PERIKATAN Nasional (PN) kini berdepan saat genting dalam menentukan hala tuju politiknya.
Ditubuhkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020 setelah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS), gabungan ini muncul sebagai blok politik utama negara dalam masa yang singkat.
Namun, selepas empat tahun bertapak, kelangsungan PN kini bergantung kepada keberanian melakukan transformasi kepimpinan. Penyegaran kepimpinannya adalah keperluan strategik demi survival jangka panjang.
Sejak awal penubuhannya, jasa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat disangkal. Beliau ialah penggerak utama yang membawa PN keluar daripada krisis politik pasca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020.
Muhyiddin yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 memimpin negara di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19. Namun, hayat kerajaannya tidak panjang apabila terhenti pada 16 Ogos 2021 selepas hilang sokongan majoriti.
Meski begitu, kepimpinan beliau sepanjang tempoh tersebut menjadi batu asas kepada pembentukan PN sebagai entiti politik yang sah dan berdaya saing.
Walau bagaimanapun, realiti politik hari ini menuntut pembaharuan. Muhyiddin, 78 sebaya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Kedua-duanya merupakan tokoh veteran yang cukup berpengaruh tetapi usia yang semakin lanjut menghadkan kemampuan mereka untuk menjadi wajah utama PN dalam pilihan raya akan datang.
Tambahan pula, landskap politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu jelas memperlihatkan perubahan corak sokongan rakyat, khususnya generasi muda.
Rakyat mahukan pemimpin yang bukan sahaja berpengalaman tetapi juga bertenaga, berwibawa, berkarisma dan dekat dengan denyut aspirasi pengundi masa kini.
Dalam hal ini, kenyataan Abdul Hadi pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Alor Setar baru-baru ini amat signifikan. Beliau secara terbuka menyatakan dirinya tidak lagi layak menjadi perdana menteri sekiranya PN menang PRU16 kerana faktor usia.
Katanya, orang berusia lebih 70 tahun seperti beliau hanya sesuai menjadi penasihat, manakala kepimpinan negara harus diberikan kepada individu berusia bawah 70 tahun yang lebih kuat dan bertenaga.
Pengakuan ini memberi isyarat jelas era peralihan kepimpinan mesti berlaku demi kesinambungan perjuangan.
Perdebatan tentang usia kepimpinan bukanlah sesuatu yang asing di peringkat global.
Perlembagaan Iran, misalnya, menetapkan had umur maksimum 75 tahun untuk calon Parlimen.
Malaysia pula melalui Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan umur minimum 21 tahun untuk menjadi ahli Parlimen, tanpa sebarang had maksimum. Akibatnya, tidak ada mekanisme undang-undang yang mendorong penyegaran kepimpinan.
Walaupun cadangan pindaan untuk menetapkan had maksimum 70 atau 75 tahun mungkin sukar dilaksanakan dalam masa terdekat, wacana ini penting sebagai dorongan moral dan simbolik agar parti-parti politik, termasuk PN, lebih berani memberi ruang kepada pemimpin muda untuk tampil ke depan.
Dalam kerangka ini, PN perlu mengamalkan falsafah ‘daripada legasi ke kesinambungan’.
Legasi kepimpinan Muhyiddin dan Abdul Hadi perlu dihargai sebagai asas perjuangan tetapi kesinambungan mesti digerakkan melalui generasi pelapis yang lebih muda.
Muhyiddin, misalnya, masih boleh memainkan peranan penting sebagai penasihat PN. Malah, beliau boleh dijadikan model seperti Lee Kuan Yew di Singapura yang berundur daripada jawatan Perdana Menteri tetapi kekal sebagai Menteri Mentor, memberi bimbingan kepada barisan baharu.
Pendekatan sebegini bukan sahaja memastikan pengalaman dan kebijaksanaan tokoh lama tidak hilang begitu sahaja, malah memberi ruang kepada muka baharu menonjolkan kepimpinan.
Namun, penyegaran kepimpinan ini tidak boleh dilihat dari sudut individu semata-mata. Ia harus difahami sebagai strategi menyeluruh untuk menjamin kestabilan dan masa hadapan PN.
Sebagai sebuah gabungan, PN perlu mempamerkan imej kesepaduan. Perubahan kepimpinan akan mengurangkan polemik dalaman dan mengelakkan PN daripada kelihatan jumud.
Lebih penting lagi, ia akan meyakinkan rakyat yang PN matang, bersedia untuk memerintah dan berpandangan jauh.
Jika pemimpin baharu daripada Pas diberi kepercayaan untuk menerajui PN sebagai pengerusi, langkah ini akan membawa mesej gabungan itu terbuka dan sedia bergilir-gilir mengangkat tokoh daripada parti komponen.
Ini juga akan menafikan persepsi PN didominasi oleh satu pihak sahaja. Kepimpinan segar ini akan menjadi faktor penyatu, sekali gus membina keyakinan bukan sahaja dalam kalangan penyokong setia tetapi juga pengundi atas pagar yang menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya.
Realitinya, survival politik jangka panjang PN hanya boleh dijamin jika ia dilihat menawarkan alternatif masa hadapan yang lebih baik berbanding Kerajaan Perpaduan.
NOKTAH ISU DALAMAN
Episod perdebatan dalaman mengenai soal kepimpinan perlu segera ditamatkan. Rakyat kini lebih berminat dengan isu kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan dan hala tuju ekonomi negara berbanding polemik perebutan jawatan.
Jika PN terus terperangkap dalam soal dalaman, ia bukan sahaja membosankan rakyat, malah melemahkan keyakinan terhadap keupayaan gabungan itu.
Kesimpulannya, PN berada pada titik kritikal untuk menentukan masa hadapannya. Penyegaran kepimpinan bukanlah tindakan menolak jasa Muhyiddin atau Abdul Hadi, sebaliknya langkah strategik demi kelangsungan perjuangan.
Dengan menampilkan pemimpin baharu yang lebih muda, segar dan berwibawa, PN mampu memperkukuh kedudukannya sebagai alternatif politik yang serius.
Langkah berani ini akan memastikan PN kekal relevan, stabil dan bersedia memimpin negara. Daripada legasi kepada kesinambungan, inilah masa untuk PN membuktikan mereka bukan sekadar warisan tetapi juga harapan untuk masa hadapan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis politik tempatan.










