Malaysia perlu hasilkan karya berjiwa bangsa

Malaysia perlu hasilkan karya berjiwa bangsa

SRIKANDI tampil sebagai karya yang memadukan realiti dan fiksyen era pra abad ke-16 dengan suntikan seni budaya tempatan seperti silat, tarian warisan, syair Melayu serta bahasa klasik yang indah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Malaysia yang disambut setiap 16 September bukan sekadar peringatan sejarah penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963.

Ia adalah simbol keberanian, kesetiaan dan semangat mempertahankan maruah bangsa dalam menghadapi cabaran zaman.

Pada ketika rakyat Malaysia memperingati detik penting ini, lahirlah karya epik moden Cereka Khas Srikandi yang berinspirasikan Syair Siti Zubaidah Perang China.

Karya ini bukan sekadar hiburan televisyen, tetapi sebuah naskhah yang mengangkat perjuangan wanita, kebenaran dan integriti sebagai nilai abadi dalam pembinaan negara bangsa.

Hari Malaysia bukan sahaja mengingatkan kita kepada pengorbanan tokoh-tokoh negara, tetapi juga memperlihatkan bagaimana wanita turut memainkan peranan besar dalam menegakkan kebenaran dan integriti.

Dari dahulu hingga kini, wanita menjadi suara hati nurani bangsa, penyampai mesej kebenaran walau dalam cabaran, sekaligus membuktikan bahawa kekuatan moral bukan bergantung kepada fizikal semata-mata, tetapi pada keberanian dan keteguhan prinsip.

Dalam era moden, perjuangan ini terserlah melalui industri kreatif dan media yang mengangkat naratif perjuangan bangsa.

Justeru, tahniah harus diberikan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang konsisten memainkan peranan penting dalam membina naratif kebangsaan.

Tahun ini juga menyaksikan Simposium Antarabangsa Bahasa Melayu (SAABM 2025) dan Malam Puisi Mengukir kali ke-4 yang akan berlangsung pada 11 Oktober di Royale Chulan Kuala Lumpur.

Acara ini menjadi platform penting untuk menilai, membincang, dan memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu dengan tema “Bahasa Melayu Mengangkat ASEAN” sebagai bahasa ilmu, bahasa perhubungan serantau, serta bahasa integriti bangsa.

Inisiatif sebegini bukan sahaja memperlihatkan komitmen ahli akademik dan penggiat bahasa, tetapi juga membuktikan bahawa perjuangan bahasa adalah perjuangan identiti negara.

Srikandi tampil sebagai karya yang memadukan realiti dan fiksyen era pra abad ke-16 dengan suntikan seni budaya tempatan seperti silat, tarian warisan, syair Melayu serta bahasa klasik yang indah. Lebih daripada itu, ia mengangkat tema perjuangan emosi, jati diri dan semangat mempertahankan maruah, hak serta kedaulatan bangsa.

Nilai-nilai ini amat relevan dengan semangat Hari Malaysia yang menuntut kita berpaut pada prinsip kesetiaan, kejujuran dan keberanian moral.

Pada era kini, dalam ruang minda yang mendunia, kaum wanita di negara ini melaksanakan peranannya dengan holistik, dari suri rumah, peneraju perusahaan, pemimpin pertubuhan, warga pendidikan malah pempengaruh, horizon wanita kini telah menjadi tulang belakang kepada kemajuan dan kestabilan negara secara menyeluruh.

Malaysia, walaupun dikenali sebagai negara berbudaya dan tekal dengan pengukuhan warisan dan tradisi, ini tidak menghalang serikandinya terus berusaha menempa kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menyifatkan Srikandi sebagai satu usaha inovatif yang membanggakan kerana ia menggunakan peralatan produksi berkualiti tinggi setaraf dengan layar perak.

Malah, naskhah skripnya turut didokumentasikan dalam bentuk buku sebagai rujukan akademik dan khazanah seni negara.

Lebih menarik, plot seorang wanita yang menyamar sebagai lelaki untuk turun ke medan perang seperti Siti Zubaidah dalam syair klasik menampilkan sisi wanita sebagai pejuang yang berani menegakkan kebenaran. Dalam tradisi kesusasteraan Melayu dan Jawa, tema ini bukanlah asing.

Ia turut hadir dalam Hikayat Panji Semirang, Hikayat Jauhar Manikam dan Syair Abdul Muluk. Semua karya ini menonjolkan wanita yang tidak tunduk pada keadaan, sebaliknya bangkit mempertahankan maruah, keluarga dan bangsa.

Dalam konteks moden, mesej ini lebih luas maknanya. Perjuangan wanita tidak lagi terbatas pada medan perang, tetapi merangkumi arena kepimpinan, pendidikan, ekonomi dan masyarakat.

Wanita Malaysia hari ini memikul tanggungjawab besar dalam menegakkan integriti dan kebenaran sama ada sebagai pemimpin politik, ahli akademik, pegawai kerajaan, aktivis masyarakat mahupun tenaga kerja profesional.

Semangat inilah yang menjadikan Hari Malaysia lebih bermakna, kerana ia menuntut semua warganegara, tanpa mengira jantina, untuk berjuang menegakkan nilai-nilai murni.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari turut menyambut baik inisiatif Srikandi kerana ia memperkenalkan semula karya sastera klasik Melayu dalam bentuk yang segar dan menarik.

Katanya, tidak semua orang berpeluang membaca hikayat bercetak, tetapi apabila dipersembahkan dalam bentuk drama atau filem, khalayak dapat menikmatinya secara lebih santai.

Secara tidak langsung, khazanah ilmu dan tamadun lama dapat dipindahkan ke medium moden yang lebih dekat dengan masyarakat hari ini.

Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa perpaduan dan kedaulatan negara hanya dapat dipertahankan apabila rakyat berpegang pada prinsip kebenaran dan integriti.

Sejarah menunjukkan bahawa pengkhianatan, tamak haloba dan ketiadaan nilai moral boleh menggugat keamanan bangsa. Maka, perjuangan wanita Srikandi menjadi simbol kekuatan moral yang harus dicontohi.

Keberaniannya menegakkan kebenaran walaupun terpaksa melawan arus menggambarkan semangat yang sama diperlukan rakyat Malaysia dalam mempertahankan keadilan, kesamarataan gender dan integriti nasional.

Lebih daripada itu, Srikandi menegaskan bahawa warisan klasik tidak pernah lapuk ditelan zaman. Kisah-kisah silam yang sarat dengan nilai kesetiaan, kejujuran dan pengorbanan adalah pedoman yang masih utuh hingga kini.

Seperti mana Siti Zubaidah tidak gentar melangkah ke medan perang demi bangsa, begitu juga rakyat Malaysia hari ini harus berani menegakkan kebenaran dalam apa jua lapangan.

Apabila kita menyambut Hari Malaysia, marilah kita melihat Srikandi sebagai cerminan perjuangan bangsa yang tidak pernah padam.

Ia mengingatkan bahawa kemerdekaan dan perpaduan bukan datang dengan mudah, tetapi dibina atas dasar keberanian, kejujuran dan pengorbanan. Srikandi menjadi simbol wanita Malaysia yang bukan sahaja berani, tetapi juga berpegang teguh pada integriti dan nilai yang harus menjadi asas dalam pembinaan negara bangsa.

Akhirnya, Hari Malaysia harus diraikan bukan sekadar dengan kibaran bendera atau laungan merdeka, tetapi dengan memperkukuh jati diri bangsa melalui warisan, seni budaya dan kisah perjuangan.

Tahniah wajar diberikan kepada RTM atas keberanian menghasilkan karya berjiwa bangsa seperti Srikandi, serta kepada DBP kerana terus memperkasa khazanah sastera dan bahasa dalam bentuk segar.

Inisiatif sebegini membuktikan bahawa warisan lama boleh dihidupkan kembali untuk mendidik, menghibur dan menyatukan rakyat Malaysia, seiring dengan semangat Hari Malaysia yang kita raikan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN