REVOLUSI Industri 4.0 (IR 4.0) mengubah landskap kehidupan dalam hampir semua aspek seperti cara bekerja, belajar, berkomunikasi hingga kerajaan tadbir urus negara.
Teknologi teras seperti kecerdasan buatan (AI), internet pelbagai benda (IOT), robotik, data besar serta automasi menjadi nadi kepada transformasi sosial, ekonomi dan politik global.
Di Malaysia, usaha merapatkan jurang digital dan meningkatkan literasi AI semakin diberi perhatian melalui pelbagai dasar dan inisiatif, termasuk pelancaran AI Untuk Rakyat serta penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).
Literasi AI memerlukan pemahaman asas teknologinya, fungsi serta implikasi dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian. Tanpa pengetahuan asas ini, rakyat bukan sahaja berisiko menjadi pengguna pasif yang hanya menerima teknologi, lebih membimbangkan, mereka mungkin ketinggalan dalam pasaran kerja serta gagal memanfaatkan peluang ekonomi baharu.
Kerajaan menegaskan AI adalah bidang yang mesti dikuasai. Ini kerana perubahan teknologi berlaku sangat pantas dan mereka yang lambat bertindak akan tertinggal jauh ke belakang.
Isu utama yang dibangkitkan ialah jurang digital. Golongan yang tinggal di bandar lebih mudah mengakses teknologi AI kerana mempunyai infrastruktur, kemudahan internet dan peluang pembelajaran. Sebaliknya, masyarakat desa, miskin bandar dan pedalaman sering terkebelakang.
Sekiranya jurang ini tidak ditangani, pembangunan AI hanya memberi manfaat kepada sebahagian kecil rakyat, sekali gus menimbulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang lebih besar. Oleh itu, kecelikan AI perlu dibuat secara inklusif di bandar dan luar bandar, sektor awam dan swasta, serta merentasi semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, pekerja, usahawan kecil serta juga warga emas.
Menurut data, sektor AI dijangka menyumbang sekurang-kurangnya RM1.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 dengan kemungkinan jumlah tersebut boleh berlipat ganda berdasarkan perkembangan semasa.
Malah, sumbangan ekonomi digital keseluruhannya dijangka melonjak daripada 23 peratus kepada 25.5 peratus KDNK negara dalam masa terdekat.
Angka ini bukan sekadar statistik tetapi gambaran jelas AI akan menjadi pemacu utama ekonomi negara. Justeru, rakyat yang celik AI berupaya merebut peluang pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti serta mencipta nilai tambah dalam ekonomi digital.
Namun, literasi AI tidak boleh dilihat dari sudut teknikal semata-mata. Seperti yang ditekankan dalam kerangka Malaysia Madani, AI harus digabungkan dengan nilai, etika dan moral. Hal ini penting kerana teknologi tanpa nilai boleh membawa risiko besar, antaranya manipulasi maklumat, diskriminasi algoritma serta eksploitasi data peribadi.
Oleh itu, kerajaan memperkenalkan Kod Etika dan Tadbir Urus AI yang menekankan prinsip kebebasan, ketelusan, keadilan serta pembangunan yang inklusif. Ini bermaksud, rakyat perlu celik AI bukan sahaja dari aspek penggunaan teknologi tetapi juga dari sudut kesedaran etika dan tanggungjawab.
Kebimbangan umum terhadap AI berkait isu kehilangan pekerjaan. Memang benar, automasi dan AI berupaya menggantikan beberapa pekerjaan tradisional, namun ia juga mencipta peluang kerja baharu.
Kajian menunjukkan lebih 100 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan di seluruh dunia hasil daripada pertumbuhan ekonomi digital. Di Malaysia, cabarannya adalah bagaimana memastikan tenaga kerja tempatan dilatih dan diberi kemahiran baharu supaya mampu mengisi peluang ini.
Program seperti MyMAHIR yang mensasarkan latihan AI, pengaturcaraan dan analisis data kepada 50,000 rakyat menjelang 2025 adalah langkah penting ke arah membina modal insan yang kompeten.
Namun, kecelikan AI tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata. Institusi pendidikan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum harus berganding bahu. Misalnya, universiti perlu memastikan semua pelajar, tanpa mengira bidang pengajian, mendapat pendedahan asas kepada AI.
Usahawan kecil dan sederhana pula perlu dilatih agar mampu menggunakan AI dalam operasi perniagaan seperti pemasaran digital, pengurusan inventori atau perkhidmatan pelanggan. Bagi masyarakat umum, platform latihan AI yang menyediakan modul pembelajaran 4 jam AI Untuk Rakyat adalah peluang percuma meningkatkan kefahaman asas.
Dalam era maklumat tanpa sempadan, rakyat yang celik AI lebih berupaya menilai kesahihan maklumat, mengelak penyebaran berita palsu serta memahami risiko keselamatan siber.
Malah, AI boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan sektor kesihatan, pendidikan dan pengangkutan, namun keberkesanannya bergantung tahap penerimaan dan pemahaman rakyat terhadap teknologi ini.
Kerajaan juga menunjukkan keseriusan dengan menubuhkan NAIO yang berfungsi menyelaras, merancang, menyelidik dan melaksanakan strategi AI peringkat negara. NAIO bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, sektor swasta serta rakan teknologi global seperti Microsoft, Google, AWS, Huawei dan NVIDIA.
Penyertaan gergasi teknologi ini membuktikan keyakinan terhadap ekosistem digital Malaysia. Namun, tanpa rakyat yang benar-benar celik AI, semua usaha ini berisiko tidak sampai ke akar umbi.
JATI DIRI
Dalam konteks Malaysia, kecelikan AI juga dikaitkan dengan pembinaan jati diri nasional. AI bukan sekadar menyalin model luar tetapi perlu disesuaikan dengan budaya, agama dan nilai tempatan.
Misalnya, kandungan yang dijana AI harus berlandaskan sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia serta mengelakkan elemen yang boleh memecahbelahkan perpaduan. Dengan kata lain, celik AI juga bermakna rakyat mampu menjadi pengguna bijak yang kritis, kreatif dan beretika dalam berinteraksi dengan teknologi.
Oleh itu, rakyat perlu melihat kecelikan AI sebagai kemestian, bukan pilihan. Celik digital dan celik AI adalah asas survival dalam era 4.0.
Kerajaan menyediakan ekosistem, dasar dan inisiatif tetapi kejayaan akhirnya bergantung kepada kesungguhan rakyat untuk merebut peluang.
Generasi muda khususnya harus lebih agresif dalam menguasai AI, bukan sahaja sebagai pengguna tetapi juga pencipta teknologi.
Jika rakyat leka dan lambat bertindak, negara akan hanya menjadi pengguna teknologi luar sahaja. Tetapi jika rakyat celik AI, Malaysia mampu menjadi pencipta, inovator dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










