Impak program basmi miskin tegar

Impak program basmi miskin tegar

APABILA penerima bantuan diberi kemahiran mengurus, strategi pemasaran dan sokongan psikososial, barulah mereka benar-benar mampu keluar daripada kitaran kemiskinan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Inisiatif Pendapatan Rakyat – Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) merupakan antara strategi terkini kerajaan bagi menangani masalah ini secara lebih menyeluruh. Di Perlis, program ini memberi tumpuan kepada pemberian bantuan peralatan perniagaan dan latihan asas keusahawanan kepada peserta dalam sektor seperti makanan, pembuatan dan perkhidmatan kecil. Pendekatannya berbeza daripada bantuan tunai semata-mata, kerana ia menumpukan kepada pembangunan kapasiti penerima untuk berdikari dan menjana pendapatan secara berterusan.

Namun, sejauh mana keberkesanan program ini di peringkat akar umbi? Kajian kualitatif yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) memberi gambaran jelas tentang kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran sebenar yang dihadapi peserta IPR-BMT di Perlis.

Bantuan Peralatan
Kajian ini melibatkan 14 peserta yang ditemu bual secara mendalam pada Oktober 2025. Dapatan menunjukkan bahawa program ini memberi kesan positif yang ketara terhadap peningkatan pendapatan dan keyakinan diri penerima.

Peserta yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman, misalnya, mencatatkan lonjakan pendapatan daripada RM400 kepada RM900 hingga RM1,400 sebulan. Kisah seperti ini menggambarkan impak nyata bantuan peralatan yang diberikan. Dalam kes lain, seorang peserta yang menjalankan perniagaan kerisik menyatakan bahawa bantuan yang diterima bukan sekadar menambah pendapatan, tetapi juga membangkitkan semangat untuk terus berusaha.

Ini membuktikan bahawa intervensi ekonomi bersasar berupaya menukar cara berfikir dan bekerja masyarakat luar bandar daripada hanya menunggu bantuan kepada berusaha memperbaiki kehidupan.

Ketidaksepadanan Bantuan
Kajian ini turut menonjolkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan program. Antara isu utama ialah ketidaksepadanan antara bantuan yang diterima dengan keperluan sebenar peserta.

Masalah seperti ini nampak kecil, tetapi memberi kesan besar kepada produktiviti peserta. Ia mencerminkan perlunya penilaian lapangan yang lebih teliti sebelum bantuan disalurkan, bukan sekadar menilai dari senarai di atas kertas. Selain itu, wujud juga isu penerima yang tidak menggunakan atau menjual semula peralatan bantuan.

Ini menunjukkan keperluan kepada sistem pemantauan berterusan dan bimbingan susulan agar setiap bantuan benar-benar memberi manfaat ekonomi kepada penerima.

Latihan keusahawanan
Satu lagi aspek penting ialah keberkesanan latihan keusahawanan yang diwajibkan untuk setiap peserta. Walaupun niatnya baik, ada penerima berumur yang sukar menyesuaikan diri dengan kandungan kursus. Bagi peserta berusia, latihan yang terlalu teknikal seperti pencatatan akaun atau pemasaran digital dianggap tidak relevan dengan tahap kemampuan mereka. Sebaliknya, mereka lebih memerlukan latihan praktikal berbentuk tunjuk ajar (hands-on) dan bimbingan lapangan yang berterusan, bukan hanya kursus sekali gus. Kandungan latihan juga perlu disesuaikan dengan konteks sosial peserta luar bandar yang memiliki tahap literasi dan pendedahan teknologi yang berbeza.

Peluang Baharu
Menariknya, walaupun ramai peserta berumur, kajian ini mendapati wujud kesedaran baharu terhadap potensi media sosial sebagai saluran promosi. Ini membuktikan bahawa ekonomi digital bukan lagi milik orang muda bandar sahaja. Usahawan luar bandar juga mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman jika diberi latihan yang sesuai dan mudah difahami.

Peserta juga menyedari pentingnya penjenamaan produk dan inovasi resipi agar kekal relevan dengan citarasa pelanggan. Namun, kekangan modal dan akses pasaran masih menjadi halangan utama. Maka, peluang besar yang dapat diteroka ialah membina ekosistem keusahawanan luar bandar yang inklusif, di mana peserta bukan sahaja menerima bantuan peralatan, tetapi turut mendapat sokongan bimbingan, promosi dan akses pasaran secara berterusan.

Cabaran
Realiti di lapangan menunjukkan bahawa usahawan kecil luar bandar berhadapan pelbagai cabaran luar kawalan mereka. Kenaikan harga bahan mentah, keterbatasan modal, persaingan sengit dan faktor cuaca tidak menentu menjadi penghalang utama kelangsungan perniagaan.

Seorang peserta yang menjual makanan panas berkongsi kisah menyayat hati: “Dulu boleh dapat RM2,000 sehari. Sekarang RM100 pun susah. Kadang-kadang balik tangan kosong, kadang-kadang balik menangis.” Kata-kata ini menggambarkan tekanan emosi dan ketidakstabilan pendapatan yang dihadapi oleh peniaga kecil ketika ekonomi tidak menentu. Begitu juga bagi peniaga minuman yang mengeluh tentang hujan berterusan: “Kalau musim hujan, tidak boleh meniaga langsung….baru buka sekejap, hujan…pendapatan ikut cuaca.”

Ini menunjukkan betapa rapuhnya daya tahan ekonomi mikro apabila berhadapan dengan faktor makro seperti inflasi dan perubahan cuaca. Justeru, strategi bantuan perlu melibatkan sokongan jangka panjang termasuk perlindungan sosial dan bantuan kecemasan bagi mereka yang bergantung sepenuhnya pada hasil harian.

Pemerkasaan
Analisis keseluruhan menunjukkan bahawa Program IPR-BMT di Perlis berjaya membawa perubahan positif, tetapi keberkesanannya masih boleh dipertingkatkan. Bantuan fizikal seperti peralatan perlu disertai dengan pemantauan berterusan, latihan praktikal dan bimbingan susulan yang berstruktur.

Program sebegini tidak boleh dilihat hanya sebagai bantuan kewangan sementara, tetapi sebagai platform pembangunan kapasiti manusia dan sosial. Apabila penerima bantuan diberi kemahiran mengurus, strategi pemasaran dan sokongan psikososial, barulah mereka benar-benar mampu keluar daripada kitaran kemiskinan.

Oleh itu, pelaksanaan dasar masa hadapan, untuk pemberian bantuan barangan dan peralatan perlu berasaskan penilaian lapangan sebenar, bukannya sekadar keperluan di atas kertas. Setiap penerima harus dikenal pasti berdasarkan minat, kemahiran dan potensi mereka bukan semata-mata tahap pendapatan.

Lebih penting, agensi pelaksana perlu bergerak daripada pendekatan “memberi ikan” kepada “memberi pancing dan mengajar cara memancing.” Bantuan yang disalurkan harus menjadi titik mula kepada transformasi, bukan sekadar penyelesaian sementara.

Ketahanan
Dapatan daripada kajian ini membawa mesej yang jelas bahawa kemiskinan tegar bukan hanya tentang kekurangan wang, tetapi tentang kekurangan peluang dan keupayaan untuk bersaing. Program seperti IPR-BMT telah membuktikan potensinya dalam memperkukuh ekonomi isi rumah luar bandar, tetapi untuk memastikan kemampanannya, pendekatan bersepadu perlu diterapkan.

Bantuan fizikal (barangan dan peralatan) mesti disokong dengan bimbingan berterusan, literasi digital, strategi pemasaran dan sokongan komuniti. Hanya dengan cara ini, program pembangunan dapat melahirkan usahawan kecil yang benar-benar berdaya tahan, berdikari dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi desa.

Akhirnya, kejayaan sebenar sesuatu program bukan diukur melalui jumlah bantuan yang diberi, tetapi sejauh mana ia mampu mengubah cara berfikir dan cara hidup penerima. Dalam erti kata lain, IPR-BMT bukan sekadar tentang bantuan ekonomi ia tentang membina keyakinan, maruah dan harapan baharu untuk rakyat di akar umbi. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×