BAGI rakyat Malaysia yang cintakan negara, identiti menjadi kebanggaan kita. Ia merupakan lambang maruah negara yang mesti diangkat dan sentiasa dipertahankan semua pihak, khasnya di bumi Malaysia.
Sememangnya hal ini amat dekat di hati dan sering dizahirkan dengan penuh bersemangat setiap kali isu ini dibangkitkan.
Namun, dalam membicarakan hal ini, tidak dinafikan ada segelintir pihak yang terperangkap dalam kitaran omongan kosong. Seperti kebiasaan, ada juga yang lantang bersuara semata-mata untuk kelihatan hebat, walhal hakikatnya tidak mampu menyentuh inti sebenar permasalahan.
Maka timbul persoalan seterusnya, apakah sebenarnya identiti Malaysia? Adakah ia sekadar dinilai melalui budaya bersarapan roti canai, merarau dengan nasi lemak dan menjamu selera kuetiau di waktu malam?
Identiti ialah jati diri, iaitu sifat atau ciri istimewa yang menjadi teras keperibadian seseorang itu, sama ada secara sendiri mahupun berkelompok. Maka pemahaman tentang maksud mendalam jati diri itu harus disertai dengan penghayatan lagi agar kita sedar akan kepentingannya.
Tidak cukup sekadar penuh semangat jika tidak diterjemahkan kepada kesedaran mendalam tentang bagaimana patut kita bertindak kelak.
Sebagai contoh, bendera sebagai identiti utama negara bukan sekadar perlu dikibarkan dengan semangat tetapi juga dihormati kerana ia merupakan lambang negara.
Apabila membicarakan soal tidak menghormati bendera, seperti memasangnya secara terbalik, yang kita junjung bukanlah kain bendera itu sendiri tetapi makna dan nilai di sebaliknya yang menjadikannya wajar dihormati.
Samalah juga, bila berbincang tentang identiti masyarakat, bukanlah kita mahu bernostalgia tentang sifat diri semata-mata. Sebaliknya, mencari nilai baik di sebaliknya yang boleh membawa kita ke hadapan.
Sekadar merasa bangga tidak cukup membawa faedah. Ini kesilapan yang sering dilakukan. Contohnya, dalam pemerkasaan budaya tulisan Jawi.
Dua minggu lalu, saya berada di Kelantan yang sejak lama dahulu menguatkuasakan tulisan Jawi pada seluruh papan tanda di sana.
Walaupun merasakan inisiatif itu bagus, namun malangnya, kesilapan Jawinya berlambak-lambak.
Bukan sekadar kesalahan ejaan tetapi lebih parah lagi ada yang menulis dari kiri ke kanan, dengan hurufnya tidak bersambung.
Sebelum keluar dari lapangan terbang lagi saya melihat begitu banyak kesalahan tulisan Jawi di dalam bangunan tersebut.
Apakah maknanya menggunakan tulisan Jawi jika hanya semakin merosakkan warisan? Jika jati diri itu dirosak-rosakkan, bagaimana ingin kita memeliharanya? Di manakah nilainya jika kita semakin mengeruhkan lagi keadaan?
Maka persoalan seterusnya mungkin bertanya, apakah identiti Malaysia sebenarnya? Adakah ia sekadar bersarapan roti canai, merarau nasi lemak dan makan kuetiau di malam hari?
Sering kali kita terlepas pandang nilai sebenar jati diri dan mengapa patut mempunyai kesedaran tentangnya. Sebagai contoh, apabila sebut tentang Rukun Negara, ia bukan sekadar prinsip bimbingan agar hidup kita lebih aman dan damai.
Sebaliknya, ia menggambarkan teras masyarakat yang wujud sejak sekian lama. Begitu juga integral untuk memastikan daya terusnya.
Kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan – prinsip-prinsip ini bukan baharu untuk kita. Sebaliknya, ia merupakan ciri-ciri masyarakat di rantau ini yang sudah lama wujud dan menjadi tunjang kita semua.
Sebelum wujudnya Malaysia, kita masih merupakan masyarakat beraja, berundang-undang, yang hidup atas kepercayaan kepada yang Maha Kuasa serta bermoral tinggi.
Sifat-sifat ini menjaminkan keamanan di sekitar rantau ini walaupun dalam pergelutan dengan kuasa-kuasa luar yang ingin menjajah.
Benar, bukan semuanya berjalan dengan sempurna. Semegah-megah Kesultanan Melaka juga tertewas akibat penderhakaan rakyat sendiri. Tetapi dari inilah kita mengambil pengajaran dan terus memperjuangkan nasib sehingga berjaya menolak gagasan Malayan Union lalu menubuh sebuah negara yang merdeka lagi berdaya saing.
Kejayaan itu adalah disebabkan prinsip-prinsip yang menjadi sebahagian daripada jati diri masyarakat ini.

HARGAI BUDAYA
Pada era pengglobalan dunia di mana budaya sekitar mula bercampur aduk, masyarakat berisiko kehilangan jati diri kerana tertarik dengan budaya luar.
Namun, sedarlah bahawa kita adalah diri sendiri dan tidak semua budaya sesuai untuk diterapkan dalam setiap masyarakat. Di sinilah letaknya kepentingan menghargai keunikan masing-masing.
Kesejahteraan kita terletak pada nilai-nilai yang berbeza. Di Perancis sebagai contoh, sejarah mereka dipenuhi perebutan kuasa dan pertumpahan darah, terutamanya dengan pemberontakan Perancis pada hujung 1700-an.
Malah, setelah pemberontakan tersebut mereka terus mempunyai lebih banyak perebutan kuasa yang melibatkan keganasan, dan itulah yang mereka angkatkan sebagai perjuangan demi kemerdekaan.
Sebaliknya di Malaysia, kita dapat menubuhkan negara yang merdeka tanpa banyak pertumpahan darah. Walaupun terdapat beberapa insiden seperti pembunuhan J.W.W. Birch yang juga menjadi sebahagian daripada sejarah, umumnya negara ini tidak mencapai matlamat melalui senjata sebaliknya kata-kata.
Terdapat usaha beberapa anasir yang cuba menggunakan keganasan untuk berjuang. Malah ada yang bekerjasama dengan pihak Jepun yang mengganas seperti Si Kitol berkomplot dengan Portugis.
Namun secara umumnya, masyarakat kita menolak cara ini kerana ia bukanlah budaya rakyat di sini.
Budaya dan jati diri yang berteraskan akhlak dan kedamaian inilah menjadi kekuatan sehingga kini. Sifat ihsan dan hormati-menghormati dalam diri menjadi sebahagian besar daripada budaya yang mencetuskan kesejahteraan masyarakat agar kita berdaya terus.
Inilah sebenarnya yang dimaksudkan apabila bercerita tentang pemeliharaan jati diri. Segala unsur yang membentuk diri inilah yang menjadi kita sebuah negara maju, aman dan makmur hari ini.
Kita bukan melihat jati diri daripada rupanya semata-mata. Ia merupakan sesuatu yang perlu dihayati nilainya demi meneruskan sebuah Malaysia yang sejahtera.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










