Siapa Mossad sebenarnya?

Siapa Mossad sebenarnya?

MOSSAD dipertanggungjawabkan kepada tugas pengumpulan maklumat risikan, operasi sulit dan melawan keganasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Mossad sekali lagi jadi ‘popular’ baru-baru ini.

Walaupun setiap negara mempunyai agensi perisikan masing-masing, Mossad jadi tumpuan di Malaysia berbanding agensi perisikan lain seperti agensi keselamatan utama Russia (FSB) atau Military Intelligence, Section 6 (MI6) dari United Kingdom (UK).

Saya pasti nama salah satu agensi perisikan Israel ini menjadi sebutan selepas pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL), Dr. Fadi M. R. Albatsh Fatma, penahanan Avitan Shalom dan ancaman sebagaimana yang disebut-sebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Sebenarnya, selain Mossad terdapat tiga agensi perisikan Israel yang lain iaitu AMAN (perisikan tentera), Shin Bet (agensi perisikan keselamatan dalam negeri Israel) dan agensi perisikan pusat penyelidikan politik di bawah Kementerian Luar Negara Israel.

Nama penuh Mossad ialah HaMossad Lemodi’in Ule Tafkidim Meyuhadim yang bermaksud Institut Perisikan dan Operasi Khusus dengan dipertanggungjawabkan kepada pengumpulan maklumat risikan, operasi sulit dan melawan keganasan.

Ditubuhkan pada 13 Disember 1949, Mossad pada awalnya berperanan sebagai Institut Pusat Koordinasi dengan nasihat Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ben Gurion.

Mossad ketika itu juga ditubuhkan untuk menjadi koordinasi antara Shin Bet dan AMAN.

Bagaimanapun, pada tahun 1951, Mossad telah dibahagi kepada beberapa pecahan jabatan dan unit.

Antaranya unit Kidon (misi pembunuhan) dan Metsada (operasi berisiko tinggi, operasi luar negara dan sabotaj).

Di samping itu, Mossad juga mempunyai jabatan lain seperti penyelidikan, teknologi, perhubungan politik dan pengumpulan maklumat.

Ejen Mossad turut dikenali sebagai Ktsin Issuf (Katsa) dengan bermaksud pegawai maklumat.

Semua pegawai ini menerima latihan selama beberapa tahun seperti cara merekrut ejen, berkomunikasi, latihan senjata api, melawan tindak balas risikan musuh.

Pegawai yang berjaya menamatkan latihan kemudiannya akan diberi tugasan mengikut misi-misi tertentu.

Malah, berdasarkan pendedahan bekas pegawai Mossad iaitu Victor Ostrovsky, terdapat banyak operasi melibatkan Mossad termasuk pembunuhan pemimpin sesebuah negara terutama Palestin, penyamaran sebagai ejen perisikan negara lain (False Flag Operation), merekrut dan memanipulasi manusia menerusi psikologi dan komunikasi manusia, sexpionage (hubungan seks untuk mendapatkan maklumat).

Sementara itu, antara operasi Mossad seluruh dunia yang didedahkan dan cukup terkenal ialah Operasi Moses, Our Man in Damascus, Operasi Noa dan Mivtza Yahalom (Operasi Berlian).

Operasi Moses
Objektif utama dalam operasi ini ialah membawa keluar orang Yahudi Ethiopia dari Sudan ke Israel selepas berlaku kebuluran dan ancaman pembunuhan di negara berkenaan.

Golongan Yahudi Ethiopia ini asalnya melarikan diri ke Sudan selepas berlaku kebuluran teruk di Ethiopia dan perang saudara.

Namun, disebabkan keadaan, lebih 8,000 golongan terbabit perlu dibawa keluar. Ejen Mossad telah menyamar dengan membuka sebuah resort di Laut Merah sebelum menyeludup keluar pelarian tersebut menerusi Brussels, Belgium.

Operasi ini dilaksanakan dengan penuh terancang termasuk daripada mulanya pembukaan resort berkenaan, proses mengenal pasti Yahudi Ethiopia sehingga ke proses evakuasi.

Operasi ini telah difilemkan menerusi tajuk The Red Sea Diving Resort pada tahun 2019.

Our Man in Damascus
Kisah mengenai perisik Israel iaitu Eli Cohen yang menyusup ke Syria sebagai ahli perniagaan bagi mendapatkan maklumat di negara tersebut pada tahun 1960.

Beliau juga antara perisik yang hampir-hampir menjadi Presiden Syria selepas berjaya membina hubungan rapat dengan pemimpin politik dan tentera Syria, termasuk pegawai tertinggi Parti Ba’ath dan menteri kanan.

Eli Cohen berjaya menemui maklumat penting iaitu lokasi kubu pertahanan Syria di Dataran Golan, yang menjadi faktor utama kejayaan Israel dalam Perang Enam Hari 1967.

Beliau kemudiannya ditangkap dan dihukum mati pada 18 Mei 1965. Kisah beliau turut difilemkan dalam kisah berjudul The Spy.

Operasi Noa
Saya difahamkan operasi ini sebenarnya merupakan operasi yang dilaksanakan oleh tentera laut Israel dengan menetapkan objektif utama untuk melarikan lima buat bot penyerang laju SAAR 3 dari pelabuhan Cherbourg, Perancis.

Semua bot ini telah ditahan di Perancis ekoran sekatan yang dikenakan kerajaan negara berkenaan yang ketika itu dipimpin oleh Charles de Gaulle walaupun pembayaran telah pun dilaksanakan Israel.

Namun, apa yang menarik, helah yang digunakan untuk melarikan kapal tersebut dengan perancangan rapi menemukan kejayaan.

Antara helah yang digunakan termasuk penyamaran komersial menerusi penubuhan syarikat awam, kononnya pembelian kapal tersebut untuk kegunaan komersial. Selain itu, sebuah kapal milik tentera laut Israel turut ditempatkan di tengah laut bagi tujuan pengisian minyak sebelum tiba di Pelabuhan Haifa.

Mivtza Yahalom (Operasi Berlian)
Operasi dilaksanakan pada tahun 1960 dengan bertujuan melarikan jet pejuang MiG-21 Mesir. Ia bertujuan mendapatkan setiap inci maklumat pesawat buatan Kesatuan Soviet yang dikatakan antara tercanggih pada masa itu.

Antara maklumat diperlukan termasuk kelajuan, sistem persenjataan dan keupayaan tempur. Percubaan pertama Mossad ketika itu ialah dengan merasuah juruterbang untuk menerbangkan pesawat berkenaan ke Israel.

Namun, percubaan pertama itu gagal sehinggalah mendapat bantuan daripada seorang juruterbang Iraq bernama Munir Redfa.

Beliau dijanjikan kewarganegaraan Israel, pampasan wang tunai dan keluarga beliau diseludup keluar Iraq oleh Mossad. Dan akhirnya jet MiG‑21 itu akhirnya mendarat di pangkalan udara Israel. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×