Kenapa MCA, MIC tidak bersikap budiman? - Utusan Malaysia

Kenapa MCA, MIC tidak bersikap budiman?

PARA pemimpin UMNO, MCA dan MIC pada sambutan ulang tahun ke 50 Barisan Nasional tahun lalu. Adakah pilihan raya umum akan datang menyaksikan ketiga-tiga parti ini berlawan antara satu sama lain?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAT pertama kali dalam sejarah penubuhan Barisan Nasional (BN), MIC tidak menjemput pemimpin UMNO ke perhimpunan agungnya yang akan berlangsung pada 16 November ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran memaklumkan bahawa mesyuarat itu akan berlangsung sehari dan memfokuskan hal dalaman parti dengan hanya dihadiri perwakilan serta delegasi MIC.

Kelihatan mengejutkan, tetapi MIC ada alasan mereka tersendiri termasuk tidak ada sesiapapun di luar parti itu yang dijemput selain ia berlangsung singkat dan bakal membuat keputusan besar berhubung masa depannya dalam BN.

Lagi pula, dalam amalan demokrasi, mana-mana parti berhak membuat keputusan tanpa perlu bertanya atau memaklumkan lebih awal tindakan mereka.

Jadi, keputusan MIC itu adalah hak mereka. Hak mereka juga untuk berunding dengan mana-mana pakatan lain termasuk kemungkinan mereka akan keluar daripada BN selepas 16 November ini.

Cuma apa yang menghairankan, MIC adalah sebahagian daripada komponen BN sejak daripada zaman Parti Perikatan hingga kini. Sebagai sekutu yang sangat akrab mereka mengharungi pelbagai onak dan duri politik negara secara bersama. Termasuk sama-sama mencipta kemasyhuran selama 60 tahun sebagai kerajaan, sebelum jatuh tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun 2018.

Apabila BN hilang kuasa dan gagal bangkit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, ikatan dalam BN mula longgar apabila komponen-komponen dari Sabah dan Sarawak menarik diri untuk membentuk gabungan mereka sendiri.

Kemudiannya, Gerakan turut angkat kaki daripada BN untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Pas dan Bersatu. Kini BN hanya tinggal UMNO, MIC dan MCA. Keputusan BN untuk bergabung dengan Pakatan Harapan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan merenggangkan lagi hubungan yang sedia retak apabila UMNO dituduh mementingkan diri, ekoran tidak ada seorang pun wakil MIC dan MCA dilantik ke dalam Kabinet.

Rentetan itu serangan demi serangan dilakukan oleh MIC dan MCA ke atas UMNO yang memberi bayangan kedua-duanya akan meninggalkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Ekoran daripada itu juga, MIC dan MCA mendapat banyak pelawaan supaya keluar BN dan menyertai PN yang dikatakan mempunyai harapan lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali pernah mengesahkan bahawa gabungan itu telah mengadakan beberapa bentuk perbincangan tidak rasmi dengan MCA dan MIC.

Pada pertemuan dan perbincangan itu Azmin mendedahkan bahawa kedua-dua komponen BN itu mengakui dasar yang diperkenalkan oleh bekas kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah adil dan mewakili semua rakyat Malaysia.

Pas melalui Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga pernah membuat pelawaan kepada MCA dan MIC untuk menyertai PN ekoran rasa tidak puas hati dengan UMNO kerana ditinggalkan tanpa perwakilan dalam kerajaan.

Namun, MCA tidak banyak melakukan serangan langsung kepada UMNO. Sasaran mereka adalah kepada DAP dan Kerajaan Perpaduan yang mana BN adalah sebahagian daripadanya.

Ramai yang melihat serangan MCA terhadap kerajaan itu secara tidak langsung turut ditujukan kepada UMNO yang mana beberapa pemimpinnya dalam Kabinet kerajaan sekarang.

Apa pun lebih kurang sekitar dua tahun menjelang PRU16 dan sebelum itu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka serta yang terdekat adalah PRN Sabah, maka kedua-dua parti ini perlu membuat keputusan dengan siapa mereka akan bersekutu. Adakah akan kekal bersama BN? Beralih arah kepada PN? Atau bertanding solo?

Ramai pihak menuntut pemimpin MIC dan MCA menjadi budiman atau gentleman berkaitan hubungan mereka dengan UMNO dalam BN.

MCA dan MIC bukannya parti yang tidak laku. Belum apa-apa lagi mereka sudah menerima jemputan menyertai PN. Sekarang ini daripada menyerang sesama sendiri dalam BN, adalah lebih baik membuat ketetapan akan masa depan mereka.

Barisan Nasional yang sebelum itu Perikatan ditubuhkan atas semangat setiakawan antara parti yang mewakili tiga kaum utama di negara ini. Namun dalam politik tidak semuanya indah belaka.

Dan kuasa yang dipegang tidak kekal selama-lamanya. Masa berubah, arus politik juga beralih arah dan kini BN terutamanya UMNO bukan lagi tonggak pemerintahan. Mereka sudah hilang kuasa untuk membuat keputusan.

Dan jika MIC dan MCA merasakan BN tidak lagi menjanjikan masa depan kepada mereka, maka eloklah dibuat keputusan secara gentleman dan bukannya bertindak memukul sesama sendiri.

Seperti mana tindakan yang diambil oleh Gerakan, MIC dan MCA juga berhak melakukan perkara yang sama jika BN tidak lagi menjanjikan apa-apa kepada mereka.

Seperti kata Vigneswaran: “Kalau kami (MIC) hendak buat keputusan sendiri, apa salahnya? Dulu kami pernah jadi kerajaan, sekarang (UMNO) ada pasukan baru (PH). Yang penting, kita mesti ada kerusi untuk bertanding.”

Begitu juga dengan kekalahan teruk BN dalam dua PRU lalu Presiden MIC itu berkata, walaupun MCA dan MIC dalam gabungan BN tetapi UMNO yang sebenarnya mentadbir negara ini. Jadi, kalau hendak salahkan, kena salahkan UMNO, bukan MCA atau MIC.

Kata-kata itu memberi gambaran seolah-olah kedua-dua parti ini sudah berpatah arang dengan BN dan bakal membawa haluan baharu pada pilihan raya akan datang.

Oleh itu, daripada bertempur sebagai rakan komponen adalah lebih baik ikatan selama enam dekad itu dileraikan secara budiman dan profesional supaya masing-masing boleh fokus kepada matlamat dan falsafah parti masing-masing.

Lagi pula, dalam politik tidak ada kawan atau musuh yang akan kekal selama-lamanya.

Pasca PRU14 telah membuktikan kepada kita bagaimana musuh ketat boleh bersahabat dan berjabat tangan untuk membentuk kerajaan.

Begitu juga dengan hubungan UMNO, MCA dan MIC dan BN. Mungkin ia sudah sampai noktahnya. Tetapi, eloklah jika mereka bersikap budiman dengan menyatakan apa yang terbuku secara terbuka dan bukannya bersikap pukul anak sindir menantu.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN