NEW YORK menjadi saksi detik penting apabila Malaysia, sebuah negara kecil dengan suara lantang, menerima pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Dalam dunia yang bergolak dengan konflik, krisis kemanusiaan dan perebutan kuasa besar, Malaysia tampil dengan pendirian tegas serta jelas, terutama dalam isu Gaza serta kepemimpinan ASEAN.
Pengiktirafan ini tidak datang dalam ruang kosong tetapi berakar daripada sejarah panjang dasar luar Malaysia yang berprinsip dan berani menjadikan isu Palestin sebagai suara utama di pentas antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika ditemui media di Pejabat Misi Tetap Malaysia ke PBB, mengesahkan Guterres bukan sahaja mengiktiraf sumbangan Malaysia tetapi juga menyatakan kesediaan untuk hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Ucapan ini membawa mesej besar iaitu dunia melihat Malaysia sebagai pemimpin yang mampu mengemudi ASEAN dalam menghadapi pelbagai cabaran, daripada konflik Myanmar hingga perebutan Laut China Selatan, serta memberi suara kepada kemanusiaan sejagat melalui perjuangan Palestin.
Dalam pertemuan tertutup itu, Guterres menegaskan konflik Gaza ‘melampaui batas kemanusiaan.’ Nyawa yang tidak bersalah, khususnya wanita dan kanak-kanak, terus menjadi korban. Rumah, hospital dan sekolah musnah dibedil tanpa belas kasihan.
Malaysia menjadi antara negara yang lantang menolak kezaliman ini dan pendirian itu diiktiraf sendiri oleh PBB.
Guterres menyatakan PBB bersedia memberikan sokongan penuh kepada Malaysia dan ASEAN untuk menyelaras langkah diplomatik antarabangsa, dengan harapan agar akhirnya sebuah negara Palestin yang merdeka dapat diwujudkan.
TELAH LAMA BERGEMA
Kepimpinan Malaysia dalam isu Palestin sebenarnya terbukti sejak sekian lama. Dari zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik kezaliman Zionis, hingga ke era kini di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, konsistensi ini tidak pernah berubah.
Namun, kali ini suara Malaysia lebih bergema kerana ia datang pada saat dunia Islam seolah-olah terpecah, manakala kuasa besar Barat dilihat tidak tegas dalam menegakkan keadilan.
Malaysia tampil sebagai suara moral, bukan sekadar untuk dunia Islam tetapi seluruh kemanusiaan. Keberanian Anwar dalam ucapannya di PBB baru-baru ini, yang mengangkat Palestin sebagai isu utama dunia, meletakkan Malaysia di peta diplomasi global.
Di pentas PBB, Anwar menekankan Palestin bukanlah isu agama semata-mata tetapi kemanusiaan sejagat. Beliau menegaskan selama mana dunia menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin, selama itulah integriti dan maruah komuniti antarabangsa tercalar.
Ucapan ini bukan sahaja mendapat tepukan gemuruh tetapi juga memberi gema dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), blok Selatan Global dan juga masyarakat awam di seluruh dunia yang sudah penat dengan politik dua darjat Barat.
Dengan ucapan itu, Malaysia sekali lagi menjadi obor kecil yang memberi cahaya dalam kegelapan global.
Dalam konteks ASEAN, pengiktirafan Guterres terhadap Malaysia datang pada masa yang tepat. ASEAN kini berada di persimpangan besar iaitu konflik Myanmar berlanjutan tanpa jalan keluar, persaingan kuasa besar di Laut China Selatan semakin meruncing dan keperluan transformasi ekonomi hijau serta digital semakin mendesak.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bakal memikul tanggungjawab berat untuk memastikan rantau ini kekal stabil, sejahtera dan relevan.
SUARA HATI NURANI DUNIA
Malaysia tidak pernah mendakwa dirinya kuasa besar, namun keistimewaannya terletak pada keberanian membawa suara yang dianggap ‘suara hati nurani dunia.’
Dari Bosnia, Afghanistan hingga Palestin, Malaysia sentiasa konsisten berdiri bersama mereka yang tertindas. Dasar luar Malaysia yang berprinsip ini semakin menyerlah dengan gagasan Madani.
Di mata dunia, Malaysia bukan hanya sebuah negara tetapi simbol kuasa moral boleh mengatasi kuasa material.
Namun, perjalanan ini tidak mudah. Tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan memperlihatkan sejauh mana Malaysia mampu menyeimbangkan diplomasi global dengan realiti domestik.
Krisis Myanmar misalnya, menuntut ASEAN untuk lebih tegas, manakala isu Laut China Selatan memerlukan pendekatan bijak supaya rantau ini tidak menjadi medan percaturan kuasa besar.
Malaysia akan diuji sama ada mampu menjadikan ASEAN benar-benar ‘kuasa tengah’ yang bebas daripada pengaruh luar tetapi tetap berperanan sebagai jambatan damai.
Pengiktirafan Guterres memberi sokongan moral yang besar tetapi selebihnya bergantung kepada kebijaksanaan Malaysia mengemudi kapal ASEAN.
UJIAN MARUAH ANTARABANGSA
Di sisi lain, isu Palestin akan terus menjadi ujian maruah antarabangsa. Malaysia menetapkan pendirian jelas tiada normalisasi dengan Israel selagi hak rakyat Palestin tidak dipulihkan.
Sokongan PBB kepada pendirian ini memberi peluang besar kepada Malaysia untuk menggerakkan ASEAN sebagai blok serantau yang bersatu menyokong Palestin.
Bayangkan jika ASEAN yang dihuni lebih 600 juta manusia bersatu suara, dunia tidak lagi boleh memandang ringan terhadap penderitaan Palestin. Inilah peluang strategik Malaysia, bukan sahaja sebagai pemimpin ASEAN tetapi juga sebagai pemimpin moral dunia Islam.
Pengiktirafan dunia ini harus juga dilihat dari kaca mata rakyat Malaysia sendiri. Ia bukan sekadar kejayaan diplomasi kerajaan tetapi juga maruah rakyat.
Selama ini, rakyat Malaysia konsisten menyuarakan solidariti terhadap Palestin, menganjurkan demonstrasi aman, menghulurkan bantuan kemanusiaan, malah menjadikan Palestin sebagai isu bersama merentas kaum dan agama.
Kini, suara itu bergema di PBB melalui pemimpin mereka dan dunia mengiktirafnya. Ini membuktikan Malaysia contoh bagaimana sebuah negara kecil boleh membawa aspirasi besar di peringkat global.
Akhirnya, pengiktirafan daripada Guterres ini adalah langkah awal ke arah sesuatu yang lebih besar. Malaysia sedang menuju masa hadapan yang penuh cabaran tetapi juga penuh peluang.
Jika kepemimpinan ini terus berpegang kepada prinsip keadilan dan rahmah, maka Malaysia bukan sahaja akan dikenang sebagai Pengerusi ASEAN yang berjaya tetapi juga sebagai negara yang membantu membuka jalan ke arah kemerdekaan Palestin.
Inilah jalan menuju sebuah negara yang bukan sahaja dihormati dunia tetapi juga dirahmati Tuhan. Sebuah negara Baldatun Thoyyibatun Warabbun Ghafur, negara yang baik lagi diampuni Tuhan, impian yang kini semakin jelas di hadapan kita, insya-Allah. – UTUSAN
PENULIS ialah Calon Ijazah Kedoktoran Kepimpinan Wanita.










