ADAKAH kebergantungan manusia kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) akan menjadikan kita semua lebih malas? Inilah di antara persoalan yang sering diperdebatkan apabila kita berbicara tentang pengaruh teknologi AI terhadap kehidupan manusia.
Persoalan ini tidak menghairankan memandangkan teknologi AI diguna pakai secara meluas dalam kehidupan manusia hari ini, khasnya melalui penggunaan telefon pintar dan komputer.
Justeru, AI boleh diibaratkan sebagai pembantu setia yang berada di hujung jari. Dengan kecanggihan teknologinya, AI mampu membantu kita melakukan pelbagai tugasan tanpa mengira waktu.
Malah, sehinggakan ada yang bergantung kepada AI untuk mendapatkan nasihat dan pedoman, serta untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi, termasuklah masalah yang sangat serius.
Bulan lepas, saya dijemput oleh Institut Pengajian Termaju Kemampanan Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IAS) untuk menjadi salah seorang panel bagi sebuah rancangan audio siar dalam talian mereka bertajuk, AI dan Kemampanan.
Dalam episod bersempena dengan sambutan Hari Belia, saya bersama-sama dua orang lagi panel terdiri daripada pelajar pascasiswazah dari Kenya dan Jerman telah berbincang tentang hal ini, khasnya persoalan sama ada AI menjadikan kita pemikir malas.
Dalam program audio siar tersebut, secara umumnya kami semua bersetuju bahawa kesan penggunaan teknologi ini kepada manusia adalah bergantung kepada niat dan tujuan kita dalam menggunakan AI, serta sejauh mana kita memahami ciri-ciri yang ada pada teknologi canggih ini.
Masalah berkenaan AI berpunca daripada cara dan tujuan penggunaannya dan bukannya daripada sudut teknologinya.
Perbincangan ini turut membuka ruang untuk kami berkongsi pengalaman serta menilai penggunaan AI daripada perspektif berbeza berdasarkan pengalaman masing-masing.
Perkara yang paling penting ialah kita mesti memahami bagaimana teknologi ini dicipta dan di manakah kelemahannya supaya kita tidak terperangkap dalam dunia khayalan yang palsu ciptaan AI.
Sebenarnya, seronok juga bereksperimen dengan teknologi AI ini. Sebagai contoh, saya pernah bertanya kepada AI berkenaan sebuah kes berkaitan undang-undang kontrak ketika sedang mengulang kaji mata pelajaran tersebut menjelang hari peperiksaan.
AI memberikan saya sebuah jawapan panjang yang sangat meyakinkan. Ia lengkap dengan rujukan-rujukan kes yang berkaitan, termasuk implikasinya merujuk kepada undang-undang kontrak, perjalanan kes serta bagaimana kes tersebut bermula.
Namun realitinya, jawapan panjang lebar daripada AI itu hanyalah sekadar cerita rekaan khayalan AI semata-mata. Malah kes-kes yang dihuraikan secara terperinci itu juga sebenarnya tidak pernah wujud di dunia nyata.
Maka, bayangkanlah apa yang terjadi jika ada di antara kita yang hanya bergantung sepenuhnya kepada maklumat daripada AI tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan maklumat yang diberikan.
Hal sebegini sering terjadi kepada para pelajar yang menggunakan AI sebagai jalan mudah untuk menyiapkan tugasan dan sebagai bahan rujukan ketika membuat ulang kaji untuk menghadapi peperiksaan.
Ramai pelajar yang mencari jalan pintas sebegini tidak sedar bahawa mereka telah ditipu oleh AI kerana mereka mempercayai AI sebagai sumber fakta yang benar.
Begitu juga dengan mereka yang menyerahkan bulat-bulat kepada AI untuk menjawab soalan, membuat kertas kerja, usul dan sebagainya bagi pihak mereka.
Justeru, jika mereka sanggup mengarahkan AI untuk berfikir bagi pihak mereka, maka mereka bukan sekadar akan menjadi pemikir malas tetapi akhirnya mereka mungkin tidak lagi mampu berfikir secara kritis.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa AI ialah suatu teknologi hebat yang banyak membantu para pelajar. Namun, kita juga harus sedar bahawa penggunaan AI secara membuta-tuli itu buruk padahnya, apatah lagi apabila tidak semua maklumat yang diberikan oleh AI itu benar-benar betul.
AI dicipta untuk memberi jawapan kepada apa sahaja soalan dengan dimasukkan, berdasarkan maklumat yang ada dalam pangkalan datanya. Hakikatnya, AI tidak mampu berfikir sekompleks kemampuan akal manusia.
Sebenarnya, kita menjadi pemikir malas akibat tindakan kita sendiri dan bukannya disebabkan oleh faktor AI. Bahkan, jika digunakan dengan bijak, penggunaan AI akan menolong memacu kerja kita dengan lebih baik serta menjadikan kita berfikir secara lebih kritis dan pantas.
Peluang melawat negara Jepun untuk pertama kalinya dua minggu yang lalu memberikan saya perspektif baharu tentang cara penyepaduan teknologi canggih dalam kegiatan harian di negara tersebut.
Sebagai seorang yang meminati bidang sosiobudaya, salah satu perkara yang selalu saya perhatikan apabila berada di luar negara ialah budaya dan perilaku dalam kalangan masyarakat setempat. Maka, itulah yang saya lakukan ketika berada di Osaka dan Tokyo baru-baru ini.
Sebagai sebuah negara yang sangat maju, Jepun mempraktikkan kecanggihan teknologinya bagi memberikan perkhidmatan yang cekap seperti mesin swakendali automatik yang digunakan untuk berbagai-bagai perkara.
Lebih menarik lagi, meskipun mereka banyak berikan tumpuan kepada perkembangan teknologi moden, namun secara lazimnya ia tidak terputus daripada unsur keinsanan dalam perkhidmatan yang diberikan.
Sebagai contohnya, walaupun di kedai terdapat mesin pembayaran swakendali untuk diguna oleh para pelanggan, namun juruwang tetap akan ada di kaunter untuk membantu pelanggan.
Ini bermakna mesin tersebut hanyalah untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan juruwang, dan bukan untuk menggantikan mereka secara sepenuhnya.
Begitu juga dengan urusan di hotel. Walaupun proses pendaftaran masuk bilik dilakukan sendiri oleh para pelanggan dengan menggunakan mesin yang disediakan, namun kakitangan hotel sentiasa berada di situ dan sentiasa bersedia untuk memberi bantuan.
Reka bentuk teknologi mereka dibina dalam kerangka keinsanan, bukan kecanggihan kosong semata-mata. Lazimnya di barat, keperluan manusia akan berkiblatkan kemajuan teknologi, tetapi pemikiran mereka lebih cenderung ke arah kemajuan berkiblatkan keperluan manusia.
Pandangan serta falsafah sebeginilah yang membolehkan sebuah masyarakat terus ke depan dengan kemajuan baharu tanpa menggadaikan nasib insannya. Jika kita dapat mengubah persepsi kita tentang kemajuan sebegini, maka tiada perlunya untuk kita risau lagi tentang masalah AI kelak. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










