Demokrasi kertas undi lawan demokrasi berteraskan nilai

Demokrasi kertas undi lawan demokrasi berteraskan nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMOKRASI sering dipuji sebagai sistem terbaik ciptaan manusia kerana ia menjanjikan keadilan, keterangkuman dan kebebasan.

Namun di era pasca normal yakni dunia yang rapuh, cemas, tidak menentu dan sukar difahami seperti dihuraikan Sardar dalam Welcome to Postnormal Times (2010), amalan dan nilai demokrasi sedang diuji.

Apa yang dahulu kelihatan kukuh kini semakin tercemar. Komponen asasnya mungkin masih kekal dengan pilihan raya, Parlimen dan kertas undi, namun rohnya semakin kabur, tenggelam dalam gosip moral elit politik dan persaingan persepsi tanpa henti.

Dalam suasana yang rapuh dan sukar difahami sebegini, demokrasi turut kehilangan bentuk dan semangat asalnya. Ia kelihatan terus bergerak tetapi hala tujunya kabur. Akhirnya, demokrasi hanya tinggal sebagai simulacra iaitu bayangan bentuk tanpa isi (Baudrillard, Simulacra and Simulation, 1994).

Maksudnya, ia kelihatan wujud secara zahir tetapi kosong dari dalam.

Laporan International IDEA’s Global State of Democracy 2025 turut mengesahkan realiti ini. Demokrasi di seluruh dunia kini sedang menghadapi ujian besar dengan peningkatan ketidakstabilan politik dalaman dan peningkatan autoritarianisme.

Malah, Amerika Syarikat (AS) sendiri, yang sebelum ini dilihat sebagai juara demokrasi, kini jelas menunjukkan tanda-tanda perubahan ketara. Ramai warganya dan sarjana menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman kepada norma dan institusi demokratik.

DEMOKRASI KERTAS UNDI LAWAN DEMOKRASI BERTERAS NILAI
Ahli teori Sains Politik membezakan antara demokrasi prosedural dan demokrasi substantif.

Demokrasi prosedural ialah demokrasi kertas undi yang mana rakyat mengundi setiap lima tahun, dikira, dan kemudian dilupakan (Schumpeter, Capitalism, Socialism and Democracy, 1942).

Demokrasi substantif pula ialah demokrasi berjiwa dengan berteraskan roh moral, janji ditepati, fitnah ditolak dan amanah dijunjung.

Malaysia seperti banyak negara lain, semakin diuji dengan cabaran demokrasi kertas undi sebegini. Ia kelihatan kukuh dari luar, namun sedang bergelut mempertahankan nilai dan amanah sebagai tiang seri untuk mengelakkan keretakan dari dalam.

Jika tidak ditangani segera, demokrasi tidak runtuh tetapi tercemar dan kehilangan moral glue yang pernah menyatukan rakyat dan institusi.

POLITIK AMANAH LAWAN POLITIK FITNAH
Politik asalnya adalah medan amanah di mana kuasa sebagai tanggungjawab, janji sebagai akad dan kepimpinan sebagai ibadah (Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, 1996).

Sistem politik juga dimaksudkan untuk membina moral rakyat dengan mendidik masyarakat melalui dasar, undang-undang dan teladan (Dewey, Democracy and Education, 1916).

Namun, realiti hari ini sinis. Politik bukan lagi tentang membina moral rakyat tetapi tentang moral peribadi ahli politik. Demokrasi kehilangan fungsi pedagoginya dan merosot menjadi gelanggang politainment iaitu gabungan politik dan hiburan sensasi (Street, Mass Media, Politics and Democracy, 2011).

Dalam keadaan ini, politik fitnah menggantikan politik amanah. Kebenaran bukan lagi soal fakta tetapi soal siapa lebih pantas mencipta persepsi di media sosial (McCombs & Shaw, The Agenda-Setting Function of Mass Media, 1972).

Demokrasi pun tersasar dari tujuan asalnya. Akhirnya politik menjadi toksik dan rakyat mula menjauh.

KERETAKAN DEMOKRASI
Kejadian di Nepal menjadi cermin jelas bagaimana demokrasi tercemar boleh meletup. Larangan ke atas 26 platform media sosial mencetuskan protes besar-besaran anak muda dengan Parlimen dibakar, rumah pemimpin diserang, lebih 50 orang terkorban (Human Rights Watch, Nepal: Internet Shutdown and Protest Crackdown, 2025).

Demokrasi masih hidup secara jasad tetapi tercemar oleh penindasan kebebasan dan kerakusan kuasa.

Di Indonesia pula menyajikan wajah demokrasi kosmetik. Pilihan raya tetap meriah tetapi politik wang dan dinasti keluarga terus berakar. Gelombang protes 2025 akibat kos hidup menghimpit dengan diperburuk oleh kematian seorang pemandu motosikal dilanggar kenderaan polis lalu menyingkap keretakan di antara prosedur pilihan raya dan keadilan substantif (Aspinall & Berenschot, Democracy for Sale: Elections, Clientelism, and the State in Indonesia, 2019).

Di Thailand pula, walaupun rakyat keluar mengundi namun keputusan pilihan raya sering tidak membawa kepada pembentukan kerajaan kerana campur tangan institusi berkuasa.

Demokrasi tidak runtuh tetapi tercemar sehigga dilabel sebagai demokrasi terpimpin (Croissant & Chambers, Democracy under Stress in Southeast Asia, 2020) bukan mewakili suara rakyat yang tulen. Kesemua ini membuktikan demokrasi boleh tampak hidup secara prosedur tetapi mati secara nilai dan semangatnya.

BAROMETER MEDIA SOSIAL
Malaysia walaupun berbeza konteks, tetap berisiko untuk terkesan dengan gelombang pencemaran demokrasi ini. Dengan pengaruh rentas sempadan yang pantas di media sosial, krisis politik di negara jiran boleh membawa ‘kesan berjangkit’ ke negara ini.

Media sosial kini menjadi barometer paling jelas di mana wacana politik Malaysia dipenuhi cercaan, kebencian dan fitnah dan jauh daripada nilai amanah yang sepatutnya mendidik rakyat.

Ia mencerminkan hakisan norma demokratik seperti kesantunan, integriti dan musyawarah (Welsh, Malaysia’s Democratic Regression in Comparative Perspective, 2021).

Beberapa isu domestik juga mula membimbangkan. Kes kematian pelajar di Sabah mencetuskan simpati dan kemarahan rakyat, manakala isu pembangunan Kampung Sungai Baru menimbulkan rasa terpinggir dalam kalangan penduduk.

Jika tidak ditangani secara strategik dan inklusif, ia boleh mencetuskan gelombang ketidakpuasan terhadap institusi yang akhirnya boleh mencemarkan nilai-nilai demokrasi.

ZAMAN PASCA-NORMAL
Era pasca-normal menjadikan demokrasi kelihatan seperti hanya memerlukan prosedur, walaupun nilai telah hilang. Dalam logik sinis hari ini, kita bukan lagi bertanya siapa benar atau salah tetapi siapa lebih pantas membentuk persepsi di media sosial.

Demokrasi menjadi perlumbaan persepsi bukan lagi medan membina kebenaran. Paradoksnya, semakin banyak pilihan raya diadakan, semakin cetek nilai demokrasi dipraktikkan.

Demokrasi terus bergerak tetapi seperti kapal yang kehilangan kompasnya.

Malaysia dengan perbezaan budaya mungkin tidak akan melihat kejadian seperti di Nepal berlaku di sini atau terbeban seperti keadaan di Indonesia mahu pun terbelit seperti Thailand. Namun, tetap berisiko jika pencemaran demokrasi ini tidak dibersihkan.

Yang perlu dijaga bukan sekadar prosedur pilihan raya tetapi roh amanah dan nilai bersama yang menjadi tiang seri bangsa.

Demokrasi hanya akan sihat bila ia kembali mendidik rakyat, bukan sekadar melayan gosip elit politik. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN