PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada Julai 31 lalu, yang mana ia satu hala tuju yang bakal memacu rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Artikel ini akan dimulakan dengan penjelasan ringkas mengenai perancangan pembangunan di Malaysia diikuti dengan perbincangan RMK13. Juga harapan saya mengenai RMK13.
Bermula daripada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 sehingga tahun 2025, sebanyak 13 Rancangan Malaysia (RM) dibentangkan.
Pendekatan dan falsafah perancangan pembangunan negara mengambil kira: (a) Sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka; (b) Sebuah negara berbilang etnik; (c) Sebuah sistem ekonomi campuran; dan (d) Sebuah negara persekutuan yang mengandungi 13 negeri, dan tiga wilayah persekutuan.
RMK13 melibatkan RM611 bilion dalam tempoh lima tahun (2026-2030) bertema Melakar Semula Pembangunan. Ia menetapkan hala tuju strategik untuk membina semula pembangunan negara secara lebih mampan, adil dan berpaksikan rakyat.
RMK13 meletakkan Ekonomi Madani menjadi hala tuju baharu negara. Ia memberi tumpuan kepada pembentukan ekonomi baharu, mengutamakan nilai sosial serta penciptaan nilai. RMK13 adalah berasas tiga tunjang utama, iaitu ‘menaikkan siling’, ‘menaikkan lantai’, dan tatakelola baik dalam pentadbiran negara.
Menaikan Siling
Malaysia perlu mempergiat pelaburan strategik, inovasi dan pengangtarabangsaan: menuju negara berteraskan kecerdasan buatan (AI); melonjak pertumbuban industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik; menyeimbangkan kemajuan ekonomi antara wilayah dan mengukuhkan pembangunan luar bandar; memperhebat penglibatan dan peranan Malaysia di persada ekonomi dunia.
RMK13 digubal untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu. Perdana Menteri menegaskan, “Malaysia perlu bingkas daripada sekadar menjadi pengguna, kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan Made by Malaysia yang bertaraf dunia.” Bagi merealisasikan aspirasi ini, Malaysia perlu mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dan pemupukan budaya inovasi.
Menaikkan Lantai
RMK13 bukan sahaja menyasarkan peningkatan pendapatan negara semata-mata, tetapi memastikan kesejahteraan rakyat dipertingkatkan sederap dengan pertumbuhan ekonomi. Untuk menaikan lantai, Malaysia memfokus kepada upah, pemerkasaan wanita dan reformasi kebajikan: menangani beban kos sara hidup; merekayasa sistem sosial berteraskan insan madani; meningkatkan mutu kehidupan rakyat; mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang.
Tatakelola Baik Dalam Pentadbiran Negara
Secara umum, saya mendapati, dalam RMK13, wujud peralihan dalam dasar daripada ‘dasar berteraskan-ras kepada dasar berteras-keperluan’ untuk mencapai kesejahteraan sosial dan kesaksamaan peluang. Kerajaan telah menterjemahkan ciri multi-budaya, multi-kepercayaan, dan multi-etnik negara kita dalam bentuk dasar dan perancangan ekonomi negara untuk lima tahun akan datang.
Saya menghargai penekanan kerajaan dalam RMK13 kepada “Ekonomi Berwarna” yang memfokus kepada (a) Ekonomi Hijau (tenaga hidrogen, nuklear); (b) Ekonomi Biru (lautan, pembinaan kapal, pelabuhan laut dalam), (c) Ekonomi Unggu (ekonomi kreatif), dan (d) Ekonomi kelabu (penuaan Malaysia menjelang 2030).
Kerajaan telah menggariskan matlamat dan tindak strategik untuk menjayakan RMK13, namun saya mendapati kerajaan tidak mengambil kesempatan untuk melakukan reformasi ekonomi dan perubahan struktur secara lebih drastik.
Reformasi ekonomi perlu untuk menangani isu-isu sosio-ekonomi yang terus melanda dan membelenggu negara sekian lama:
(a) Jurang gaji dan kos sara hidup semakin lebar, wujud ketidaksepadanan ketara antara kadar kenaikan gaji dan peningkatan produktiviti yang menjejaskan kuasa beli pekerja.
(b) Ketidaksepadanan kemahiran graduan di mana ramai graduan yang bekerja di bawah kelayakan. Antara tahun 2022 dan 2023, kira-kira 260,000 graduan baharu memasuki pasaran pekerjaan. Bagaimanapun, hanya kira-kira 150,000 pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan setiap tahun dalam tempoh itu, mengakibatkan jurang hampir 100,000. Kira-kira 36 peratus graduan bekerja dalam pekerjaan berkemahiran sederhana atau rendah, semata-mata kerana mereka tidak dapat memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi.
(c) Pendapatan median graduan rendah. Laporan Dasar Gaji Progresif 2022 mendedahkan gaji median graduan muda hanya RM1,624 yang hampir menyamai kadar gaji minimum.
(d) Pekerja asing yang membanjiri pasaran buruh.
(e) Kecemerlangan tanpa jiwa – kemunculan sindrom kecemerlangan akademik tanpa jiwa seperti yang diungkapkan dalam Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
(f) Kekurangan bakat berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi.
(g) Kadar penyertaan tenaga buruh wanita (56.2 peratus) yang masih rendah berbanding tenaga buruh lelaki (83.2 peratus), mengakibatkan pembaziran bakat.
(h) Rasuah – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan negara kerugian sebanyak RM277 bilion dalam tempoh lima tahun akibat jenayah rasuah.
(I) Kerelevenan Rancangan Pembangunan Lima Tahun – RMK13 adalah untuk jangka masa lima tahun akan datang. Persoalan yang perlu juga ditanya: Apakah Malaysia masih perlu mengekalkan rancangan pembangunan lima tahun? Atau sudah tiba masanya untuk Malaysia memikir semula kerelevenan perancangan lima tahun.
Perancangan lima tahun memang relevan pada tahun 1950 hingga 1980-an ketika negara baharu mencapai kemerdekaan politik dan berstatus negara sedang membangun.
Kini perancangan lima tahun, ala model perancangan pusat, sudah dianggap lapuk dengan runtuhnya ekonomi terancang Soviet pada 1989 dan semakin unggulnya pasaran bebas dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Antara alasan untuk menggantikan rancangan lima tahun dengan pelan-boleh-pinda (rolling plan):
Sekarang Malaysia berada dalam era keunggulan pasaran di mana pemerintah hanya berfungsi menyediakan persekitaran yang mengalakkan untuk memacu pembangunan ekonomi.
Pelan boleh pinda lebih tangkas dan mudah mengadaptasi kepada perubahan dalam masa singkat.
Pelan boleh pinda lebih berkesan untuk mengharungi dunia yang semakin terhubung-kait dan penuh cabaran (Pandemik perang tarif; ganguan teknologi; peralihan kuasa geopolitik)
Landskap ekonomi global tidak menentu mengkehendaki perancangan jangka pendek yang dinamik, bukan statik untuk lima tahun.
Sebagai sebuah rancangan pembangunan, RMK13 penting untuk membimbing pertumbuhan, mencapai matlamat dan memastikan sumber diagih secara efisien.
RMK13 bukan sekadar rancangan lima tahun, tetapi satu komitmen untuk memastikan pertumbuhan yang inklusif, berdaya tahan dan benar-benar berakar pada keperluan rakyat. Kerajaan perlu komited dan berani melakukan perubahan besar, termasuk menggantikan rancangan lima tahun dengan pelan baharu yang lebih dinamik. Dalam menempuh tempoh lima tahun ke depan adalah tempoh kritikal untuk Malaysia melonjak bukan hanya ke arah negara berpendapatan tinggi, malah mampu melahirkan rakyat berjiwa insaniah dan menyediakan kehidupan berkualiti. – UTUSAN
DATUK Dr. Madeline Berma Ialah Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










