Kembalikan asas menanam ilmu kepada pensyarah, mahasiswa

Kembalikan asas menanam ilmu kepada pensyarah, mahasiswa

UNIVERSITI yang benar-benar cemerlang ialah institusi yang menanam benih pemikiran, bukan hanya mengeluarkan graduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dapat dinafikan universiti merupakan tunjang penting dalam pembangunan ilmu dan kemajuan tamadun sesebuah negara bangsa. 

Kecemerlangan sesebuah universiti mencerminkan tahap kemajuan intelektual dan pembangunan sesebuah negara.

Sebagaimana Amerika Syarikat (AS) terkenal dengan institusi seperti Harvard, Yale dan MIT sementara dan United Kingdom (UK) dengan Cambridge, Oxford dan LSE,  di Malaysia pula, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan negara sejak awal kemerdekaan.

UKM dan UM, bersama universiti lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melahirkan graduan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

Kejayaan mereka melanjutkan pengajian pascasiswazah di luar negara, terutama di UK, membuktikan  ijazah yang diperoleh di Malaysia mempunyai nilai akademik yang tinggi. 

Nama UKM dan UM dikenali oleh para akademik luar negara tanpa perlu diperkenalkan secara terjemahan. Ini adalah bukti kecemerlangan sebenar pendidikan tinggi negara pada peringkat awal.

 

PERUBAHAN LANDSKAP PENGURUSAN UNIVERSITI

Satu persoalan penting yang wajar direnung ialah bagaimana universiti mampu mencapai kecemerlangan sebegitu tanpa kehadiran entiti seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada waktu itu? 

Dahulu, pentadbiran universiti ditadbir secara berkesan oleh naib canselor, timbalan naib canselor dan dekan yang berwibawa. Kini, dengan adanya pelbagai arahan dan kawalan daripada KPT, timbul persoalan, adakah kecemerlangan universiti semakin meningkat atau sebenarnya sedang terhakis tanpa disedari?

Apakah benar satu polisi seragam sesuai untuk semua universiti? Adakah ‘kesetiaan mutlak’ kepada arahan kementerian menghalang kebebasan intelektual dan keutuhan akademik? 

Kita perlu mengkaji sama ada perkembangan semasa ini benar-benar mendorong kepada peningkatan ilmu atau hanya memberi ilusi kemajuan melalui ukuran luaran seperti ranking dan statistik yang bersifat komersial.

Ranking universiti antarabangsa, walaupun kelihatan gah, mungkin hanyalah ‘harimau kertas’. Kita berisiko menjadi mangsa penjajahan bentuk baharu, iaitu penjajahan simbolik (neo-colonialism) yang memuja metrik luar tanpa memahami roh sebenar ilmu.

 

NADI KEHIDUPAN UNIVERSITI

Tiada pembangunan ilmu yang bermakna tanpa dua komponen utama iaitu pensyarah/profesor dan mahasiswa. Mereka adalah inti kepada roh universiti. Bangunan yang megah hanyalah fizikal luaran, sedangkan jati diri sesebuah universiti terletak pada nilai keilmuan yang dibawa warganya.

Pensyarah yang berjiwa besar menyampaikan ilmu bukan semata-mata dengan fakta tetapi dengan falsafah dan semangat keilmuan. 

Pengajaran di universiti jauh berbeza dengan di sekolah menengah. Di peringkat sekolah, ilmu disampaikan secara langsung dan bersifat asas. 

Sebaliknya, di universiti, pengajaran menuntut penerokaan, perdebatan, dan pemikiran kritikal. Mahasiswa bukan hanya mendengar tetapi mengkritik, menganalisis serta memperluas ilmu berdasarkan pembacaan dan wacana.

Dalam dekad 1970-an hingga 1990-an, tutorial menjadi medan perdebatan ilmu yang matang. Mahasiswa membaca karya besar, artikel jurnal dan terlibat aktif dalam pembelajaran, bukan hanya untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk memahami dan mengembangkan ilmu. Soalnya, adakah budaya ini masih wujud hari ini?

 

SYARAT ASASI

Mahasiswa universiti perlu melepasi saringan akademik yang mencerminkan keupayaan analitikal. Dalam konteks dahulu, peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) misalnya, menilai kebolehan menganalisis, bukan sekadar menghafal. Ini penting kerana tahap pengajian universiti menuntut kemampuan berfikir secara kritis dan mendalam.

Bagi pensyarah pula, syaratnya bukan hanya memiliki ijazah tinggi (sarjana dan doktor falsafah (PhD), tetapi juga semangat dan minat yang mendalam dalam bidang ilmu yang diceburi. 

Pensyarah perlu sentiasa melakukan penyelidikan dan penerbitan bukan hanya untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) tetapi sebagai tanggungjawab moral kepada perkembangan ilmu.

Ijazah tinggi mesti dianugerahkan atas dasar keilmuan tulen, bukan kerana dorongan komersial atau ‘industri ilmu’ yang berorientasikan keuntungan.

Lebih membimbangkan, bebanan kerja bersifat perkeranian kepada pensyarah semakin meningkat. Tugasan seperti pengisian data Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), laporan dan dokumen pentadbiran seharusnya diserahkan kepada staf sokongan. 

Pensyarah perlu diberikan ruang untuk menumpukan kepada pengajaran, penyelidikan dan penghasilan ilmu, bukannya dibebani tugas yang mengganggu fokus utama akademik.

 

KEMBALI KEPADA ASAS

Apabila kita berbicara tentang kecemerlangan universiti, kita tidak boleh hanya terpesona dengan pencapaian material seperti bangunan indah, kemudahan canggih atau kedudukan dalam ranking global. Nilai sejati universiti terletak pada peranan yang dimainkan  pensyarah dan mahasiswa dalam menyemai, menyampaikan serta mengembangkan ilmu pengetahuan.

Universiti yang benar-benar cemerlang ialah institusi yang menanam benih pemikiran, bukan hanya mengeluarkan graduan. Ia membina manusia berfikir, bukan hanya pekerja terlatih. 

Justeru, fokus kita mestilah kembali kepada membina suasana akademik yang subur dengan menjadikan ilmu sebagai teras, bukan aksesori.

Kesimpulan, universiti perlu kembali kepada asas iaitu dengan menanam nilai keilmuan yang luhur dalam diri para pensyarah dan mahasiswa. Struktur pentadbiran dan sistem penilaian perlu menyokong, bukan membebankan  tugas utama warga akademik.

Hanya dengan itu, universiti boleh terus menjadi mercu tanda kecemerlangan ilmu dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan bangsa dan tamadun manusia sejagat.-UTUSAN

 

PROFESOR  Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Kanan Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×