Bela nasib pelajar tiada kewarganegaraan

Bela nasib pelajar tiada kewarganegaraan

PELAJAR yang mempunyai dokumen pengenalan diri jauh lebih beruntung berbanding mereka yang tidak berdokumen terutamanya membabitkan akses kepada sekolah, kos pembelajaran, serta masa depan yang bakal mereka hadapi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUSAT Pembangunan Minda Insan (PPMI) Kampung Tagupi Laut merupakan pusat pendidikan yang didirikan oleh komuniti di kawasan Kampung Tagupi Laut, jauh di pedalaman Lahad Datu, Sabah. Kampung Tagupi Laut terkenal sebagai antara titik awal terbitnya matahari di Malaysia kerana kedudukannya yang terletak di bahagian paling timur negara.

Kampung ini dihuni oleh penduduk yang berdepan cabaran besar dari segi status kewarganegaraan. Sebahagian besar daripada mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan ini menjadikan mereka tergolong dalam kategori individu tanpa negara. Mereka merupakan masyarakat yang terpencil kerana perjalanan untuk ke kawasan tersebut dari bandar Lahad Datu menuju ke Kampung Tagupi Laut memakan masa hampir tiga jam.

Kewilayahan mereka menjadikan mereka bukan sahaja rentan kerana status perundangan yang kabur tetapi juga rentan kerana taraf sosioekonomi yang mencabar. Pun begitu, komuniti mereka kekal dengan sifat murni seorang rakyat Malaysia, dengan kesopanan dan kesantunan yang terkenal di mata dunia.

Pada 2 hingga 5 September yang lalu, saya mengikuti delegasi seramai 25 orang aktivis dari Semenanjung Malaysia dalam penganjuran siri keenam program #TagupiMembaca. Perjalanan kami membawa lebih 300 kilogram bahan bacaan dan alatan untuk peserta program yang bermula di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) menuju ke Tawau.

Setibanya di Lapangan Terbang Tawau, suasana menjadi lebih tenang berbanding hiruk-pikuk di Kuala Lumpur. Dari sini, perjalanan darat diteruskan dengan menaiki van menuju ke Lahad Datu pula. Perjalanan mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam bergantung kepada keadaan jalan. Sepanjang perjalanan, saya merasakan bersyukur kerana daerah-daerah besar di Semenanjung Malaysia rata-rata telah dihubungkan lebuhraya yang diselenggara baik. Berbeza sekali keadaan di bumi Sabah.

Walaupun agak jauh, pemandangan sepanjang perjalanan sangat indah kerana laluan dikelilingi ladang kelapa sawit, hutan hijau, serta gunung-ganang. Untuk sampai ke Kampung Tagupi Laut, sebahagian perjalanan darat perlu ditempuh di atas jalan yang tidak berturap, menjadikan laluan tersebut agak mencabar terutama ketika musim hujan memandangkan ada jalan yang berlubang terlalu besar dan dalam sehingga tayar kenderaan tidak dapat melepasi halangan.

Sudah tentu halangan begini turut menyulitkan lagi kehidupan para penduduk kampung untuk keluar masuk ke bandar bagi mendapatkan keperluan asas. Memahami realiti sebenar di lapangan, saya dapat bersimpati dengan cabaran hidup mereka bagi menggamit sehelai dokumen pengenalan diri.

Sebagai pelajar yang membesar dan belajar di Kuala Lumpur, saya melihat dengan jelas bahawa tidak semua dapat menikmati peluang pendidikan yang setara. Hidup di bandar besar ini membuka mata saya terhadap realiti bahawa pelajar yang mempunyai dokumen pengenalan diri jauh lebih beruntung berbanding mereka yang tidak berdokumen. Perbezaan ini begitu ketara, terutamanya apabila membabitkan akses kepada sekolah, kos pembelajaran, serta masa depan yang bakal mereka hadapi.

Pelajar yang berdokumen tidak menghadapi banyak halangan untuk memasuki dan belajar di sekolah kerajaan. Kami boleh belajar dalam keadaan yang selesa, menerima buku teks secara percuma, dan menikmati yuran yang lebih rendah kerana subsidi kerajaan. Lebih utama daripada itu, sijil peperiksaan kami diiktiraf, sekali gus ia membuka peluang yang luas untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan mahupun luar negara.

Malah, jika kami tidak mendapat tempat di menara gading, aduan kami akan diangkat sebagai berita semasa dan dibahaskan ramai orang. Kami juga berpeluang untuk memohon biasiswa dan bantuan yang lain untuk membantu meringankan beban keluarga. Semua ini menjadikan laluan pendidikan kami lebih terjamin.

Namun, keadaan berbeza bagi pelajar yang tidak berdokumen. Ada antara mereka langsung tidak diterima di sekolah kerajaan hanya kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri. Ramai yang akhirnya bergantung pada sekolah alternatif yang diusahakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pusat komuniti. Walaupun usaha ini murni, namun sumber mereka sangat terhad, malah akhirnya sijil yang diberikan tidak selalu diiktiraf secara rasmi.

Jika mereka diterima di institusi formal sekalipun, mereka sering dikategorikan sebagai pelajar asing dan dikenakan yuran yang sangat tinggi. Ini meletakkan pendidikan sebagai sesuatu yang sukar dicapai, apatah lagi untuk mereka yang datang daripada keluarga miskin.

Melihat keadaan ini, saya mula menyedari betapa bertuahnya menjadi pelajar yang berdokumen. Saya amat bersimpati terhadap nasib pelajar yang tidak berdokumen pengenalan diri kerana mereka juga mempunyai cita-cita dan semangat yang tinggi sama seperti kami. Bezanya hanyalah pada sehelai dokumen. Realiti ini membuatkan saya berfikir bahawa pendidikan sepatutnya menjadi hak semua anak, tanpa mengira latar belakang dan status dokumentasi mereka.

Selain itu, semasa program siri keenam berjalan, ibu bapa di kawasan tersebut turut didedahkan kepentingan memiliki kad pengenalan bagi memastikan anak-anak mereka tidak mewarisi nasib yang sama. Pendedahan ini amat penting kerana ada ibu bapa kurang mengetahui mengenai prosedur pendaftaran kelahiran dan dokumen rasmi. Dengan adanya kesedaran ini, diharapkan generasi akan datang tidak lagi berdepan halangan yang sama untuk menikmati hak pendidikan.

Isu ini perlu ditangani dengan segera agar sistem pendidikan negara terus berkembang secara inklusif. Setiap anak adalah aset negara yang perlu dibimbing tanpa mengira latar belakang atau status dokumen. Pendidikan adalah asas masa depan negara, dan setiap anak wajar mendapat peluang yang sama tanpa mengira status. – UTUSAN

PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca, program amal yang menyalurkan bahan pembelajaran untuk komuniti tidak bernegara di Sabah dan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz MAIWP (SMISTA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×