SEJARAH umat manusia menunjukkan bahawa pemimpin mempunyai peranan yang sangat besar dalam menentukan arah sesuatu bangsa. Rasulullah sendiri mengingatkan bahawa keberadaan pemimpin yang adil adalah nikmat, manakala pemimpin yang sesat, zalim dan fasiq adalah ujian yang paling berat.
Tidak hairan jika para ulama sering menekankan bahawa baik atau buruknya umat akan sangat dipengaruhi oleh baik atau buruknya pemimpin. Hadis-hadis Rasulullah telah memberikan panduan jelas tentang ciri-ciri pemimpin akhir zaman yang akan membawa kemudaratan besar kepada umat.
Kita menelusuri tujuh kategori pemimpin terburuk di akhir zaman berdasarkan riwayat hadis sahih dan hasan, disertai penjelasan para ulama, agar menjadi cermin buat kita menilai realiti kepimpinan masa kini.
Pemimpin Sesat: Ujian Terbesar Umat
Rasulullah bersabda: “Aku tidak takut (ujian yang akan menimpa) pada umatku, kecuali (ujian) para pemimpin sesat.” (HR. Ibnu Hibban) Hadis ini memberikan penekanan bahawa kesesatan seorang pemimpin jauh lebih berbahaya daripada kesesatan seorang individu biasa. Hal ini kerana seorang pemimpin mempunyai pengaruh, kekuasaan dan autoriti yang mampu mengheret orang ramai kepada kebinasaan.
Imam Sufyan ats-Tsauri menjelaskan: “Tidaklah kalian menjumpai para pemimpin sesat, kecuali kalian mengingkari mereka dengan hati, agar amal kalian tidak sia-sia.” (lihat Tafsir al-Qurtubi, jilid 1).
Justeru, pemimpin sesat bukan hanya yang salah akidah, tetapi juga mereka yang membawa masyarakat menjauhi nilai kebenaran. Bila hukum Allah ditinggalkan, diganti dengan hawa nafsu, maka umat kehilangan arah.
Pemimpin Bodoh: Tidak Faham Syariat
Rasulullah berdoa untuk melindungi umatnya: “Aku memohon perlindungan untukmu kepada Allah dari kepemimpinan orang-orang bodoh.” (HR. Ahmad)
Imarah as-sufaha’ (kepemimpinan orang bodoh) adalah bahaya besar. Yang dimaksud dengan bodoh di sini bukan sekadar tidak berilmu dunia, tetapi mereka yang jahil terhadap syariat Islam, tidak mampu membezakan halal dan haram, serta tidak menjadikan sunnah Rasulullah sebagai panduan.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, pemimpin seperti ini berkuasa tetapi tidak berlandaskan ilmu dan takwa. Akibatnya, keputusan mereka menjerumuskan rakyat kepada keburukan.
Justeru, ketika pemimpin lebih sibuk mengejar populariti berbanding prinsip, lebih mendengar penasihat duniawi berbanding ulama rabbani, maka kebodohan mereka membawa keruntuhan.
Pemimpin Penolak Kebenaran dan Penyeru Kemungkaran
Rasulullah bersabda: “Akan ada pemimpin yang memerintahkan kalian dengan apa yang tidak kalian imani, dan melakukan apa yang kalian ingkari. Maka terhadap mereka tidak ada kewajiban taat.” (HR. Ibnu Abi Syaibah)
Inilah pemimpin yang menolak kebenaran, bahkan mengangkat kemungkaran sebagai dasar kebijakan. Mereka mengajak rakyat untuk menerima kezaliman, menormalisasi kemaksiatan, serta menghalalkan perkara yang jelas haram.
Imam al-Nawawi dalam Syarh Muslim menegaskan: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.” Maka, umat wajib menolak arahan zalim yang jelas bertentangan dengan syariat.
Pemimpin yang Mengancam Kehidupan dan Mata Pencarian
Dalam hadis riwayat Thabrani: “Kalian akan dipimpin oleh pemimpin yang mengancam kehidupan kalian. Mereka berjanji lalu mengingkari, mereka bekerja lalu merosakkan. Mereka tidak reda dengan kalian sehingga kalian membenarkan kebohongan mereka dan memuji keburukan mereka.”
Hadis ini menggambarkan penguasa yang menjadikan rakyat seperti hamba, merampas hak kehidupan, serta menekan ekonomi masyarakat. Bahkan, rakyat dipaksa untuk membenarkan kebohongan dan menormalisasi kezaliman.
Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, menjelaskan bahawa inilah tanda runtuhnya maruah umat, kerana masyarakat terpaksa tunduk kepada sistem kepura-puraan.
Kita akan melihat bentuknya pada sistem korupsi yang mengikat, janji-janji pembangunan yang hanya manis di bibir, sementara rakyat terus sengsara.
Pemimpin yang Mengangkat Pembantu Fasiq dan Mengabaikan Solat
Rasulullah bersabda: “Akan ada di akhir zaman para penguasa zalim, para menteri fasiq, para hakim pengkhianat, dan fuqaha’ pendusta…” (HR. Thabrani)
Juga dalam riwayat Ibn Hibban: “Akan datang kepada kalian pemerintah yang rapat dengan seburuk-buruk manusia, dan melewatkan solat dari waktunya.”
Hadis ini menegaskan bahawa bahaya pemimpin yang bukan sahaja zalim, tetapi dikelilingi oleh pembantu yang fasiq. Mereka membiarkan hukum Allah SWT dicampakkan, bahkan ibadah sebesar solat pun diabaikan.
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menegur bahawa apabila ulama bersekongkol dengan penguasa fasiq, maka kehancuran agama pasti menyusul.
Pemimpin Diktator (Tangan Besi)
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seburuk-buruk pemimpin adalah yang diktator.” (HR. al-Bazzar) Pemimpin diktator adalah mereka yang memerintah dengan ketakutan, menindas rakyat, tidak mendengar nasihat, dan memecah-belah umat. Dalam riwayat Thabrani, mereka tidak memberi hak rakyat, tidak mengasihani dan menjadikan rakyat hidup dalam ketakutan.
Sejarah membuktikan diktator sering jatuh dengan cara hina. Firaun, Namrud, dan penguasa zalim lain menjadi bukti bahawa kekuasaan tangan besi tidak pernah kekal.
Pemimpin Zindik: Pura-Pura Beriman
Rasulullah bersabda: “Dua golongan umatku tidak akan mendapat syafaatku: pemimpin zalim, dan orang yang melampau hingga sesat.” (HR. Thabrani)
Juga disebut dalam hadis lain: “Akan datang tahun-tahun penuh tipuan, pembohong dianggap benar, yang benar dianggap pembohong, dan ruwaibidhah berbicara.” (HR. Ahmad, Ibnu Majah) Ruwaibidhah ialah orang hina, bodoh, atau fasiq yang tiba-tiba mengurus urusan umat.
Mereka pura-pura beriman, berbicara tentang agama, tetapi hati mereka kosong dari takwa. Al-Hafiz Ibn Rajab menegaskan bahawa pemimpin zindik ini lebih berbahaya kerana mereka berselindung di balik ‘topeng agama,’ tetapi hakikatnya menghancurkan agama dari dalam.
Realisasikan negara idaman
Pemimpin yang adil dan beriman mesti berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah, menolak korupsi, serta membela rakyat tanpa pilih kasih. Rakyat yang berakhlak dan bertanggungjawab perlu mendidik diri agar tidak menjadi pengikut pasif atau penormalisasi kezaliman. Rakyat mesti bersuara menentang kebatilan, tetapi dengan hikmah dan kesatuan.
Kita wajib menolak kepemimpinan sesat, bodoh, diktator dan zindik. Sebaliknya, kita perlu membina generasi pemimpin rabbani yang memimpin dengan akhlak, bukan dengan hawa nafsu. Generasi rakyat yang sedar inilah yang akan melahirkan masyarakat bertaqwa, negara berkat dan akhirnya, peradaban yang diredai Allah.
Inilah janji Allah SWT, negeri yang baik, aman dan makmur, dengan pemimpin yang adil dan rakyat yang bersyukur itulah negeri yang benar-benar menuju Baldatun Thoyyibatun Warabbun Ghafur. – UTUSAN
ATRIZA Umar ialah Calon Ijazah Kedoktoran Kepimpinan Wanita.










