Soviet, China tonggak kemenangan Perang Dunia Kedua

Soviet, China tonggak kemenangan Perang Dunia Kedua

PRESIDEN Russia, Vladimir Putin berjabat tangan dengan rakan sejawatnya, Presiden China, Xi Jinping semasa pertemuan di Beijing, China. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 3 September setiap tahun, dunia memperingati detik berakhirnya Perang Dunia Kedua iaitu konflik paling dahsyat dan berdarah dalam sejarah peradaban manusia.

Perang yang melanda lebih 60 negara dan melibatkan lebih dua bilion penduduk itu meninggalkan kesan yang amat mendalam, bukan sahaja dari segi kemanusiaan, tetapi juga ekonomi global.

Lebih 50 juta nyawa awam terkorban akibat tindakan agresif Jerman, Jepun dan sekutu mereka dan angka korban itu yang menjadikan perang ini sebagai tragedi terbesar dalam ipatan sejarah dunia.

Tiada konflik lain yang mampu menandingi skala kemusnahan dan penderitaan yang dibawa oleh perang ini.

SUMBANGAN RAKYAT SOVIET

Perang Patriotik Besar iaitu perjuangan rakyat Soviet menentang pendudukan Jerman Fasis bermula pada 22 Jun 1941, apabila Nazi melancarkan serangan khianat terhadap Kesatuan Soviet.

Konflik ini menjadi satu daripada komponen paling penting dalam Perang Dunia Kedua, bukan sahaja dari segi skala peperangan tetapi juga dari segi makna perjuangan menentang penindasan dan ideologi fasis yang berpaksikan keangkuhan bangsa.

Selama 1,418 hari, rakyat Soviet bertempur tanpa henti. Pengorbanan luar biasa bukan sahaja datang dari medan tempur tetapi juga dari belakang tabir apabila para petani, buruh kilang, wanita dan kanak-kanak yang menyokong usaha perang dengan semangat yang luar biasa.

Namun, harga kemenangan itu sangat mahal. Tentera Merah kehilangan kira-kira 8.5 juta anggota, manakala sekitar 19 juta nyawa awam turut terkorban termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Kehancuran ini menjadikan perjuangan rakyat Soviet antara yang paling berat dalam sejarah peperangan moden.

Kemenangan besar ini yang dikenang sebagai Kemenangan Agung terus menjadi simbol kebanggaan nasional Russia dan warisan sejarah yang membentuk jati diri negara. Ia juga menjadi asas pendidikan generasi muda, agar semangat patriotisme, keberanian dan pengorbanan tidak pernah luput dalam ingatan.

PERANAN CHINA

Sebagai medan utama di Timur dalam Perang Anti-Fasis Sedunia, perjuangan rakyat China menentang pencerobohan Jepun bermula lebih awal daripada mana-mana negara lain.

Peperangan ini bukan sahaja berlangsung paling lama, malah turut mencatatkan jumlah korban paling tinggi sekali gus menjadikan sumbangan China sebagai antara yang paling besar dalam memastikan kekalahan tentera Jepun secara menyeluruh.

Parti Komunis China memainkan peranan penting di barisan hadapan, menjadi tulang belakang penentangan rakyat di seluruh negara.

Dengan lebih 35 juta korban tentera dan awam, rakyat China menunjukkan keberanian dan ketabahan luar biasa, memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada kemenangan akhir Perang Dunia Kedua.

Sepanjang tahun-tahun getir tersebut, rakyat China dan Soviet berdiri teguh bersama, menjalin kerjasama erat dalam bentuk pertukaran sumber ketenteraan, sokongan politik dan semangat solidariti yang jitu.

Persahabatan yang terbina dalam bara peperangan ini menjadi bukti kukuh pengorbanan bersama yang terus dikenang hingga ke hari ini.

Pada 4 Mac 2025, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan satu resolusi penting bertajuk ‘Ulang Tahun ke-80 Tamatnya Perang Dunia Kedua’ yang dikemukakan oleh Russia.

Resolusi ini turut dikarang bersama oleh China, Malaysia, dan lebih 50 negara lain.

Sehubungan itu, Beijing dan Moscow menghargai setinggi-tinggi penghormatan kepada Malaysia untuk sokongan teguh terhadap resolusi ini iaitu satu langkah yang menegaskan komitmen bersama untuk mengekalkan kebenaran sejarah dan memperingati perjuangan menentang kezaliman.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha pelbagai hala untuk mempertahankan warisan Perang Dunia Kedua, termasuk penubuhan PBB sebagai hasil langsung daripada kemenangan tersebut.

Resolusi itu juga menggesa semua negara supaya bersatu dalam menghadapi cabaran dan ancaman terhadap keamanan serta keselamatan antarabangsa dengan PBB sebagai landasanutama kerjasama global.

Penggubalan resolusi ini merupakan suatu tanda penghormatan yang mendalam kepada keberanian dan ketabahan generasi terdahulu yang bertungkus-lumus mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Dalam menghadapi ancaman ideologi yang kejam dan merosakkan, mereka bangkit bersama, tanpa mengira bangsa, agama, mahupun sempadan negara, demi membebaskan dunia daripada cengkaman kekejaman Nazisme, fasisme dan militarisme.

Mereka bukan sahaja mengangkat senjata di medan perang, malah turut berjuang di barisan hadapan moral dan kemanusiaan dengan mempertahankan kebebasan, maruah manusia dan hak untuk hidup dalam dunia yang aman.

Setiap langkah perjuangan itu dibayar dengan harga yang sangat mahal.

Resolusi ini juga memperingati jutaan mangsa awam tidak berdosa terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menjadi korban kekejaman peperangan global tersebut.

Mereka yang kehilangan keluarga, tempat tinggal dan masa hadapan merupakan peringatan abadi tentang kesan tragik peperangan yang didorong oleh kebencian, keangkuhan dan kerakusan kuasa.

Nazisme, fasisme, dan militarisme membawa kehancuran yang tidak terperi kepada tamadun manusia. Ia bukan sahaja memusnahkan bandar-bandar dan negara, malah turut meluluhkan nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada masyarakat bertamadun.

Oleh itu, memperingati sejarah bukanlah sekadar mengenang detik-detik silam tetapi juga merupakan amanah moral dan tanggungjawab kolektif.

Ia menjadi peringatan bersama agar manusia sejagat tidak mengulangi kesilapan yang lalu supaya tragedi sebegini tidak berulang lagi, dalam apa jua bentuk dan nama.-UTUSAN

NAIYL Latypov ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Russia.

OUYANG Yujing ialah Duta China ke Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×