KES kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah pada 16 Julai lalu menyedarkan seluruh rakyat tentang gejala buli yang masih wujud kini.
Walaupun setakat ini belum dapat disahkan 100 peratus wujud kejadian buli, laporan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah selari dengan diagnosis awal iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak konsisten dengan jatuh.
“Kecederaan yang ditemukan adalah selari dengan dapatan awal yang menunjukkan ia konsisten insiden jatuh,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, kelmarin.
Rupanya, buli ini bukan hanya bersifat domestik di Malaysia. Baru-baru ini, Indonesia dikejutkan dengan insiden tragis membabitkan seorang anggota tentera muda, Prada Lucky Chepril Saputra Namo, yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul oleh kira-kira 20 orang seniornya di kem tentera di Nusa Tenggara Timur (NTT).
Mangsa yang baru dua bulan berkhidmat bersama Batalion TP 834/WM Nagekeo, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Aeramo pada Rabu lalu, selepas empat hari menerima rawatan intensif akibat kecederaan parah.
Buli adalah perbuatan menzalimi orang lain melalui kata-kata, tindakan atau perbuatan yang menyebabkan penderitaan fizikal, mental, atau emosi. Dalam konteks moden, buli boleh berlaku di sekolah, tempat kerja, komuniti dan di alam maya. Dalam Islam, segala bentuk penindasan adalah haram dan bertentangan dengan nilai rahmah (kasih sayang) serta keadilan.
Pandangan Islam Tentang Buli
Buli adalah zalim. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Takutlah kamu kepada kezaliman, kerana kezaliman itu akan menjadi kegelapan pada hari kiamat. (Riwayat Muslim)
Namun, demikianlah manusia apabila hilang kewarasan, tindakannya kadangkala lebih buruk daripada haiwan. Lebih parah lagi, hilang sifat kemanusiaan, jadi sifat kebinatangan.
Seorang penulis dan pemikir Islam terkenal, Profesor Dr. Muhammad Qutb berkata, kezaliman bukan sekadar menyakiti tubuh tetapi merobohkan struktur akhlak dan nilai kemanusiaan. Dan buli adalah bentuk kekerasan yang paling merosakkan jiwa kerana ia menjadikan manusia memusuhi dirinya sendiri.
Semua sifat dan perbuatan buli ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Secara etimologi, perkataan “Islam” berasal dari bahasa Arab iaitu aslama (aslama, yuslimu, islaman) yang diambil daripada kosa kata salima bererti selamat dan sentosa. Perkataan aslama mengandungi maksud memelihara dalam keadaan selamat, taat, tunduk patuh dan berserah diri. (H. Abuddin Nata, 2011, Studi Islam Komprehensif, Jakarta: Kencana Prenada Media Group).
Nabi Muhammad SAW sering menegaskan agar umatnya bersifat kasih sayang dan belas ihsan kepada makhluk lain dalam banyak hadis.
Antaranya, daripada Abdullah bin Amru r.a bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Orang yang bersifat kasih adalah mereka yang mempunyai rasa kasih dan belas terhadap makhluk Allah di dalam hatinya terutama sesama muslim. Ia sebagaimana sifat sahabat Nabi SAW yang digambarkan dalam al-Quran: Bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam dan sebaliknya) bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). (al-Fath: 29)
Sabdanya lagi: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Untuk menangani gejala buli, hendaklah kita terutama ibu bapa sentiasa menyemai dan mendidik anak-anak dengan rasa kasih dan sayang sesama insan. Jangan diajar dan dibiasakan anak-anak dengan kekasaran dan dendam.
Antaranya dengan sentiasa mengamalkan ucapan Bismillahirrahmanirrahim. Ucapan yang ringkas dan mudah ini sangat banyak manfaatnya dalam membentuk keperibadian seseorang terutama dalam mendidik anak-anak.
Kalimah ini bukan sekadar pembuka ayat, tetapi membawa makna yang sangat besar: Bahawa Allah memulakan segala sesuatu dengan kasih sayang-Nya. Amalkan membacanya dalam setiap perkara yang berlandaskan syariat.
Dalam kalimah itu sendiri, terdapat dua nama Allah yang berasal dari akar kata yang sama – rahmah (kasih sayang):
Ar-Rahman – kasih sayang Allah yang luas, mencakupi semua makhluk tanpa mengira siapa.
Ar-Rahim – kasih sayang khusus untuk orang beriman, yang berterusan di dunia dan akhirat.
Hendaklah kita mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Mencegah kemungkaran dan kerosakan. Umat Islam perlu berani menegur dan menghentikan perbuatan buli.
Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang bemaksud: “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu, dengan lisannya (nasihat), jika tidak mampu, dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)
Betapa luluhnya hati ibu bapa yang melihat anaknya menjadi mangsa buli. Walhal mereka sendiri tidak pernah memukul atau menjentik anak-anak. Sebaliknya, orang lain pula yang sesuka hati menyepak, terajang dan menumbuk anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan parah. Malah dalam sesetengah kes, meragut nyawa.
Secara umumnya, wajib bagi seorang muslim untuk berbuat baik sesama muslim. Perbuatan yang boleh menyakiti makhluk lain dalam bentuk apa sekalipun boleh menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.
Cuma ada situasi-situasi tertentu Islam benar untuk memukul atau menyebat seseorang dengan tujuan mendidik. Ini disebutkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”. (al-Nisa’: 34)
Penggunaan rotan ini juga dirakamkan dalam hadis yang masyhur tentang mendidik anak-anak seawal usia tujuh tahun mendirikan solat dan dipukul atau dirotan apabila berusia 10 tahun.
Namun, perbuatan buli memang dilarang keras dalam Islam. Apabila kita membuli orang lain, boleh jadi kita juga bakal dibuli pada masa hadapan. Kalau bukan kita, boleh jadi anak-anak kita juga akan menjadi mangsa buli pada masa hadapan kelak.
Justeru, kita doakan mereka yang terlibat dengan perbuatan buli ini insaf. Perlu sedar setiap tindakan dan amalan di atas bumi ini akan dinilai oleh Allah SWT dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah sebesar-besar perkara kesemuanya itu tidak terlepas dari catatan dan hitungan malaikat. – UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










