“TAHU apa itu cakcibor? Tanya seorang kawan kepada saya semasa kami menikmati char kuetiau kerang paling sedap di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Saya jawab – “Macam pernah dengar.”
“Pepatunglah. Tapi orang Perak saja yang panggil cakcibor,” balasnya.
“Jauh sangat pergi bunyinya. Daripada pepatung ke cakcibor. Hebat orang Perak,” kata saya berseloroh.
Dia yang suka mengulas hal-hal politik dalam negara dan kadang-kadang menerawang sampai ke politik global berkata, ramai pemimpin politik di negara ini punya sifat dan berperangai macam cakcibor.
Cakcibor, serangga berkilau dan pantas. Terbang tinggi, menari atas permukaan air, tetapi sekadar menyinggah. Tidak menyelam. Tidak menjejak dasar. Itulah metafora paling sesuai untuk pemimpin sebegini, katanya.
Pemimpin cakcibor ghairah mencari pentas, bukan memikul amanah. Mereka lebih sibuk menjadi selebriti politik berbanding negarawan.
Pemimpin seperti ini pandai muncul ketika isu panas. Suka bermain bayang, pantas menunggang arus, dan tidak ketinggalan mengulas segala hal.
Setiap isu dijadikan peluang untuk menonjolkan diri, tanpa kesungguhan untuk menggali akar masalah. Cakcibor tidak pernah menyelam, hanya menari di permukaan air. Begitu juga pemimpin jenis ini. Indah di mata, tapi tiada keikhlasan di jiwa.
Daripada isu kaum, agama, pelbagai kartel di negara ini, harga barangan, kos sara hidup, buli, Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI95, sumud Flotilla, semuanya dia mahu komen dan nampak ke hadapan.
Kita juga sudah terlalu biasa dengan pemimpin yang berlumba menjadi ‘juara isu’. Banjir di satu negeri, muncullah mereka, berswafoto sambil bersalaman.
Apabila ada isu ekonomi, isu pendidikan, isu kesihatan dan isu moral mereka pantas muncul dengan sidang media dan kenyataan dalam media sosial, mengutuk dan membidas tetapi tiada pelan konkrit.
Apabila isu reda, mereka lenyap seperti cakcibor yang terbang entah ke mana.
Apa jadi pada masalah struktur ekonomi yang mereka komen? Apa solusi jangka panjang untuk pendidikan? Bagaimana dengan rasuah yang terus mengakar walau banyak sudah tindakan diambil? Senyap balik. Yang kedengaran hanya slogan dan naratif lama.
Saya fikir di mana-mana negara pun lebih kurang sama, cakap banyak, cakap tidak serupa bikin dan rasuah itu sentiasa terkait dengan pemimpin. Bukan semua begitu, tetapi disebabkan segelintir, habis semua dicop sama.
Secara simbolik atau literal, memang ada pemimpin dunia yang dimasukkan dalam ‘bakul sampah sejarah’, sama ada melalui kekalahan memalukan, digulingkan, dihina, dipenjara, atau hilang terus kredibiliti sehingga dikenang sebagai contoh pemimpin yang gagal.
Frasa seperti thrown into the dustbin of history sering digunakan untuk menggambarkan pemimpin yang jatuh dari kemuncak kuasa kepada kehinaan.
Pemimpin seperti Boris Johnson (UK), Pedro Castillo (Peru), Silvio Berlusconi (Itali) dan Imran Khan (Pakistan) yang rupanya hanya hebat bercakap dan berkarisma populis dihukum rakyat dengan menjatuhkan pemeritahannya.
Maka siapa kata rakyat tiada kuasa? Kebijaksanaan rakyat dalam memilih pemimpin dalam pilihan raya nanti, boleh menghentikan segala kebobrokan ini.
Di negara ini juga, dari dulu lagi tidak kira rakyat atau pemimpin suka membanding-bandingkan pemimpin sekarang dengan sebelumnya.
Pada saya, tidak akan sama rasa Pepsi dengan Coca-cola walaupun rupanya serupa. Begitu juga air coklat jenama Milo dengan Ovaltine atau Vico. Setiap pemimpin ada cara dan pemikiran sendiri dalam kepimpinan.
Baru-baru ini pula, Datuk Seri Rafizi Ramli melontarkan sindiran sinis apabila menyamakan sesetengah ahli politik dengan ‘kucing oren gemuk’ dan harimau dalam isu pergolakan dalaman parti Bersatu. Banyak haiwan lain yang terperangkap dengan ‘akal’ dan helah kucing oren itu bersama harimau.
Tetapi itulah yang peliknya, di tengah-tengah negara kita yang sedang bergelut dengan kos sara hidup, rakyat masih menyaksikan persengketaan dalaman parti-parti politik yang tidak habis-habis.
Sibuk membincangkan siapa yang layak menjadi perdana menteri, dalam keadaan kita sudah punya perdana menteri.
Tidak terkecuali juga dalam parti-parti politik lain, walaupun cuba untuk ditutup perseteruan tetapi rakyat dapat melihatnya dengan jelas.
Situasi ini bukan sahaja mengundang kekeliruan, malah menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin semakin hilang.
Rakyat sudah letih dijadikan penonton dalam sandiwara politik. Isu kos sara hidup semakin menghimpit, gaji statik, harga barang melambung.
Anak muda lulusan universiti bergelut mencari kerja tetap, sedangkan pemimpin sibuk berperang di media sosial, membalas sindiran dan berlumba-lumba untuk mendapat sokongan. Seolah-olah politik itu bukan lagi amanah, tapi pertandingan populariti.
Pemimpin sebenar bukan muncul waktu kamera dipetik. Mereka bekerja di balik tabir, menyusun strategi, mendengar rintihan rakyat tanpa perlu mikrofon. Mereka tidak memanipulasi isu demi sokongan, tetapi menyelesaikannya walau tiada pujian.
Rakyat tidak perlukan pemimpin yang hanya tahu menunjuk pandai. Cukuplah menjadi manusia yang jujur bekerja. Biar tidak popular, asalkan amanah terlaksana.
Politik bukan tentang siapa paling lantang bersuara, siapa paling tular di TikTok, atau siapa paling pandai menyindir. Ia tentang siapa yang paling bersungguh mengubah nasib rakyat, yang turun padang tanpa jurugambar mengetepikan telefon pintar untuk merakam video dan gambar. Yang mendengar masalah rakyat bukan sekadar untuk menjawab, tapi untuk memahami dan bertindak.
Negara ini tidak pernah kekurangan orang yang ‘pandai bercakap’. Statistik orang yang pandai bercakap akan terus meningkat dan tidak akan merosot jumlahnya. Tetapi kita kekurangan pemimpin yang benar-benar mahu bekerja.
Kepimpinan bukan tentang terbang tinggi, tetapi tentang berpijak di bumi nyata. Jangan jadi cakcibor, cantik di mata, tapi hanya berlegar di permukaan. Jadilah pemimpin yang menyelam ke dasar, menyelami masalah rakyat, dan membawa penyelesaian sebenar.
Cukuplah menunggang isu. Cukuplah berpura-pura jadi juara. Ini semua akan membuatkan rakyat hilang keyakinan dan kecewa terhadap sistem politik negara dan akhirnya merasakan tiada siapa yang boleh diharapkan untuk membela dan menjaga keperluan mereka.
Chor, jangan jadi pemimpin cakcibor! Apatah lagi mengikut perangai kucing oren gemuk yang malas.
FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.