Dilema universiti awam di Malaysia - Utusan Malaysia

Dilema universiti awam di Malaysia

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran tambah kuota pengambilan pelajar melalui Unit Pusat Universiti (UPU) supaya lebih ramai pelajar cemerlang dapat memasuki universiti awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedang rakyat Tanah Melayu masih merawat luka-luka tinggalan kezaliman Jepun dan kerakusan Parti Komunis Malaya menjarah pekan dan kampung, Inggeris kembali dan Universiti Malaya (UM) tertubuh dengan undang-undang Ordinan Universiti Malaya 1949 dengan operasinya bermula di Singapura. Di Kuala Lumpur ijazah jurusan Sastera bermula pada 1957.

Dari tahun 1949 sehingga 1969 didapati representasi Melayu dan pribumi kecil. Ini dapat dibaca dalam laporan Kajian Mengenai Universiti Malaya sebelum 13 Mei 1969 yang diketuai oleh Dr. Abd. Majid, doktor di Kementerian Kesihatan. Laporan mengenai 13 Mei menyebut bahawa ketidakseimbangan antara kaum yang terlalu lebar di UM adalah antara kegundahan hati rakyat yang merusuh menuntut keadilan.

Agenda ini diangkat menjadi sebahagian dokumen Dasar Ekonomi Baru (DEB). Remedinya dinamakan affirmative action. Di manakah Tun Razak mendapat buah fikiran tentang affirmative action sebagai solusi merapatkan jurang masyarakat Malaysia?

Idea itu bermula di Amerika Syarikat yang ada masalah jurang pekerjaan dan pendidikan antara rakyat. Presiden Nixon menyebut, ‘a good job is as basic and important a civil right as a good education…’ Untuk pelaksanaannya pula Nixon menekankan ‘goals and time table’.

Idea affirmative action di Malaysia mendapat ‘sijil halal dunia’ sehingga penentang DEB dapat diamankan, bukan oleh pribumi Malaysia tetapi oleh sepasukan perunding dari Universiti Harvard, AS yang diketuai oleh Tan Sri Profesor Dr. Just Faaland yang mengemukakan cadangan ‘Policies for Growth With Racial Balance’.

Malaysia mengambil cadangan itu dan melaksanakan juga idea Nixon tentang ‘goals and timetable’ dengan menetapkan tempoh 1970-1990, dan goal adalah menyusun semula masyarakat dengan menghapuskan wajah sosioekonomi mengikut identiti kaum. Itulah DEB.

Tindakan afirmatif DEB itu menjadi punca kuasa melaksanakan sistem kuota kemasukan ke UM dan kemudiannya Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan misi menyusun semula masyarakat. Representasi bumiputera kurang daripada 20 peratus, bahkan kurang 10 peratus di dalam beberapa program pengajian di UM, wajib diperbetulkan.

Program matrikulasi untuk masuk ke ijazah sains dan perubatan dimulakan di UKM dan Asasi Sains di UM, berkembang menjadi syarat alternatif kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk memasuki UM dan UKM.

Hari ini pendidikan tinggi di Malaysia berada di fasa ke empat. Fasa 20 tahun pertama, UM tertubuh 1949 hingga peristiwa penting negara 1969, fasa 20 tahun kedua 1970, tempoh DEB sampai 1990 dan fasa pasca DEB 1991 hingga serangan Covid-19 2021 yang mengejutkan, dan fasa keempat bermula 2021-Pasca Covid, perubahan penyampaian pendidikan yang dipaksakan sewaktu perintah berkurung.

Perintah berkurung Covid mendesak masyarakat membuat introspektif tentang kehidupan, dan di dalamnya tidak ketinggalan hal pengajian tinggi – daripada kandungan, penyampaian, akses, teknologi, bahkan, falsafah asas pengajian tinggi juga tidak terlepas daripada pertimbangan semula.

Terkait akses, lulusan STPM dikatakan kurang mendapat tempat di universiti awam, terutamanya di universiti yang top dan untuk kursus profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan. Tiada isu untuk calon dari Matrikulasi dan Asasi.

Statistik menunjukkan pada 2024/2024 seramai 41,434 calon menduduki STPM dan 41,422 layak menerima sijil STPM. Untuk kemasukan 2025 sebanyak 8,612 berjaya mendapat tempat. Ini peningkatan seratus peratus daripada lima tahun lalu sebanyak 4,082.

Daripada seluruh permohonan ke universiti awam melalui STPM, diploma, matrikulasi dan lainnya yang berjumlah 109,866 sebanyak 78,883 berjaya. Dengan jumlah 8,612 calon berkelayakan STPM berjaya, bermakna 11 peratus adalah STPM. Maka sekumpulan masyarakat menuntut supaya lebih banyak tempat disediakan untuk calon STPM.

Isu pengajian tinggi adalah simptomatik kepada isu lebih besar daripada itu. Isu ini muncul dalam gabungan cerita kejayaan dan kegagalan gagasan negara Malaysia.

Dengan pendidikan tinggi telah terbukti sebagai medium yang paling berjaya mencapai sasaran DEB menyusun semula masyarakat berbanding medium lain, maka tidak hairan pendidikan tinggi mendapat perhatian utama.

Universiti awam berada dalam keadaan dilema. Sama ada menunaikan misi negara yang mahu menjana pendapatan melalui ‘edu-tourism’ yang ternyata sangat berjaya atau memenuhi tuntutan sebahagian masyarakat supaya ruang lebih banyak disediakan. Mudah menjawabnya. Besarkan lagi universiti awam sedia ada atau buka kembali moratorium UA pada bilangan 20 itu.

Yang lebih rumit adalah adanya motif-motif lain yang sukar dihurai di belakang tuntutan terkait isu akses ke universiti awam. Misalnya, pernahkah UM melakukan tracer studies, berapa banyak graduan kursus profesional, yang tidak lama setelah bergraduat terus berhijrah ke Singapura setelah Malaysia berbelanja banyak melatih mereka?

Penelitian hendaklah dilakukan dengan menyeluruh seperti Laporan Dr. Majid dan kertas usulan daripada pasukan Harvard yang diketuai oleh Profesor Faaland.

Tun Razak dengan pintar memanfaatkan pasukan Harvard bukan sahaja melaksanakan tindakan afirmatif, tetapi bersekali dengan pakej pengurusan soalan pihak awam, merangkumi sasaran lokal dan sasaran antarabangsa.

Tan Sri Nordin Kardi Ialah Komisaris Jakarta Business School, Jakarta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN