DUNIA kini bergerak pantas dengan evolusi kecerdasan buatan (AI), namun kepantasan ini tidak seiring dengan suburnya nilai kejiwaan, empati dan kemanusiaan.
Saban hari, kita dikejutkan dengan berita tragis yang berlaku di institusi pendidikan seperti perlakuan buli yang membawa maut, pembunuhan kejam terhadap kanak-kanak seawal usia 10 tahun, kejadian rogol di kawasan sekolah dan terbaharu insiden bunuh serta amukan dalam kalangan pelajar sendiri.
Setiap kali tragedi seperti ini berlaku, kita akan marah, berdebat di media sosial dan bersimpati untuk beberapa hari. Namun selepas itu, semuanya kembali seperti sediakala seolah-olah tiada apa yang perlu diperbetulkan.
Fenomena ini menunjukkan masyarakat kita semakin terbiasa dengan penderitaan. Sedangkan, sebagaimana diungkap Greta Thunberg dalam konteks lain, “business as usual” tidak lagi wajar apabila kezaliman berlaku di depan mata.
Inilah waktu yang menuntut cendekiawan, ahli akademik dan pemimpin masyarakat untuk bersuara dan bertindak.
Isu ini bukan lagi sekadar isu disiplin pelajar tetapi bibit-bibit kepada krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di tempat paling selamat buat anak-anak kita iaitu sekolah.
SEKOLAH SEHARUSNYA TEMPAT PALING SELAMAT
Sekolah mesti menjadi tempat anak-anak datang dengan gembira, belajar dalam suasana yang aman dan pulang dengan harapan. Ia tidak hanya terdiri daripada bangunan dan jadual waktu tetapi merupakan gedung ilmu dan adab yang menjadi tanah suci pembentukan insan.
Di sinilah nilai hormat, kasih sayang dan empati disemai sejak kecil.
Namun kini, persoalan besar yang timbul ialah bagaimana keganasan dan perlakuan tidak bermoral boleh berlaku di dalam kawasan sekolah? Bagaimana tempat yang sepatutnya mendidik tentang kebaikan dan kemanusiaan boleh bertukar menjadi medan ketakutan dan trauma?
Apabila sekolah tidak lagi selamat buat anak-anak kita, itu tanda seluruh sistem masyarakat sedang sakit dan memerlukan penyembuhan.
PENDIDIKAN YANG HILANG ROH
Setiap kali tragedi berlaku, manusia mudah mencari kambing hitam tetapi jarang menyoal mengapa budaya ganas dan kejam ini boleh berakar di sekolah. Masalah sebenar bukan hanya soal disiplin tetapi hilangnya roh kemanusiaan dalam pendidikan.
Kita terlalu menekankan angka dan keputusan hingga lupa menanam nilai empati, belas kasihan dan rasa malu. Anak-anak dididik untuk menjawab soalan dengan berkesan tetapi adakah mereka tahu cara memahami dan menghormati perasaan orang lain?
Sistem pendidikan kita terlalu tertumpu kepada ranking dan statistik, namun terkhilaf dalam membina jiwa. Akibatnya, sekolah menjadi medan pencapaian intelek semata-mata tanpa ruang untuk menumbuhkan kemanusiaan.
GURU, SEKOLAH BUKAN BERJUANG SENDIRIAN
Guru-guru di barisan hadapan berusaha keras, namun mereka tidak mampu memikul tanggungjawab ini seorang diri. Sekolah memerlukan reformasi menyeluruh, bukan perubahan peraturan atau hiasan slogan di dinding tetapi perubahan budaya mendidik yang sebenar.
Pentadbir sekolah perlu dilatih untuk memimpin dengan hati, bukan dengan peraturan semata-mata. Ibu bapa pula harus menjadi rakan yang aktif kepada sekolah, bukan pemerhati dari jauh.
Masyarakat mesti berhenti menormalisasi keganasan dan mula melindungi anak-anak sebagai tanggungjawab bersama.
Kita harus sedar pendidikan tidak boleh diperlakukan seperti urusan politik atau perniagaan. Ia adalah amanah dan tanggungjawab untuk membentuk manusia yang bukan sahaja tinggi inteleknya tetapi juga luhur jiwanya.
APABILA SEKOLAH HILANG MAKNA
Apabila ada anak yang dibuli, dirogol atau dibunuh di sekolah, itu bukan peristiwa kecil atau kes terpencil. Ia merupakan tanda amaran kita sedang menuju keretakan sebagai masyarakat bertamadun.
Sekolah yang gagal melindungi pelajarnya adalah cerminan kepada sistem yang memerlukan pembaikan segera. Kita perlukan sekolah yang bukan hanya mengajar apa yang betul tetapi juga mengapa menjadi manusia yang baik itu penting.
Guru perlu diberi kekuatan dan sokongan untuk mendidik dengan kasih, bukan menghukum semata-mata dengan peraturan.
Sudah tiba masanya kita mengembalikan makna suci pendidikan. Sekolah mesti menjadi tanah sakral tempat anak-anak belajar menjadi manusia, bukan pelajar yang hanya cemerlang dalam akademik tetapi tandus nilai dan adab.
Kita perlu menyuburkan semula nilai empati, hormat dan kasih sayang dalam sistem yang semakin kehilangan jiwanya. Jika ada anak yang disakiti di sekolah, itu bukan kegagalan individu tetapi kegagalan kita semua sebagai masyarakat.
Jika benar kita cintakan masa hadapan bangsa, kita mesti berani melakukan perubahan, bukan menunggu tragedi berlaku barulah tersedar.
TANGGUNGJAWAB MORAL
Dengan usaha, perancangan dan izin Tuhan, kita harus berharap agar tragedi hitam di sekolah tidak lagi berulang. Setiap cadangan penyelesaian mesti disusuli tindakan segera dan berkesan kerana dalam setiap kelewatan, mungkin ada lagi nyawa kecil terkorban di tempat yang sepatutnya menjadi syurga kecil mereka iaitu sekolah.
Pendidikan sejati bukan untuk menjadikan anak besar kepala tetapi besar jiwanya. Semoga sekolah-sekolah di Malaysia kembali menjadi tempat paling selamat dan bermakna buat generasi penerus masa hadapan.-UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah dan Penyelidik (Pengurusan/Kepimpinan Pendidikan) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










