APAKAH sebenarnya konsep Malaysia Madani? Jika diajukan soalan ini kepada orang ramai, sudah pasti akan mendapat pelbagai jawapan yang berbeza dan masing-masing bertegas pendapat merekalah yang benar.
Ini membawa kepada persoalan, sejauh manakah keberkesanan usaha penerapan enam nilai teras Malaysia Madani ini ke dalam kehidupan masyarakat Malaysia setelah tiga tahun ia diperkenalkan kerajaan?
Ada dalam kalangan kita dengan penuh yakin mengatakan konsep ini sebenarnya retorik politik oleh pihak kerajaan tanpa perlu sebarang alasan munasabah.
Adakah hanya kerana ia diketengahkan Perdana Menteri, maka hal itu sudah cukup untuk dijadikan bukti kukuh bagi mengesahkan tohmahan mereka yang Malaysia Madani itu retorik politik?
Hal begini sekali lagi saya saksikan sewaktu menghadiri sebuah program ilmiah bertajuk Siri Syarahan Madani di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.
Syarahan tersebut disampaikan Rektor UIAM, Datuk Profesor Emeritus Osman Bakar bagi membincangkan tentang falsafah madani dari segi pemahaman tentang kota Madinah Nabawi.
Ketika sesi soal jawab, seorang peserta membidas konsep madani ini. Menurutnya, konsep yang dibawakan Perdana Menteri sekadar senjata politik, bersifat retorik dan hanyalah wayang politik, berbeza daripada apa yang dibentang Osman.
Perkara ini menjadi lebih mengelirukan apabila penyoal tersebut mendakwa enam teras Malaysia Madani bersifat agak materialistik.
Yang menimbulkan persoalan ialah bahagian manakah dalam nilai teras Malaysia Madani yang boleh didakwa sebagai bersifat kebendaan?
Menyedari tentang timbulnya pelbagai tohmahan akibat kesalahfahaman sesetengah daripada kita tentang falsafah madani dan Malaysia Madani sejak diperkenalkan, hal ini saya ajukan kepada Perdana Menteri sendiri dalam siri program Temu Anwar di UIAM pada April lalu.
Amat malang sekali apabila membiarkan kecenderungan politik kepartian mengaburkan pandangan. Contohnya, dengan beranganggap semua perkara daripada pihak kerajaan sebagai tidak telus dan mempunyai agenda politik.
Hal ini menyebabkan kita gagal untuk membuat penilaian secara matang dan hanya memihak secara membuta tuli kepada sesiapa yang kita sokong.
Walhal, kita sebenarnya tahu sepatutnya harus mampu berfikir dan menilai dengan baik dan bukannya hanya berpolitik serta mempolitikkan semua perkara pada setiap masa.

KONTEKS ILMU & TAMADUN
Sebagai penuntut UIAM yang menghayati falsafah universiti ini, madani bukanlah perkara yang asing bagi kami kerana ia sangat berkait rapat dengan nilai asas yang diterapkan dalam falsafah UIAM selama ini.
Sebagai contoh, UIAM mempunyai Pusat Sejahtera untuk Kemampanan dan Kemanusian yang memfokuskan tentang nilai-nilai penting sebegini dalam sebuah masyarakat, bagi mengimbangi konsep kehidupan daripada terlalu berpusat ke arah mengejar nilai kebendaan semata-mata.
Maka, nilai teras madani sudah diterapkan di UIAM sebelum konsep Malaysia Madani diperkenalkan kerajaan Malaysia.
Madani ialah sebuah falsafah yang dibawakan beberapa tokoh cendekiawan Islam seperti Al-Farabi dan Ibn Khaldun, berdasarkan konsep pembangunan tamadun yang maju dari semua sudut termasuk kerohanian, pemikiran dan kebendaan.
Namun selama ini, kita lazimnya hanya membincangkan soal madani dalam konteks hala tuju negara, iaitu satu penerapan falsafah madani ke dalam konteks dan kesesuaian tempatan.
Di dalam konteks Malaysia Madani, keenam-enam nilai teras yakni kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan jelas sekali mempunyai perkaitan rapat dengan falsafah madani tersebut. Teras-teras tersebut hanya diserlahkan untuk pemahaman mudah oleh rakyat jelata.
Kemampanan dan kesejahteraan ialah dua perkara yang amat diperlukan dan saling berkait di antara satu sama lain. Kedua-dua nilai ini begitu penting dan perlu wujud dalam sesebuah tamadun yang berjaya dan madani.
Tanpa kemampanan, kecemerlangan sesebuah tamadun itu tidak akan dapat bertahan untuk jangka waktu yang lama, apatah lagi untuk kekal utuh dan sentiasa berkembang maju daripada segenerasi kepada segenerasi. Tanpa kesejahteraan pula, kemampanan tidak akan dapat dicapai kerana daya langsung memerlukan kesejahteraan masyarakat.
Walaupun nilai teras ketiga iaitu daya cipta mungkin boleh dikaitkan dengan unsur kebendaan, namun ia merupakan perkara integral dalam pembangunan sesebuah tamadun, tidak terkecuali tamadun Islam. Hal ini jelas dilihat ketika zaman dahulu, yang mana daya ciptalah salah satu perkara yang memacu zaman kegemilangan Islam.
Tanpanya, kita tidak akan menerokai ilmu sains dan teknologi, seterusnya mencipta kejayaan serta pelbagai penemuan baharu dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, matematik dan banyak lagi yang menjadi teras keterlangsungan hidup kini.
Ketiga-tiga prinsip Malaysia Madani ini merupakan prinsip kemasyarakatan penting yang perlu ada dalam sesebuah tamadun yang hebat serta maju dari segala sudut.
Manakala tiga nilai seterusnya iaitu hormat, keyakinan dan ihsan adalah berkaitan dengan sifat dan nilai peribadi mulia perlu ditanam dalam diri masing-masing agar menjadi ahli masyarakat yang baik dan bertanggungjawab.
Hal ini jelas membuktikan konsep Malaysia Madani sememangnya berkait rapat dengan ketamadunan, bukanlah seperti yang dituduh.
Malah, sukar untuk dibayangkan jika ada yang benar-benar merasakan falsafah madani bersifat materialistik, melainkan mereka bercakap tanpa memahami apa-apa tentang apa itu madani.
Oleh itu, amat malang jika kita membiarkan propaganda politik mempengaruhi pandangan mata hati serta akal fikiran sehingga terperangkap dalam kitaran naratif politik yang dimainkan.
Sokongan politik kepartian tidak harus menjadi sekatan untuk berfikir dengan waras kerana sebagai manusia, harus sentiasa mencari kebenaran serta bersikap terbuka dan telus dalam membuat penilaian.
Mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pendapat politik, namun tanggungjawab kita untuk mempunyai sifat ihsan dan menghormati antara satu sama lain.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










