Jihad Ketua Polis Kelantan banteras kegiatan dadah

Jihad Ketua Polis Kelantan banteras kegiatan dadah

KETUA Polis Kelantan tidak berasa takut dan gementar dengan tohmahan negatif yang dilemparkan terhadapnya kerana matlamatnya adalah mahu membasmi dan melihat Kelantan bebas dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBACA laporan (11 November 2025) wawancara wartawan akhbar Utusan Malaysia dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusof Mamat genap setahun menjadi Ketua Polis Kelantan terhadap gerak-gempur “jihad dadah” patut disambut baik.

Rampasan dan tangkapan telah direkodkan sebagai kejayaan besar. Masyarakat Kelantan sedia maklum tahap penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kelantan berada di tahap kritikal dan boleh merosakkan generasi masa depan. Oleh itu, kami menyokong tindakan beliau.

Sedikit masa lalu, bekas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyatakan tahap penyalahgunaan dadah di negara kita berada di tahap kritikal dan boleh ke tahap negara Colombia jika tindakan segera dan holistik melibatkan banyak pihak tidak diambil. Colombia adalah sebuah negara yang mana ‘raja dadah’ sangat berpengaruh dan pengedaran dadah berlaku secara berleluasa. Mungkinkah itu yang berlaku di Kelantan?

Tindakan Ketua Polis Kelantan itu sejajar dengan apa yang dinyatakan oleh Hamid Bador. Masyarakat beranggapan penagihan dan pengedaran ini tidak berkesudahan. Saban hari akan ada kes penyeludupan dan penagihan “ditularkan”. Masyarakat sudah lali dengan laporan kerana berasa tidak ada satu tindakan konkrit oleh mana-mana pihak bagi membanteraskan aktiviti ini.

Kehadiran dan keberanian Mohd. Yusoff berupa satu rahmat. Beliau juga tanpa berselindung menyatakan tidak berasa takut dan gementar dengan tohmahan negatif yang dilemparkan terhadapnya kerana matlamatnya adalah mahu membasmi dan melihat Kelantan bebas dadah.

Penulis mendapat pendedahan tentang ‘dadah’ semenjak sekolah rendah lagi, seawal tahun 1970an. Pada masa itu, dadah dikaitkan dengan kumpulan hipi daripada Eropah dan sangat dibenci oleh masyarakat kita. Peredaran masa berlaku dan tidak diketahui sebab dan mengapa aktiviti berkaitan dadah bermaharajalela bukan sahaja di Kelantan tetapi di negara kita seolah-olah Malaysia menjadi hab pengedaran.

Kini penulis sudah berusia 65 tahun. Disebabkan penulis tinggal berdekatan dengan sempadan Thailand iaitu pekan Pasir Mas yang jaraknya sekitar 25 kilometer dengan pekan Golok, aktiviti penyeludupan sudah menjadi lali dalam kalangan masyarakat sebaya penulis.

Kini, suasana telah berubah, pemasangan pagar, peningkatan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang mengubah ‘landskap’ dahulu walaupun sesekali ada ‘bolos’. Terkini, penutupan pangkalan haram dikuatkuasakan yang khusus untuk menangani pelbagai jenis penyeludupan.

Kisah Zani (bukan nama sebenar) rakan persekolahan penulis yang dipengaruhi dadah menengking dan mencabar guru untuk bertumbuk dan bertanding siapakah yang lebih banyak duit sangat menyayat hati. Semua itu menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Apatah lagi Zani telah meninggalkan kami buat selama-lamanya dalam usia muda. Angkara dadahlah menyebabkan Zani mati awal walaupun dikatakan semuanya adalah takdir Allah.

Kenangan lalu menyebabkan penulis berasa benci terhadap apa-apa sahaja aktiviti berkaitan dengan najis dadah. Kurang berpuas hati terhadap penguatkuasaan yang lemah, ibu bapa dan masyarakat yang bersikap acuh tidak acuh, guru yang kurang ambil kisah dan penguatkuasaan yang kurang berkesan. Namun, pelantikan Mohd. Yusoff sebagai Ketua Polis Kelantan pasti membuka minda baharu masyarakat Kelantan dengan harapan aktiviti durjana dadah dapat dibendung walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

Dulu, pengagih dadah terpaksa pergi berjauhan daripada orang ramai kerana takut kepada masyarakat. Orang kampung berani memarahi mereka yang mengambil dadah. Akhir- akhir ini, penagih lebih berani. Masyarakat pula menjadi penakut. Penagihan ada di mana-mana dan penagih bermaharajalela dan tidak berasa takut kepada sesiapa. Ramai yang menggigit jari, hanya mampu berdoa semoga rumah dan ahli keluarga tidak menjadi mangsa. Tanyalah, kampung mana yang tidak ada penagih? Berkeliaran penagih di sana-sini. Penampilan serta fizikal mereka mudah dikesan.

Ada beberapa rakan sepermainan penulis yang mati disebabkan dadah. Terdapat juga yang dipanggil Ilahi di usia muda akibat najis dadah. Paling menyedihkan, lima anak jiran daripada satu keluarga menjadi penagih dan mati akibat dadah dalam usia 40an. Di samping itu, dua rakan persekolahan penulis mati ditembak akibat angkara dadah di Sungai Golok. Ada juga yang mendapat hukuman penjara dan ada juga mati ditali gantung. Semuanya akibat angkara durjana dadah sama ada sebagai penagih atau pengedar.

Tepat pada masanya, Mohd. Yusoff mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti dadah. Ibu bapa yang anak mereka pernah terlibat dengan dadah pastinya bersemangat dengan tindakan yang diambil olehnya. Begitu juga ibu bapa yang mempunyai anak mati di tali gantung pastinya bersyukur kerana ada pihak telah mengambil tindakan sepatutnya. Ibu bapa tersebut juga tidak mahu ibu bapa yang lain kehilangan anak secara tragis seperti anak mereka.

Kisah klasik menimpa keluarga daripada Australia pada 1980an yang anak mereka bernama Kevin John Barlow dan Brian Geoffrey Chambers ke tali gantung disebabkan bersalah membawa atau menyeludup dadah di Pulau Pinang cukup menjadi pengajaran kepada kita.

Betapa pilu dan sedih ibu mereka kerana anak mereka mati di tali gantung ‘gegar’ ke seluruh dunia.

Masyarakat juga sudah cuak dengan isu penagihan dadah yang tidak berkesudahan.

Memperlihatkan seolah-olah tiada pihak yang mengambil tindakan yang bersungguh-sungguh.

Cukup-cukuplah “mengkhianati” negara melalui pemusnahan generasi baharu dengan dadah.

Sengsara yang ditanggung oleh ahli keluarga terlibat sudah tidak tertanggung. Masyarakat juga tidak mahu kegiatan dadah sampai ke tahap ketidaksudahan.

Penulis berharap ada sesuatu dilakukan oleh pihak berwajib dalam memerangi dan berani berkata “tiada lagi penyalahgunaan dadah di negara ini”. Kami mahu kegiatan dadah menjadi “sifar” bagi generasi masa hadapan melalui tindakan yang diambil oleh Mohd Yusoff.

Pada “mata” rakyat jelata, memberhentikan kegiatan dadah tidak sesukar mana jika role-model ala jihad dadah yang dilakukan Mohd. Yusoff dilaksanakan di seluruh negara.

Libatkanlah setiap anggota keselamatan dan tentera. Masyarakat juga akan siap-siaga jika diminta dan diberi ”latihan” bagi sama-sama memerangi bencana laknat dadah.

Pendekatan holistik berlawan dengan puak dadah memerlukan penglibatan semua pihak. Tunggu apa lagi, ‘putuskan’ bekalan pengedaran dadah di pasaran akan memuktamadkan kesengsaraan tragedi durjana dadah yang menimpa banyak pihak.

Hal ini dapat dilakukan dengan bermulanya gerak-gempur oleh anggota keselamatan secara bersungguh-sungguh.

Top-Down strategi memerlukan kecerdikan dan kepintaran pegawai tertinggi dalam mengatur strategi, memberi arahan jelas dalam melaksanakan tugas berat yang menghantui masyarakat sekian lama. Terima kasih Ketua Polis Kelantan, kami tidak sabar-sabar menanti dan sentiasa menyokong tindakan Datuk Ketua Polis Kelantan! – UTUSAN

DR. Abdullah Yusoff adalah Pengerusi Panel Penasihat Klinik-klinik Daerah Kota Bharu. Juga Ketua Biro Penulisan Deskriptif, Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA), berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Birmingham, United Kingdom.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×