DALAM landskap politik Malaysia yang sentiasa bergelora sejak 2018, satu perkara yang jarang mendapat perhatian serius daripada rakyat adalah kualiti ucapan perbahasan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Padahal, di situlah sepatutnya menjadi medan tertinggi bagi wakil rakyat mempamerkan pemikiran, kefahaman dan wawasan mereka dalam membentuk dasar demi kepentingan rakyat.
Perbahasan di Dewan bukan sekadar ritual demokrasi, malah ia adalah platform rasmi untuk membentangkan hujah, mengkritik polisi, mengemukakan cadangan selain menyuarakan kebimbangan rakyat di kawasan masing-masing.
Dalam sejarah politik moden, ucapan-ucapan hebat sering menjadi titik tolak perubahan besar dalam sesuatu keputusan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Ucapannya tidak berlu berdegar-degar atau menjerit-jerit. Tetapi isi kandungan ucapan yang sebenarnya memerlukan pengisian dan persediaan awal supaya ia nampak lebih berstruktur. Ucapan yang berstruktur ini membolehkan supaya mesej yang hendak disampaikan berjaya disampaikan kepada sasaran pendengar atau rakyat.
Malangnya, dalam realiti politik Malaysia hari ini, kita jarang melihat ucapan di Dewan yang memberi impak sedemikian. Apatah lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri. Lebih malang, ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri yang ucapannya bertaraf rendah, budak universiti pun mampu memberi ucapan yang lebih baik daripada sesetengah daripada mereka.
Saya akui secara peribadi, sudah lama saya tidak memberi perhatian mendalam terhadap ucapan di mana-mana peringkat Dewan Undangan Negeri. Sebabnya mudah, ini kerana ia terlalu banyak ucapan yang hambar, kurang persediaan dan lebih sarat dengan retorik politik partisan berbanding fakta yang boleh membawa manfaat kepada rakyat. Ada ucapan yang penuh emosi, ada yang meleret tanpa hala tuju, malah ada yang lebih layak dianggap ceramah politik berbanding wacana rasmi pembuat dasar.
Namun, pada sidang DUN Negeri Sembilan kali ini, pengalaman saya sedikit berbeza. Kebetulan, seorang sahabat di dalam Facebook telah kongsikan pautan siaran langsung sidang DUN di Negeri Sembilan. Lantas, saya ambil keputusan untuk membuka dan menghayatinya satu persatu.
Yang menarik perhatian saya adalah ucapan perbahasan yang disampaikan oleh seorang wakil rakyat atau ADUN dari Johol. Beliau ialah Datuk Saiful Yazan Sulaiman. Ucapan perbahasannya tidak perlu menjerit-jerit, tetapi seperti yang saya kata awal tadi, kandungan ucapannya sarat dengan pelbagai mesej yang cuba disampaikan. Dari pemilihan bahasanya hinggalah kepada kandungan ucapannya, semuanya sangat profesional dan berkualiti tinggi. Walaupun hanya sekadar sidang DUN, tetapi tidak keterlaluan diperkatakan bahawa kualitinya lebih baik daripada penyampaian Yang Berhormat kita di Dewan Rakyat yang sepatutnya lebih baik.
Ketika perbahasan pada 8 Ogos lalu, ADUN Johol berkenaan sedang membahaskan mengenai pelantikan untuk mengangkat nama Ahli Dewan Negara yang hendak dicadangkan oleh DUN dari Negeri Sembilan.
Terus terang, saya kagum mendengarnya. Di tengah kekecewaan saya terhadap kualiti ucapan wakil rakyat kebelakangan ini, saya menemui satu contoh perbahasan yang tersusun rapi, fokus dan sarat dengan mesej yang bernilai.
Ucapan beliau dalam perbahasan pelantikan Ahli Dewan Negara, misalnya, menunjukkan kemahiran mengaitkan isu teknikal dengan gambaran besar politik negeri dan negara. Beliau menyentuh soal perpaduan, kestabilan politik serta mesej kerjasama antara parti yang ingin dihantar kepada rakyat. Pendekatan ini mengingatkan saya kepada amalan di beberapa Parlimen di negara maju seperti New Zealand, Kanada atau United Kingdom, di mana ahli Parlimen sering menghubungkan isu lokal dengan implikasi nasional dan antarabangsa, tanpa kehilangan fokus terhadap kepentingan rakyat.
Contohnya, di Parlimen New Zealand, setiap kali rang undang-undang dibentangkan, ahli Parlimen yang berwibawa akan meneliti implikasinya bukan sahaja kepada pengundi di kawasan mereka, tetapi juga kepada ekonomi dan diplomasi negara secara keseluruhan. Di UK pula, tradisi maiden speech bagi ahli Parlimen baharu menjadi contoh bagaimana seorang wakil rakyat memperkenalkan dirinya dengan ucapan yang tersusun, sopan, tetapi penuh isi.
Kualiti seperti ini amat penting kerana perbahasan di Dewan bukan sekadar formaliti untuk mengisi masa sidang, tetapi merupakan peluang untuk mempengaruhi dasar, memberi perspektif baharu dan membimbing rakyat memahami isu sebenar. Di negara-negara dengan tradisi demokrasi matang, ucapan yang bersandarkan fakta, analisis mendalam serta visi yang jelas menjadi ukuran prestasi seorang wakil rakyat.
Ia bukan sahaja meningkatkan kredibiliti individu tersebut tetapi juga mengangkat martabat institusi yang mereka wakili. Sebaliknya, apabila kualiti perbahasan merosot, rakyat akan hilang minat untuk mengikuti sidang Dewan apatah lagi Dewan Undangan Negeri. Ini adalah hakikat yang saya sendiri rasakan.
Bertahun-tahun saya kurang memberi perhatian kerana ucapan-ucapan yang didengar sering mengecewakan. Tetapi pengalaman mendengar ucapan ADUN Johol kali ini membuatkan saya kembali percaya bahawa masih ada harapan untuk budaya perbahasan berkualiti hidup semula di negara kita.
Bukan soal bersetuju atau tidak dengan semua hujah beliau. Tetapi, ia adalah soal kesungguhan membuat persediaan, memahami isu secara menyeluruh dan menyampaikannya dengan bahasa yang jelas, sopan, tetapi tegas. Itulah yang wajar menjadi contoh, sama ada kepada wakil rakyat di peringkat negeri mahupun Parlimen.
Akhirnya, kita harus sedar bahawa setiap ucapan Yang Berhormat membawa kesan langsung kepada rakyat. Ia mempengaruhi keputusan dasar, pengagihan sumber, dan hala tuju negeri atau negara. Justeru, kualiti perbahasan bukan perkara kecil, tetapi inti pati kepada demokrasi yang sihat.
Di sinilah peranan media dan rakyat menjadi penting. Media perlu memberi ruang dan liputan kepada ucapan yang berkualiti. Bukan sekadar menonjolkan pertikaman lidah atau drama politik yang mengundang sensasi. Rakyat pula harus belajar menilai wakil rakyat bukan kerana populariti atau gaya, tetapi berdasarkan kandungan dan mutu perbahasan mereka.
Jika budaya menghargai ucapan berkualiti ini dapat dipupuk, saya yakin ia akan menjadi tekanan positif kepada semua wakil rakyat untuk lebih bersedia, lebih fokus dan lebih bertanggungjawab dalam setiap perkataan yang mereka ucapkan di Dewan. Dan mungkin, suatu hari nanti, kita akan melihat Dewan-dewan kita dipenuhi suara yang matang, bernas dan benar-benar berpihak kepada rakyat.
Bukan sekadar berpihak kepada politik. Kepada warga penduduk di kawasan DUN Johol, tahniah anda mempunyai seorang wakil rakyat yang bijak berbahas ketika mewakili anda di sidang Dewan.
Setidak-tidaknya, Yang Berhormat anda teliti serta memahami kehendak anda semua dan ia berjaya disampaikan dalam medium rasmi dengan baik. Tahniah Johol. – UTUSAN










