI KEJAYAAN
Selama ini, kejayaan graduan sering diukur melalui kadar kebolehpasaran atau jumlah gaji permulaan. Sudah tiba masanya kita bergerak kepada neraca yang lebih bermakna iaitu, sejauh mana ilmu dan inovasi yang dibawa dapat memberi manfaat kepada manusia.
Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)
Ini ialah falsafah ilmu yang sebenar. Graduan berjiwa wahyu tidak hanya mengejar pekerjaan tetapi berhasrat memperbaiki kehidupan masyarakat melalui kepakaran mereka. Inovasi dilihat sebagai ibadah manakala ilmu dianggap amanah.
Konvokesyen bukan penamat tetapi permulaan perjalanan baharu seorang pengembara ilmu. Dalam dunia yang sarat dengan cabaran kompleks, hanya mereka yang memadukan akal, nilai dan wahyu akan mampu bertahan sebagai pembina tamadun.
Graduan Malaysia perlu menjadi generasi ulul albab, golongan yang menghubungkan sains dengan etika, inovasi dengan nilai dan kemajuan dengan kemanusiaan.
Kejayaan sebenar bangsa bukan terletak pada jumlah bangunan yang didirikan tetapi pada kemampuan universiti dan graduannya membina akal, adab dan peradaban.-UTUSAN
DR. Mhd. Faizal Mhd. Ramli ialah Pensyarah dan Penyelidik Tafsir Al-Quran dan Sosiopragmatik, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










