Jururawat ialah tulang belakang sistem kesihatan negara. Profesion ini bukan sahaja menuntut kemahiran teknikal, tetapi juga asas teori yang kukuh bagi memastikan perawatan yang berkualiti.
Ilmu kejururawatan adalah cabang sains yang diiktiraf global, dan hanya dengan gabungan teori serta amali, seorang jururawat mampu memberikan perkhidmatan yang diyakini serta cekap di samping menegakkan integriti sistem kesihatan negara.
Justeru, kualiti seorang jururawat tidak boleh diukur semata-mata pada bilangan yang dilahirkan, tetapi pada sejauh mana mereka benar-benar berkompetensi untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Pada Februari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan menurunkan syarat kelayakan masuk ke Diploma Kejururawatan daripada lima kredit kepada tiga kredit, dengan penekanan kepada Bahasa Melayu, Sains dan Matematik.
Dalam Majlis Konvokesyen Institut Latihan KKM (ILKMM) baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ILKKM dijangka menghasilkan 18,000 jururawat tambahan menjelang 2030.
Persoalannya, adakah langkah ini benar-benar memperkasakan profesion jururawat, atau sekadar langkah populis yang bakal memudaratkan sistem kesihatan negara?
Secara realistik, keputusan ini amat membimbangkan. Benar, ia mungkin menambah bilangan jururawat daripada 1,000 kepada 3,000 setahun, namun kualiti jadi taruhan. Tanpa asas akademik yang mantap, kita berisiko melahirkan tenaga kerja yang tidak bersedia menghadapi realiti dunia kesihatan yang semakin kompleks.
Ini bukan langkah progresif, sebaliknya tindakan regresif yang boleh menjadi ‘barah’ yang mampu melemahkan sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.
Lebih mengecewakan, banyak negara maju termasuklah negara jiran seperti Indonesia dan Thailand telah menetapkan ijazah sarjana muda sebagai syarat minimum untuk bergelar jururawat. Malaysia pula kelihatan mengambil langkah mengundur, masih mengekalkan laluan diploma dan menurunkan syarat kemasukannya.
Gambaran ini jelas menunjukkan kita lebih menekankan kuantiti berbanding kualiti. Sementelah, ramai jururawat sendiri melahirkan rasa terkilan, baik daripada lapangan klinikal mahupun dunia akademik. Usaha bertahun-tahun untuk menaik taraf profesion ini seolah-olah dipandang sepi dan tidak menjadi keutamaan.
Menurunkan syarat kemasukan kepada hanya tiga kredit berpotensi besar menjejaskan kualiti perawatan kerana asas akademik calon menjadi terlalu minimum untuk menguasai ilmu kejururawatan yang kompleks seperti anatomi, farmakologi dan fisiologi.
Dengan latar akademik yang lemah, peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi juga akan terbatas, sekali gus menghadkan perkembangan profesional jangka panjang.
Lebih membimbangkan, keupayaan membuat keputusan klinikal yang tepat boleh terjejas, terutama ketika berdepan situasi kritikal yang menuntut pemikiran analitik dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Akhirnya, kelemahan ini bukan sahaja mengundang risiko terhadap keselamatan pesakit, malah turut menjejaskan kredibiliti dan imej profesion jururawat di mata masyarakat.
Jika inilah hala tuju yang dipilih, ia seakan mengesahkan bahawa dasar kita lebih rela melahirkan jururawat berstatus ‘cukup syarat’ daripada memastikan mereka benar-benar kompeten.
Walaupun Malaysia kini mula melahirkan jururawat berijazah serta menawarkan program pascasiswazah kejururawatan, perkembangan ini terlalu perlahan dan tidak seiring dengan tuntutan semasa.
Realitinya, peningkatan jumlah jururawat yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi berlaku atas inisiatif individu, bukannya hasil dasar yang progresif.
Jika kelemahan ini berterusan, Malaysia berisiko terus ketinggalan di belakang negara jiran, malah lebih parah, kualiti sistem kesihatan negara boleh terjejas akibat tenaga kerja yang tidak diperkasakan pada tahap sewajarnya.
Kesimpulannya, penurunan syarat kredit bukanlah langkah bijak. Malaysia tidak boleh terus terperangkap dengan isu kuantiti semata-mata.
Dasar progresif perlu digerakkan: menaik taraf kelayakan minimum kepada ijazah sarjana muda, memperkukuh kurikulum diploma jika dikekalkan, menyediakan laluan bridging, dan menapis calon berdasarkan merit serta ujian saringan.
Pada masa sama, kerjasama antarabangsa wajar diterokai agar latihan jururawat kita seiring dengan standard global.
Malaysia juga wajar mencontohi model antarabangsa agar jururawat yang dilahirkan benar-benar kompeten, profesional, dan diyakini masyarakat.
Di samping itu, kerajaan juga perlu mendalami isu penghijrahan jururawat yang membawa kepada asas kekurangan jururawat yang semakin meruncing.
Jika kerajaan benar-benar mahu memperkasa jururawat, jalan terbaik bukanlah melonggarkan pintu masuk, tetapi meninggikan martabat profesion ini. Hanya dengan jururawat yang berkualiti, sistem kesihatan negara mampu kekal teguh dan diyakini rakyat.
NORDIANNA SEMAN ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam.