Apabila pendidikan sudah hilang nilai, nurani

Apabila pendidikan sudah hilang nilai, nurani

SEKOLAH mesti kembali menjadi medan membina insan berjiwa, bukan sekadar mengejar gred dan laporan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA seorang pelajar dibunuh rakan sekolah sendiri, persoalan yang harus ditanya bukan lagi apa yang tidak kena dengan pelajar itu tetapi apa yang salah dengan sistem yang melahirkan mereka.

Tragedi-tragedi mutakhir dalam sektor pendidikan seperti kes buli yang semakin menjadi-jadi, pelajar dirogol beramai-ramai dalam kelas dan dirakam, malah kes lebih berat dibunuh sangat membimbangkan.

Ini kes-kes yang muncul. Tidak mustahil ada kes-kes lain yang tidak dilaporkan. Ini adalah cerminan kegagalan nilai dan sistem pendidikan yang mungkin terlalu lama beroperasi di bawah topeng ‘kejayaan akademik’ dan ‘transformasi dasar’.

Bila sekolah tidak lagi menjadi tempat selamat untuk belajar menjadi manusia, maka seluruh sistem sebenarnya sedang parah. Pahit untuk ditelan tetapi ini kebimbangan yang semakin menyerlah.

SISTEM YANG CACAT?

Sistem pendidikan kita telah lama mengidap penyakit kronik yang tidak diubati kerana terlalu sibuk menampakkan diri sihat. Segala kelemahan disembunyikan di sebalik laporan cantik dan pelan strategik yang memukau.

Dari sudut polisi dan teori pendidikan, ini menandakan kegagalan pemikiran sistemik apabila pendidikan dilihat sebagai gugusan silo (kurikulum, peperiksaan, pentadbiran), bukan sebagai ekosistem yang saling berhubung.

Guru sudah lama mengeluh tentang bebanan melampau kerja pentadbiran sementara pelajar dan guru didera dengan tekanan peperiksaan. Sekolah pula berfungsi seperti kilang petunjuk prestasi utama (KPI) dan sijil. Nilai kemanusiaan digantikan dengan angka prestasi, bahkan kreativiti dimatikan dalam mengejar skor.

Kenyataan Perdana Menteri “sistem pendidikan kita cacat” dan pengakuan Ketua Pengarah Pendidikan “terlalu banyak perkara disapu di bawah karpet” bukanlah kecaman tetapi pengakuan terhadap realiti ini. Ia menuntut pembelajaran transformatif iaitu pembaharuan yang bukan kosmetik tetapi menyentuh kerangka nilai dan cara berfikir seluruh sistem.

Namun, adakah pengakuan ini akan menjadi titik perubahan atau sekadar bab baru dalam skrip lama yang berakhir tanpa perubahan?

BUDAYA ASAL NAMPAK BAIK

Masalah paling mendasar bukan sekadar polisi tetapi kurikulum tersembunyi, yakni budaya tidak rasmi yang membentuk cara berfikir warga sekolah.

Sekolah mesti kelihatan teratur, guru mesti kelihatan berdisiplin, laporan mesti kelihatan sempurna. Di sebalik kesempurnaan itulah tersembunyi hakikat kebenaran sudah lama menjadi risiko, bukan tanggungjawab moral.

Guru yang jujur menegur dianggap pembawa masalah, pelajar yang melapor dibuli dianggap membawa masalah kepada sekolah. Inilah kurikulum tersembunyi yang menanam budaya takut dan patuh. Ia bermaksud pendidikan yang menuntut kepatuhan lebih daripada kejujuran.

Natijahnya, pelajar mungkin arif tentang definisi nilai tetapi tidak pernah menghayatinya.

Mereka mampu menghuraikan konsep amanah dan adil seperti dalam buku teks, namun gagal menemui wajah nilai itu dalam sistem yang mendidik mereka.

Apabila kebenaran dikorbankan demi imej dan peragaan, sekolah pun hanya tampak berdisiplin di luar tetapi bergolak di dalam. Dari ruang yang kelihatan tenang itulah benih tragedi tumbuh perlahan-lahan, tanpa rasa bersalah.

Padahal, pendidikan memerlukan kepimpinan yang mampu menyeimbangkan strategi dengan simpati yang cekap mengurus krisis tanpa kehilangan sentuhan insani. Kepimpinan yang baik bukan sekadar menjawab peristiwa melalui tindakan segera tetapi menafsir maknanya untuk membina pemulihan yang lebih mendalam.

Dalam konteks pendidikan, makna ‘menyembuhkan’ bukan hanya menyusun semula prosedur tetapi memulihkan kepercayaan, nilai dan maruah insan yang tercalar.

Hanya kepimpinan yang menggabungkan kebijaksanaan strategik dengan empati kemanusiaan mampu menjadikan setiap tragedi bukan sekadar amaran tetapi pelajaran bangsa.

Dari sudut teori kepimpinan transformasional yang berkesan bukan sekadar mentadbir sistem tetapi mengangkat kesedaran moral dan makna kolektif dalam kalangan pengikutnya.

Pemimpin sedemikian tidak hanya menumpu kepada tindakan taktikal jangka pendek tetapi juga menyalakan api nilai agar setiap keputusan birokrasi membawa roh kemanusiaan.

Inilah kepimpinan yang reflektif yang melihat krisis bukan sebagai kegagalan untuk ditutup tetapi sebagai cermin bagi memperbetul hala tuju sistem. Tanpa dimensi ini, pendidikan akan terus berlegar antara dua ekstrem iaitu kecekapan teknikal dan kekosongan makna.

Masalahnya, jurang antara kepimpinan politik dan kefahaman pendidikan terlalu luas. Tidak semua ahli politik mampu mentadbir kementerian sebesar pendidikan. Tanpa kefahaman terhadap ekosistem sekolah, keputusan mudah menjadi populis, bukan berprinsip.

Di sinilah letaknya peranan birokrasi profesional di mana pegawai kanan yang sepatutnya menjadi suara hikmah kepada menteri. Namun, apabila hubungan menteri-pegawai berasaskan politik, bukan pedagogi menyebabkan dasar menjadi projek, bukan prinsip.

Akibatnya, setiap menteri datang dengan pelan baharu tetapi sistem kekal tahap lama dan penat.

Sistem yang kaku menjadikan pemimpin takut bertindak luar kebiasaan dan kepimpinan yang gopoh pula merosakkan kesinambungan sistem. Kedua-duanya saling melumpuhkan. Setiap kali berlaku tragedi, lahirlah jawatankuasa khas, audit khas dan kenyataan khas tetapi tiada perubahan nilai yang kekal.

Kita memerlukan kepimpinan yang berani menembusi penyakit birokrasi serta sistem sanggup menanggung risiko kebenaran. Tanpa kedua-duanya, pendidikan kekal bergerak dalam kitaran yang sama.

POLITIK, MERIT DAN AMANAH

Kemelut pendidikan juga berpunca daripada cara memilih siapa yang memimpin.

Dalam sistem meritokratik seperti Finland, kepimpinan pendidikan biasanya lahir daripada kalangan pendidik sendiri iaitu mereka yang memahami akar nilai, falsafah dan teori pedagogi.

Di Malaysia, pelantikan masih dipengaruhi pertimbangan politik dan keseimbangan kuasa, bukan semata-mata keutuhan kepakaran.

Apabila sektor pendidikan dilihat lebih sebagai ruang pengaruh berbanding amanah ilmu, maka fokusnya mudah beralih daripada membina manusia kepada mengurus persepsi.

Isunya bukan soal siapa yang dilantik tetapi bagaimana kelayakan itu dinilai dan atas dasar apa kepercayaan itu diberikan.

Dalam erti kata lain, kepimpinan pendidikan perlu berpaksikan merit, integriti dan kefahaman lapangan. Ia bukan semata-mata kesetiaan politik atau kecaknaan strategik.

Tanpa asas nilai ini, kepimpinan akan terperangkap dalam kitaran mencari pujian, bukan penyelesaian, menonjolkan dasar, bukan juga membetulkan arah.

Akhirnya, kita menyaksikan kepimpinan silih berganti, pelan dan slogan semuanya indah di permukaan, namun kehilangan roh di dalam pelaksanaannya.

Pendidikan memerlukan kesinambungan yang berjiwa, bukan sekadar perubahan yang bergema. Selagi pendidikan diurus dengan logik kuasa, bukan nilai, maka setiap tragedi hanya menunggu masa untuk berulang.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN